BAB 4

6 1 0
                                    


Hari ini merupakan hari bersejarah buat kedai buku Gila Novel kerana buat pertama kalinya, novelis cinta tersohor negara, Ikhwan Oh La La, bakal mengadakan sesi bertemu peminat di kedai buku tersebut. Bukan selalu peluang keemasan ini datang bergolek. Satu Malaysia sudah maklum yang Saudara Ikhwan ini jarang-jarang menonjolkan diri di khalayak ramai. Malah, kalau di mana-mana pesta buku sekitar Malaysia pun jarang-jarang sangat dia muncul untuk sesi tandatangan. Ramai peminatnya tertanya-tanya tentang sikapnya itu. Tak kurang juga yang mengutuk secara terang-terangan di akaun Facebook peminatnya. Kata mereka, Ikhwan Oh La La ini sombong. Sehingga ada juga yang mengeluarkan teori konspirasi mengaitkan Ikhwan dengan ejen-ejen Illuminati lalu menyebabkan sang novelis ini tidak boleh keluar menonjolkan diri sembarangan.

Tapi Ikhwan Oh La La buat tak kesah langsung. Rasa comel pun ada. Dia tahu segala macam teori daripada para peminatnya itu kemungkinan besar kerana mereka rajin baca naskhah-naskhahnya. Sebab itulah terlebih berimaginasi.

Apabila Ikhwan Oh La La membuat keputusan untuk bertemu para peminatnya sempena pelancaran novel terbaharunya, Juita dan Rozana juga tidak terkecuali untuk sama-sama meraikannya.

Sempena meraikan hari paling mengujakan pada hari ini, sebenarnya dua orang gadis ini sudah pun bersiap sedia seawal sebulan yang lepas. Setiap kali sewaktu makan tengah hari, Rozana dan Juita sudah menyemak cara-cara ke kedai buku Gila Novel, kedai buku terbesar di Malaysia itu. Kali ini mereka berdua mahu menggunakan pengangkutan awam saja. Senang. Tak perlu fikir-fikir untuk cari tempat parkir kereta. Hanya perlu fikir bagaimana cara untuk berlari-lari anak tanpa menjatuhkan saham seorang gadis Melayu. Kat tengah-tengah KL kut, mestilah kena jaga gengsi.

Tak boleh pakai kasut tumit tinggi melebihi tiga inci. Mujur Juita dan Rozana tidak memiliki kasut tumit setinggi itu.

Tak boleh pakai kain ketat. Berisiko untuk terkoyak kalau berebut-rebut nak minta tandatangan Ikhwan Oh La La.

Tak boleh tak pakai seluar panjang kalau nak juga pakai kain.

Tak boleh mekap tebal. Ini bukan pertandingan mencari model sampul untuk majalah Mangga.

Itu antara syarat-syarat yang dikenakan oleh Rozana dan Juita kepada diri masing-masing. Dan mereka sebulat suara dengan senang hatinya bersetuju dengan syarat-syarat tersebut.

Pemilihan warna baju juga telah dibuat. Rozana awal-awal lagi sudah cup untuk pakai baju warna ungu kebiruan. Warna kegemarannya. Bagi Juita pula, dia sudah pilih warna baju itu sejak kali pertama dia tahu warna kegemaran Ikhwan Oh La La lagi. Dia akan pakai baju warna hijau lumut. Muktamad!

***

Dari kejauhan, Rozita dan Juita sudah nampak besar-besar kedai buku Gila Novel itu. Tanpa mempedulikan para lelaki yang baru nak cuba-cuba untuk helo-helo dengan mereka, terus saja dua orang gadis itu melangkah dengan kelajuan sekali ganda daripada biasa untuk ke tempat yang dituju. Semasa berada di dalam tren komuter, mereka berdua nampaknya sudah membuat perbincangan muktamad untuk tidak berlari-lari anak. Walau tidak memakai sepatu tumit tinggi, kemungkinan besar untuk Rozana jatuh gedebuk di kaki lima adalah sangat besar memandangkan kakinya pengkor sedikit.

"Juita, dah ramai oranglah!" Rozana sudah hentak-hentak kaki. Dasar gadis cepat mengamuk.

Juita yang memerhatikan deretan peminat Ikhwan Oh La La yang panjang itu turut mengakuinya dalam hati. Dia mengetap bibir. Rupa-rupanya bukan setakat itu saja. Mereka perlu mendaftar dulu di kaunter pendaftaran dan diberikan nombor giliran.

"Sampai pukul berapa Ikhwan Oh La La ni ada sini?" tanya Juita pada staf yang bertugas.

"Sampai 12 tengah hari," jawab staf perempuan acuh tak acuh.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now