BAB 8

16.6K 432 4
                                    

Adam memerhati ke segenap penjuru bilik Qaseh. Bilik itu telah dihias sebagai bilik pengantin. Adam tertarik dengan satu gambar besar yang terletak di meja komputer milik Qaseh. Apabila Adam mengamati, gambar itu ialah gambar Qaseh bersama Qaira yang diambil di Hyde Park, London pada musim luruh. Adam terasa bermimpi, dia bercinta dengan Qaira tetapi berkahwin dengan Qaseh. Pasangan kembar itu telah menjadi sebahagiaan daripada hidupnya di mana Qaira sebagai kekasih manakala Qaseh sebagai isteri. Namun di matanya, Qaira yang teristimewa. Adam termenung sehingga pintu bilik Qaseh ditolak daripada luar. Muncul Zahrah yang menatang dulang berisi satu mangkuk air dan tuala yang telah dibasahkan sedikit.

"Adam duduklah. Akak nak letakkan kain ni atas kepala Qaseh." Suara Zahrah apabila dia melihat Adam seperti mahu pergi. Dia disuruh oleh Syafiq supaya memantau suhu badan Qaseh. Sejak kecil lagi, Qaseh mudah demam sehingga kadang-kadang terpaksa dimasukkan ke dalam wad. Qaseh membesar di hadapannya, jadi Zahrah tahu tiap yang berlaku pada Qaseh.

"Takpelah, akak. Akak temankan Qaseh. Adam turun dulu, nak layan tetamu dekat bawah." Adam menyatakan alasannya pergi. Apa kata tetamu pula nanti sekiranya Adam tidak menunjukkan muka. Dia mempunyai ramai kenalan dan Adam tidak boleh mengabaikan mereka begitu sahaja.

Melihat anggukan Zahrah, Adam berjalan laju menuruni tangga. Di ruang tamu, pandangan mata Johan menikam tubuhnya.

"Habis tu, macam mana sekarang?" soal Johan apabila Adam duduk di sebelahnya.

"Macam mana apa?" Adam buat-buat tidak faham. Jujurnya, dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Johan.

"Eh, kau ni! Buat-buat tak faham pulak. Aku tanya kau pasal Qaseh! Apa rancangan kau selepas ini?" Johan berpeluk tubuh di hadapan Adam. Tetamu di rumah itu semakin berkurangan, tidak seperti awal tadi.

"Aku pun tak tahu, Johan. Aku teruskanlah perkahwinan ini, nak buat macam mana lagi? Kalau jodoh aku dengan dia panjang, aku akan tetap menjadi suami dia. Aku pun buntu, aku serahkan semuanya pada takdir," jawab Adam ringkas. Dia meraup mukanya lantas keluhan berat dilepaskan. Jauh di dalam hatinya, dia juga kasihan melihat Qaseh. Qaseh sudi berkahwin dengannya walaupun hati yang akan luka. Adam belum bersedia dan tak akan melupakan Qaira.

"Jangan kau ceraikan dia sudah. Kau kena ingat, kalau bukan disebabkan oleh Qaira, aku rasa Qaseh pun tak nak kahwin dengan kau. Dia jauh lebih terluka daripada kau. Kau tu lelaki, dia perempuan. Kau tengoklah tadi, Qaseh pengsan. Dia menangis dalam diam, Adam. Kau jangan terlalu mementingkan diri sendiri." Johan menasihati Adam. Sebenarnya, dia simpati dengan Adam. Adam tersepit antara janji dan cinta.

"Walaupun aku kejam dengan tidak mencintai isteri aku sendiri, aku masih ada iman dan agama, Johan. Aku tak akan jadikan dia seorang janda tanpa sebab yang munasabah," balas Adam. Walaupun dia bukan alim, Adam tetap jelas tentang agama dan larangan Allah.

"Baguslah kalau macam tu. Takpelah, dah lama dah aku dekat sini. Aku mintak diri dulu, dah lama bini aku tunggu tu." Johan bersalaman dengan Adam. Isterinya setia menunggu di bawah khemah. Mujurlah isterinya seorang yang memahami dan juga penyabar.

"Terima kasih, bro. Kaulah sahabat aku dunia dan akhirat." Adam menepuk bahu Johan, Johan satu-satunya kawan baik yang dia ada. Tanpa sokongan dan pertolongan Johan, siapalah dia sekarang.

"Takde hal pun. Aku gembira tengok kau dah berkahwin, Adam. Aku pergi dulu, assalamualaikum," ucap Johan sebelum berlari ke arah khemah.

Di dalam bilik pula, Zahrah mula tersengguk. Semalam, pukul tiga pagi baru dia dapat memejamkan mata kerana sibuk membuat persiapan bagi kelancaran majlis hari ini. Zahrah memejamkan mata, dia ingin tidur sekejap sahaja. Namun, Zahrah membatalkan niatnya apabila merasakan tangan Qaseh menyentuhnya.

TAKDIRKU MENCINTAIMU (Akan Terbit) Where stories live. Discover now