BAB 1

1.3K 41 3
                                    


"MORNING Datuk." Seperti biasa, sebaik saja Datuk Hazrul melewati mejanya, Nura menyapa lembut.

Selalunya Datuk Hazrul akan membalas dengan senyuman Nura dan meminta kopi hitam pekat kegemarannya. Dengan menyanyi kecil, Nura akan melangkah ke pantri dan menyediakan kopi seperti yang diminta.

Tapi hari ini lain pula mood Datuk Hazrul. Bila disapa, bosnya itu sekadar mengangguk dengan senyuman tawar. Belum lagi dikira dengan riak wajah tua itu muram lain dari biasa.

Kopi pula, langsung tak disebut.

Sama seperti Nura, Melisa yang mejanya tak jauh dari Nura juga mengangkat kening. Pelik dengan tingkah bosnya pagi itu.

"Kenapa tu?" bisik Melisa perlahan. Walaupun sedikit jauh, dari gerak bibir Melisa, Nura dapat menangkap soalan itu.

Nura angkat bahu.

Sebaik saja pintu bilik bosnya tertutup rapat, Nura bangun dari kerusi.

Walaupun tak diminta, dia masuk juga ke pantri untuk menyediakan kopi kesukaan Datuk Hazrul. Dah jadi kebiasaan setiap pagi.

Ada mood atau tak ada mood, dia kena hadap juga.

Pintu diketuk tiga kali sebelum dia melangkah masuk ke dalam. Susuk tubuh Datuk Hazrul yang santai di sofa yang terletak di tengah-tengah bilik menyapa pandangan.

Di tangannya kemas memegang surat khabar The Edge yang dilanggan setiap minggu.

Perlahan Nura mengatur kaki mendekati.

"Kopi, Datuk." Cawan kopi diletakkan ke atas meja di hadapan Datuk Hazrul. Bosnya itu sekadar tersenyum mengangguk.

"Terima kasih. Saya baru saja nak panggil awak masuk."

Nura berdiri tegak. Dia dah sedia dengan planner hitam dan pen yang turut dibawanya bersama tadi.

"Ya Datuk? Apa apa-apa yang Datuk nak saya buat hari ni?"

Datuk Hazrul tidak terus menjawab. Dia meletakkan surat khabar ke atas meja sebelum mencapai cawan kopi dari atas meja.

"Duduk dulu, Nura." Datuk Hazrul menyisip kopi pekat miliknya. Matanya mengerling tingkah Nura yang mula rasa serba salah.

"Sebenarnya saya nak awak tolong jadi setiausaha dan PA anak saya."

Sebaris ayat yang keluar dari mulut Datuk Hazrul membuatkan Nura terkaku di situ juga. Tak berkelip mata dia pandang Datuk Hazrul di depan. Rasanya memang tak rosak lagi sistem pendengarannya.

Tapi, betul ke apa yang dia dengar sekarang?

"Saya nak awak tolong dia. Jadi pembantu dia. Banyak yang dia kena belajar di syarikat ni."

Suara tenang Datuk Hazrul sikit pun tak menenangkan hati. Wajah pemilik syarikat Amaya Group itu setenang nadanya. Nura aje yang dah mula pusing fikirkan macam-macam perkara.

Boleh ke dia bekerjasama dengan 'dia' yang Datuk Hazrul maksudkan tu?

Dan yang paling penting, boleh ke 'dia' beri kerjasama pada Nura?

Alahai...

"Nura?"

"Aa... ya. Ya Datuk?" Tumpuannya kembali pada bos di hadapan.

"Awak faham tak apa yang saya cakap ni?" Datuk Hazrul hampir tergelak bila nampak reaksi Nura. Dia tahu Nura juga terkejut dengan tindakannya.

"Kalau saya jadi pembantu anak Datuk, nanti siapa yang akan jadi pembantu Datuk?" polos dia bertanya. Bukan baru sehari dua dia jadi pembantu peribadi Datuk Hazrul di syarikat ni. Dah hampir empat tahun pun.

Mr. Nice JerkWhere stories live. Discover now