28

22 4 0
                                    

"Fuh..."

Minjeong menggeliat dan mengurut leher yang tegang. Kemudian dia berjalan ke tepi tingkap sambil menghela nafas.

'Dah nak pagi rupanya.'

Semalaman dia menghadap keyboard menyiapkan tiga lagu yang terbengkalai. Dia turut menghasilkan dua lagu baru, kemudian menyimpan sebagai fail audio dalam komputer dan telefon bimbit. Dia ingin menghantar kepada Yoongi nanti.

Sudah lama dia tidak menjiwai dunia muzik sampai lupa makan dan tidur. Dia tahu jiwanya masih menyukai dunia muzik. Insiden menimpa papanya buat dia tidak boleh terus belajar piano, namun kekesalan ini sekadar dipendam dalam hati.

Selain keadaan ekonomi keluarga, satu lagi puncanya ialah ketakutan. Minjeong tidak mahu terlalu mengharap. Dia takut sekiranya terhenti sekerat jalan. Jadi dia enggan terbabit dalam perkara yang memerlukan ketekunan berterusan. Dia risau pisang berbuah dua kali sekiranya berlaku hal di luar jangkaan.

Namun kini jiwa Minjeong sungguh tenang. Dia dapat merasai kepuasan setiap kali menjiwai penghasilan lagu dan kembali ke dunia realiti. Dia masih ingat Hyeri pernah menyatakan kepuasan yang timbul selepas melakukan sesuatu dipanggil keterujaan. Dia dambakan perasaan begini.

Sebuah basikal hitam tiba-tiba berhenti di luar rumah. Pemuda berbaju putih ternampak Minjeong tercegat di tepi tingkap, lalu senyum dan melambai.

'Aku bermimpi ke? Ke sebab aku terlalu rindukan Yoongi?' desis Minjeong.

Dia menggosok mata berulang kali. Seakan tidak percaya dengan apa dilihat. Pemuda yang duduk di atas basikal masih kekal disitu malah membuat isyarat tangan memanggilnya keluar.

'Eh, biar betul. Buat apa Yoongi cari aku masa ni?'

Tanpa bertangguh, Minjeong segera membuka pintu dan berlari ke arah Yoongi.

"Kau memang tengah tunggu aku ke?" tanya Yoongi selamba.

"Ergh... taklah... mana ada."

Minjeong memarahi diri sendiri dalam hati. Setiap kali bertentang mata dengan Yoongi, dia jadi tidak keruan. Malah bercakap juga jadi tergagap-gagap.

"Sepanjang perjalanan aku asyik fikir kalau tak dapat jumpa kau. Tapi tak sangka kau macam tengah tunggu aku. Aku ingatkan salah pandang tadi bila nampak kau berdiri tepi tingkap," ujar Yoongi dengan riak gembira. Minjeong masih diam membisu memandangnya.

"Kenapa awal sangat bangun? Eh, kejap. Ni macam baju semalam je. Kau tak tidur ke?" ujar Yoongi sambil menghulur tangan lalu menyelitkan rambut Minjeong yang berjurai ke belakang telinga.

"Ergh... ha'ah! Buat apa kau datang sini?" tanya Minjeong sambil menolak tangan Yoongi.

"Kak Nara suruh aku bagi kau brosur ni. Dia kata kalau kau berminat, boleh sertai kelas ni."

Minjeong menyambut brosur yang dihulur.

"Kursus piano dikendalikan Jared Zhang? Pemain bangsa Cina berasal dari Kanada?"

"Ya. Dia akan datang tengok persembahan kami minggu depan dan mungkin dia tinggal kat sini sementara waktu sambil adakan kursus. Walaupun syarat penyertaan adalah perlu direkomen pihak akademi, tapi Kak Nara kenal Cikgu Jared. Jadi kau hanya perlu bagitau Kak Nara yang rekomen kau. Tu pun memadai bila daftar melalui telefon nanti."

"Hmm, nanti aku fikir dulu."

Walaupun hanya kursus singkat dua minggu, namun ia diadakan sempena cuti sekolah. Minjeong berfikir sejenak sambil membelek brosur di tangan. Apa-apa pun dia perlu berbincang dengan mamanya.

