BAB 35

3 0 0
                                    

Juita hanya menjemput Anggerik masuk. Tapi cukuplah sekadar di laman rumah saja. Dia tak suka Anggerik dan dengan itu dia tak ingin langsung Anggerik jejakkan kaki ke dalam rumahnya. Anggerik pula setuju saja. Dia sempat pandang sekeliling rumah Juita. Memang bagai langit dengan bumi kehidupan dia dan Juita.

"Apa dia? Aku tahulah rumah kau ada indoor swimming pool. Tak payahlah nak pandang-pandang dinding rumah sewa aku ni yang dah berlumut. Minggu depan aku memang nak bersihkan." Tiba-tiba pula Si Juita ini ramah bercerita perihal rumah sewanya itu.

"Fasal indoor swimming pool kat rumah I pun Nabil bercerita dengan you? Tak ada topik lain ke?" Anggerik ketawa sinis. Juita pula terasa malu dengan Anggerik. Yalah, Nabil pernah janji kalau mereka berdua ada rumah sendiri nanti, Nabil mahu ada rumah yang ada kolam renang. Jadi, secara tak langsung terkeluar jugalah cerita tentang kolam renang di rumah Anggerik.

"Kau nak apa sebenarnya ni?" Juita terus bertanya semula tujuan asal Anggerik.

"Senang aje. I nak you tinggalkan Nabil. Pergi jauh daripada dia."

"Itu aje?"

Anggerik mengangguk.

"Mana boleh." Selamba saja jawapan Juita.

"Kenapa tak boleh?"

"Anggerik, aku dengan Nabil dah ada janji."

"Janji apa? Sehidup semati?" Anggerik ketawa berdekah-dekah walau tiada apa pun yang lucu dalam perbualan mereka itu. Memang sahlah dia sengaja mahu buat Juita sakit hati.

"Terkejut? Nabil tak pernah janji apa-apa dengan kau ke?" Sajalah tu Juita mahu berlagak lebih penting dalam hidup Nabil berbanding Anggerik.

"Tak. I tak terkejut langsung. Nabil memang macam tu. Dia memang suka berjanji macam-macam. Jadi, buat apa I nak hairan dengan janji tahi kucing dia tu."

"Kau cemburu, Anggerik."

Anggerik melepaskan satu keluhan berat. Bibirnya yang dioles gincu matte warna merah kesumba itu terus saja mati daripada mengukir senyum sinis.

"Ya, I mengaku yang I cemburu. Tapi, cemburu I bertempat."

"Ini yang kau kata bertempat. Terpekik-pekik macam orang hilang akal." Juita masih lagi mampu mengawal suaranya daripada menengking Anggerik. Lagi pula, dia tak biasa marah-marah orang pagi-pagi buta ni. Mood tak sampai lagi.

"You ingat Nabil tu betul-betul cintakan you ke? Tolong jangan perasan dan tolong jangan terlalu ambil serius dengan kata-kata dia tu. Dia buat semua tu untuk selamatkan diri dia aje," balas Anggerik.

"Selamatkan diri untuk apa? Selamatkan diri daripada kau?" Juita mencucuk jari telunjuk kirinya ke dada Anggerik. Dia memang tahan geram saja sejak tadi. Sejak Anggerik hampir bocorkan rahsia tentang umurnya itu.

Anggerik yang tidak dapt menahan geram itu tanpa teragak-agak lagi meludah ke muka Juita. Tepat-tepat ke hidungnya. Ughh!!

"Tak guna kau, Juita! Kaulah perempuan paling murah yang pernah aku jumpa kat alam semesta ni. Perempuan macam kau ni patut aku langgar aje dari zaman sekolah dulu. Puas hati aku!!" Anggerik menjerit-jerit sambil mencekik leher Juita.

Jiran-jiran yang melihat ada sekadar melihat sambil berbisik. Ada yang cuba-cuba nak merakam dengan telefon tetapi sayang, pagi-pagi buta dengan berbaju tidur, tak sempat nak bawa telefon bimbit. Namun ,ada seseorang yang bersungguh-sungguh berlari ke arah rumah Juita itu. Seseorang yang bukan daripada kalangan jiran di kawasan perumahan tersebut.

"Hoi!" Suatu suara memecahkan segala riuh rendah antara Juita dan Anggerik.

