BAB 9

16.7K 460 8
                                    

Qaseh dan Zahrah menghidangkan lauk pauk ke atas meja untuk makan malam. Pelbagai lauk-pauk telah dihidangkan di atas meja. Syafiq dan Adam yang telah duduk di atas kerusi menelan air liur tatkala melihat makanan yang menaikkan selera. Di atas meja panjang di hadapan mereka, terdapat ketam masak cili, tomyam, kailan goreng ikan masin, ayam masak merah, tembikai sebagai pencuci mulut dan akhirnya air jagung sebagai minuman.

"Berselera Adam makan. Kalau Adam nak tahu, semua hidangan pada malam ini, Qaseh yang masak sendiri. Mama hanya tolong potong sayur, potong buah, yang selebihnya Qaseh buat sendiri. Sedap tak Qaseh masak?" tanya Puan Marina. Dia bukan inigin memuji anak sendiri, tetapi dia berkata benar. Qaseh yang masak semuanya.

"Sedap," Adam melontarkan pujian. Kali ini, dia ikhlas. Dia akui, masakan Qaseh kena dengan seleranya. Dia tidak sangka, Qaseh pandai memasak makanan Melayu walaupun telah lama menetap di London.

Pujian Puan Marina dan Adam tidak singgah di hati Qaseh. Qaseh tahu banyak lagi yang dia perlu belajar. Dia hanya tahu memasak lauk yang diajarkan oleh Munirah semasa tinggal di London. Banyak lagi yang perlu diperbaiki oleh Qaseh.

"Habis makan nanti, bolehlah pengantin baru cuci pinggan. Kami semua nak berehat, penat majlis pun masih terasa ni." Zahrah bersuara. Cadangan itu menerima sokongan oleh Syafiq, Mak Embun termasuklah Puan Marina dengan anggukan yang hampir serentak.

"Betul, aku setuju dengan kau, Zahrah." Syafiq tersenyum memandang Zahrah. Namun, senyuman Syafiq mati apabila dibalas dengan jelingan maut oleh Zahrah.

"Qaseh tak kisah. Tapi, Adam, " Kata-kata Qaseh mati apabila Adam memotong percakapannya tanpa memberi isyarat terlebih dahulu. Qaseh mencapai gelas dan meneguk air jagung yang disediakan oleh Zahrah sebentar tadi.

"Adam boleh tolong! Adam akan cuci pinggan dengan Qaseh," ucap Adam. Baginya, tidak ada salahnya sekiranya membantu. Setakat cuci pinggan, hanya di hujung jarinya. Kacang! Takkan CEO tak boleh masuk dapur dan cuci pinggan kalau handle projek bernilai jutaan ringgit boleh. Adam mahu buktikan kemampuannya.

Hampir satu jam berbual sambil menikmati makan malam, Adam ditinggalkan di dapur bersama Qaseh. Semua ahli rumah itu telah masuk ke bilik masing-masing, yang tinggal hanyalah mereka berdua di dapur. Adam mesti mengotakan janjinya.

Adam melihat Qaseh mengikat rambut panjangnya menjadi satu. Lengan baju tidur Qaseh lipat sehingga ke siku menampakkan lengannya yang putih bersih. Adam mula mendekati Qaseh yang telah berdiri di hadapan sink.

"Betul ni awak nak tolong saya?" Qaseh mendongak memandang Adam di sebelahnya. Dia mahu mendapatkan kepastian. Dia tak nak Adam terasa terbeban apatah lagi terpaksa. Dengan menggunakan sponge, Qaseh menggosok pinggan yang kotor sehingga buih dihasilkan.

"Yelah, kenapa? Kau ingat aku tak pernah cuci pinggan? Qaseh, walaupun aku anak tunggal, aku tahu berdikari sebab mama dan papa tak pernah manjakan aku. Bukan setakat cuci pinggan, gosok baju, cuci baju, semua aku boleh buat sendiri. Cuma satu jer aku tak boleh buat, memasak. Bab memasak aku gagal, tak macam kau." Adam mengelap pinggan yang telah siap dicuci oleh Qaseh menggunakan tuala bersih. Setelah itu, pinggan tersebut disusun di dalam cabinet dapur.

Qaseh tersenyum nipis. Pejam celik, semua pinggan, gelas dan kuali telah siap dicuci, dilap dan diletakkan di tempat asal. Qaseh dan Adam juga kepenatan. Jadi, mereka membuat keputusan untuk naik ke atas dan mendapatkan rehat yang mengcukupi.

"Itu bilik siapa?" Terpacul soalan daripada Adam yang sedang berdiri tegak di belakang Qaseh. Tangannya ditunjuk ke bilik yang bersebelahan sahaja dengan bilik Qaseh.

Qaseh yang baru mendaratkan tangan ke atas tombol pintu berpaling dan berdiri menghadap Adam."Bilik tu, bilik Kak Qaira. Jom, saya tunjuk."

Adam tidak menolak pelawaan Qaseh. Tatkala Adam melangkah masuk ke dalam bilik Qaira, Adam seperti merasakan Qaira berdiri di sebelahnya sahaja. Walaupun tidak berpenghuni, bilik Qaira tetap kemas dan bersih, bebas daripada sebarang debu. Adam duduk di birai katil, Qaseh pula membuka laci meja solek lalu sebuah kotak bersaiz sederhana yang berukiran kemas dikeluarkan. Qaseh mendekati Adam. Kotak yang berada dalam pelukan dihulurkan kepada suami yang baru dinikahi pada pagi tadi.

TAKDIRKU MENCINTAIMU (Akan Terbit) Where stories live. Discover now