BAB 17

3 0 0
                                    

"Bro, assalamualaikum! Apa khabar, bro? Berseri-seri betul kau sejak akhir-akhir ni." Dari jauh lagi Leon sudah menyapanya. Senyumannya lebar seperti tidak boleh ditutup-tutup lagi.

Kali ini Aliff datang lebih awal daripada Leon. Dia menghirup teh tariknya perlahan-lahan. Sekurang-kurangnya Tuhan tidak menarik nikmat menghirup teh tarik manis Abang Radi ini setelah hari-harinya kini berlalu dengan muram. Suram. Jadi, apabila Leon kata wajahnya berseri-seri, Aliff tahu sama ada rakannya itu penipu besar atau sengaja mahu ambil hati.

"Pesanlah apa-apa dulu," balas Aliff selepas menjawab salam rakannya itu.

"Kau belanja ke?"

Aliff mengangguk dan terus menghirup teh tariknya itu sambil memejam mata. Nikmat.

"Biar benar, bro." Leon tak percaya.

"Cepat pesan sebelum aku tukar fikiran." Aliff memberi amaran.

"Okey... okey... dengan senang hati aku akan pesan set sup ekor istimewa Abang Radi." Terus saja Leon mengangkat tangan pada pramusaji yang bertugas.

***

"Kenapa tiba-tiba kau belanja aku makan ni, bro?" Leon bertanya setelah selesai menghirup sup ekornya buat kali terakhir. Licin. Bersih. Pekerja Abang Radi tak payah susah-suah basuh pinggan mangkuknya, bak kata Leon.

"Saja. Aku suka tengok kau makan habis macam ni. Gembira hati aku," balas Aliff mendatar.

"Ya ke? Terima kasih, bro. Kau macam tahu-tahu aje aku tak makan tengah hari tadi," beritahu Leon.

"Kau nak apa-apa lagi ke?" soal Aliff.

"Eh, tak nak. Ni dah cukup banyak. Sedap daripada biasa. Mak aku kata, kalau makanan yang orang belanja tu jadi sedap daripada biasa, maknanya dia ikhlas belanja kita. Aku tahu, bro... kau memang ikhlas. Tapi... apa sebabnya kau panggil aku ni?" soal Leon pula.

Aliff mengeluarkan sampul surat warna coklat bersaiz A4 dari dalam beg sandangnya. Dihulurkan sampul tersebut di hadapan Leon sambil menepuk-nepuk sampul itu.

"Ada lima ribu ringgit tunai dalam sampul surat tu. Untuk mak kau." Aliff memberitahu.

Leon memandang Aliff dengan pandangan tidak berkutik. Matanya tepat ke arah rakannya itu. Antara gembira, terharu dan serba salah, perasaan Leon bercampur baur.

"Kau... kau bagi aku duit ni?" soal Leon meminta kepastian.

"Aku bagi kau... pinjam." Aliff membetulkan ayat Leon.

"Biar benar, bro." Leon tak percaya.

"Baik kau ambil cepat sampul tu sebelum aku tukar fikiran." Aliff mengugut.

Tanpa membuang masa, Leon segera mengambil sampul surat itu lalu dikepitkan pada ketiaknya dengan penuh kemas dan tertib. Tak sempat dia nak lihat isi di dalam sampul itu tetapi hatinya yakin seratus peratus yang isi dalamnya memang duit tunai asli. Bukan duit tunai jenama Saidina. Tak mungkin lelaki seperti Aliff yang sudah belanjanya set sup ekor Abang Radi boleh bohong padanya. Lagi pula, Leon memang sedia maklum Aliff ni memang lelaki yang baik dan jujur.

"Leon, aku balik dulu. Kirim salam aku pada mak kau. Aku doakan mak kau sembuh. Aku akan selalu doakan dia setiap kali lepas solat. Dia pun dah macam mak kandung aku juga. Bayarlah apabila kau mampu, tapi jangan buat-buat lupa pula. Hutang tetap hutang. Assalamualaikum, bro." Aliff bangun dan terus ke kaunter membayar harga makanan. Dia meninggalkan Leon yang terpinga-pinga dan penuh rasa serba salah itu. Tetapi, dengan siapa lagi yang dia boleh harapkan kalau bukan Aliff saja.

***

Aliff berjalan menyusuri malam yang sunyi. Kawasan rumah sewanya dengan kedai makan Abang Radi lebih kurang 15 minit saja kalau berjalan kaki. Sambil berjalan, dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Melihat-lihat kalau ada pesananWhatsApps yang masuk. Sengaja Aliff meletakkan mod senyap pada pesanannya itu agar dia tidak terganggu. Namun, walau apa cara sekali pun, fikirannya tetap tidak boleh berhenti berfikir daripada teringatkan peristiwa tempoh hari. Peristiwa dia curi-curi dengar perbualan Juita dan Nabil hari itu.

Tiba-tiba saja dia mengusap-usap dadanya itu. Aliff tahu perasaan yang dia rasakan ini bukan satu perasaan yang biasa dia rasa. Ada perasaan terancam dan tidak senang sejak hari itu lagi. Selama ini dia ingatkan perasaan dia pada Juita hanyalah sekadar mainan ilusi saja memandangkan hanya Juita sahajalah kawan perempuan yang dia paling rapat.

Sudah lama gadis itu tidak mesejnya bercerita tentang isi-isi novel yang dia baca walau hakikatnya, Aliff sangat jarang sekali membalas pesanan rakannya itu. Cukuplah sekadar membacanya saja. Dan Juita pun tidak kesah rasanya. Kini, ada rasa menyesal pula dalam hati Aliff. Mungkinkah kini Juita sudah beralih arah dan bermain mesej dengan Nabil pula? Tentu saja Si Nabil Mambang Kuning itu rajin membalas mesej-mesej Juita. Entah apalah yang mereka borakkan?

Entah apalah yang Aliff ingin mesej pada Juita? Mengenangkan semua itu, Aliff batalkan saja niatnya untuk menghantar pesanan kepada Juita. Jalan tentang masalah hatinya ini bagai menemui jalan mati. Dia buntu ibarat penulis novel yang buntu untuk menyudahi enam puluh ribu patah perkataan!

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now