Anggerik melepaskan renggutannya, manakala Juita pula segera memandang ke arah empunya suara itu.

Dari depan pagar rumah Juita lagi, Aliff sudah dapat melihat wajah Juita yang kemerah-merahan menahan nafas akibat cekikan maut Anggerik. Melihatkan saja wajah Aliff di hadapan pagar, tidak semena-mena air mata Juita tumpah tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Sayu, cuak, segan bercampur dengan perasaan penuh berharap menerjah silih berganti. Hero sudah datang...

"You siapa?" Anggerik bertanya pada Aliff yang kini sudah menghampiri mereka berdua.

"Kau siapa?" soal Aliff kembali.

Anggerik tersenyum sungging. Sempat lagi dia membetulkan rambut depannya yang terjuntai menutupi mata kanannya itu. "Nama I... Anggerik. Nur Anggerik binti Amirul. I datang sini sebab bukan saja-saja nak cari fasal. I pun ada kerja lain nak buat. Tapi disebabkan perempuan ni dah kacau kerja I, hidup I, jadi I tak boleh duduk diam."

"Oh... Anggerik." Nama yang sering kali Aliff dengar apabila cerita tentang Nabil Fadhlan bermain-main di bibir Juita.

"Oh, jadi you memang dah kenal I la?" Anggerik agak terkejut apabila Aliff mengenalinya. Namun dia bukanlah wanita yang akan menunjukkan riak wajah tidak meyakinkan di hadapan orang lain. Selalunya Anggerik akan menutup segala perasaan tidak senang atau terkejut dengan satu tawa sinis.

Kalaulah Aliff juga tahu yang Anggerik sebenarnya lebih lama dulu sudah ambil tahu gerak-geri Aliff, apakah agaknya reaksi lelaki di hadapannya itu? Pasti lelaki itu akan ternganga mulutnya tidak percaya yang dia juga harus terlibat dalam hubungan Anggerik-Nabil-Juita ini.

"Baik kau pergi balik sekarang." Aliff tidak meninggikan suaranya. Namun, getaran pada nada suara itu jelas menunjukkan dia sangat marah dengan tingkah laku Anggerik tadi.

"I faham kenapa you marah sangat pada I, tapi janganlah sampai buta." Anggerik menjeling sekilas ke arah Juita.

"Apa maksud kau ni? Tak payah nak berkias-kias kat sini. Balik sekarang!" Aliff sudah hilang sabar. Eh, sejak dia ternampak Anggerik meludah dan mencekik Juita tadi, kesabarannya memang sudah tahap kulit bawang yang paling nipis sekali.

"Juita, I tak fahamlah dengan you ni. Nak kata you buta, tapi I tengok mata you sihat afiat aje. Agaknya you ni buta hati kut. Dah ada depan mata, tapi yang jauh juga you kejar-kejarkan. Cukup-cukuplah, Juita." Anggerik melepaskan satu keluhan besar. Rasa penat dan lelah menjalar di segenap tubuh badannya.

"Apa kau merepek ni, Anggerik?" Aliff pula membalas kata-kata Anggerik. Manakala Juita pula hanya diam membatu.

"You patutnya jaga perempuan ni baik-baik. Jangan jadi liar ambil hak milik orang macam lembu terlepas kandang. Juita ni, harapkan nama aje sedap, rupa-rupanya perempuan paling murah yang pernah I jumpa!"

Aliff sudah mengayun tangannya untuk menampar saja pipi Anggerik yang putih mulus tanpa cela itu. Namun, pergerakannya terhenti apabila dia melihat anak mata Anggerik yang sudah bergenang dengan air mata. Tangannya jatuh dan hanya genggaman penumbuk yang ditahan-tahan saja terzahir pada pandangan Anggerik. Wajah Aliff yang merona merah jelas menunjukkan dia benar-benar mengawal dirinya daripada terus bertindak di luar kawalan.

Anggerik pula mencuba sedaya upaya menahan diri daripada menumpahkan air matanya. Ini bukan caranya. Menunjukkan segala kelemahannya pada orang lain bagaikan satu dosa yang besar.

Lalu tanpa membuang masa, Anggerik segera berlalu, meninggalkan Juita dan Aliff yang terus memandang ke arahnya sehingga jejaknya hilang daripada pandangan.

Juita, Satu dalam SejutaWo Geschichten leben. Entdecke jetzt