"Satu lagi..." Yoongi tiba-tiba memegang tangan Minjeong.

Dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerit. Tangan Yoongi menghangatkan tapak tangan Minjeong. Hari semakin menampakkan sinar. Minjeong diam membisu. Dia merenung pemuda itu.

"Selama enam minggu, aku akan ikut kumpulan teater grup buat persembahan seluruh negara," ujar Yoongi meluahkan apa yang terbuku dalam hati.

"Hah?" Minjeong terkejut.

"Ketua grup cakap prestasi lakonan aku semalam memuaskan. Jadi dia tanya sama ada aku berminat sertai grup lain. Diorang tak cukup pelakon ekstra. Manalah tahu dorang bagi aku dialog ke nanti," ujar Yoongi sambil memandang tepat mata Minjeong.

"Baguslah. Seronok aku dengar."

Ketika raptai semalam, Yoongi hanya sekadar penari latar. Tetapi kalau ditawarkan sebagai pelakon ekstra, ternyata dia bakal melakar kejayaan besar dalam mengejar impian dan cita-cita sebagai pelakon profesional.

"Ya. Betullah tu. Tengah hari nanti aku nak jumpa ketua grup tu. Rasanya habis cuti sekolah kot baru aku balik," jelas Yoongi. 

"Oh..." jawab Minjeong ringkas.

Ini bermakna dia tidak akan berjumpa Yoongi sepanjang enam minggu. Minjeong sedikit resah. Sunyilah nampaknya tidak dapat bersua pujaan hati. Walaupun begitu, dia tetap kuatkan semangat. Bukan Yoongi seorang yang berusaha menggapai impian malah dia juga ingin memajukan diri dan menjadi insan lebih baik.

"Kau kena kuatkan tekad dan usaha. Aku dah buat beberapa buah lagu semalam. Sebelum naik pentas nanti kau dengarlah. Mungkin emosi kau lebih tenang dan stabil lepas dengar lagu ciptaan aku," ujar Minjeong sambil menggenggam tangan Yoongi sebagai pemberi semangat.

"Kau buat lagu khas untuk aku?"

"Hmm... dah lama buat tapi tak siap sepenuhnya. Tapi kalau tak sedap, delete jelah." Sekali lagi Minjeong mempamerkan ekspresi paniknya.

"Takkanlah aku nak buang. Aku akan simpan dan dengar ulang kali. Lagu yang kau buat dah tentu lagu paling sedap didengar di dunia ni!" Yoongi begitu teruja dan memeluk erat gadis di depannya.

Minjeong merelakannya. Dia lebih tenang dalam pelukan Yoongi. Fikirnya, tidak mungkin dia jumpa orang lain sebaik dan sejujur pemuda ini.

Dia tidak mahu bersimpati dengan diri sendiri setiap kali berdiri sebelah Yoongi. Dia tidak mahu berasa rendah diri setiap kali melihat Yoongi yang gigih berusaha. Dia mahu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bila bersama Yoongi. Tidak kiralah apa yang berlaku akan datang.

"Baiklah. Kau pergilah balik dan kemas barang. Aku nak kena tidur ni."

"Tunggu aku, ya!" Yoongi melepaskan pelukan. Namun tangannya masih menggenggam tangan Minjeong.

Minjeong memandang tepat wajah Yoongi. Pemuda itu kelihatan keberatan hendak meninggalkannya.

"Enam minggu je kot. Bukannya kau tak balik langsung. Kau kenalah kuat. Jangan ikutkan sangat perasaan tu!"

"Janji?!!" soal Yoongi.

Tangan Minjeong digenggam kuat. Dia hendak mendengar sendiri jawapan dari mulut Minjeong.

Untuk tidak menghampakan Yoongi, Minjeong berbisik perlahan, "Janji."

"Nanti aku telefon kau." Yoongi memandang tepat ke mata Minjeong, kemudian perlahan-lahan meleraikan pegangan dan berlalu dari situ.

Minjeong berdiri sambil memandang Yoongi yang semakin menjauh. Perlahan-lahan dia menyeka air mata yang meleleh.

"Aku akan tunggu kau sampai bila-bila."

[C] Cinta Tanpa Henti Where stories live. Discover now