BAB 51

4 0 0
                                    


Restoran KFC, Seksyen 2 Shah Alam.

"Pertama kali saya tengok Anggerik, saya tahu saya memang betul-betul suka pada dia. Bukan setakat kecantikan dia, tapi lebih daripada itu. Anggerik bukan sembarangan gadis remaja yang saya pernah kenal sebelum ni. Dia tidak terikut-ikut dengan apa kata orang. Dia ada pendirian sendiri. Dia akan buat apa yang dia suka. Dia tidak peduli cakap-cakap belakang orang. Walaupun kadangkala dia sedikit keras kepala, tapi itulah yang menjadikan Nur Anggerik binti Amirul itu seorang yang unik. Cuba beritahu saya, lelaki mana yang tak suka pada Anggerik? Sampaikan abang sendiri pun ada simpan hati pada dia..." Nabil melepaskan satu keluhan berat berserta kerutan di dahi.

"Macam mana cerita Anggerik dengan Arman pula?" soal Juita lagi.

"Sebelum kes kemalangan langgar lari Arman tu, lebih kurang dua bulan sebelum tu, Arman pernah datang jumpa saya tanpa pengetahuan Anggerik. Masa tu saya baru balik daripada ko-kurikulum. Saya balik jalan kaki hari tu. Waktu di pertengahan jalan, saya ditahan oleh Arman. Dia bagi amaran dekat saya supaya jangan cuba-cuba dekat dengan Anggerik. Saya tak tahu macam mana Arman boleh tahu yang saya cuba nak berkawan dengan Anggerik. Tapi saya syak ada orang bagi maklumat pada dia sebab Arman tak pernah bersekolah sama dengan kita dan pada masa tu dia pun baru lepas tamat persekolahan. Tunggu keputusan SPM."

"Apa yang Arman beritahu lagi?"

"Dia ugut nak cederakan saya kalau saya cuba rapat dengan Anggerik. Awak tahu apa yang saya rasa masa tu?"

Juita mengangkat kedua-dua belah keningnya. Ya, itu tandanya dia mahu tahu tapi dia malas mahu buka mulut. Biar suara Nabil saja yang berlegar di pendengarannya ketika ini.

"Saya tak takut pun, Juita. Saya jadi lebih teruja untuk kenal lagi rapat dengan Anggerik. Waktu Arman ugut saya masa tu, saya cuma gelak saja pada dia. Masa itulah..."

"Masa itulah dia cederakan awak dengan pisau?" Juita meneka.

Nabil mengangguk, mengiakan kata-kata Juita. "Arman beritahu lagi yang tak akan ada mana-mana lelaki pun boleh rampas Anggerik daripada dia sebab Anggerik tu milik dia. Walaupun saya pernah baik dengan Arman waktu kecil, dia akan pastikan saya dengan Anggerik bukan pasangan kekasih. Arman beritahu saya lagi yang dia dan Anggerik dah simpan janji."

"Janji apa?"

"Saya tak tahu apa maksud dia. Mungkin janji sehidup semati? Janji nak kahwin? Saya tak tahu. Cuma memang ada yang tak kena dengan kata-kata Arman tu. Saya tak beritahu apa-apa pun pada Anggerik. Selepas kematian Arman, saya jadi semakin rapat dengan Anggerik. Kalau awak perasan, selepas kemalangan tu, Anggerik memang murung beberapa bulan."

"Saya tak perasan pun. Yang saya ingat, dia tak datang sekolah seminggu. Itu pun kawan sekelas dia cerita lepas heboh abang dia meninggal dunia."

"Memang ramai yang tak perasan. Saya beranikan diri untuk berkawan dengan dia lepas kemalangan tu. Saya teman dia di pusat sumber setiap kali waktu rehat. Walaupun pada mulanya, Anggerik mahu larikan diri daripada saya, tapi saya tetap akan ikut dia. Anggerik bukan sembarangan gadis. Lama-kelamaan kami jadi rapat, tapi atas permintaan Anggerik dan persetujuan kami berdua, kami tak tonjolkan hubungan kami berdua di sekolah. Kami tak suka. Biarlah saya dan dia saja tahu yang kami berkawan rapat. Sampailah suatu hari... kami bergaduh besar."

"Fasal apa?"

"Anggerik tuduh saya yang sebabkan Arman mati. Kata dia, saya yang rancang semua kemalangan tu. Dia marah saya apabila dia dapat tahu yang saya kenal Arman lama dulu. Anggerik kata, saya sepatutnya tidak tahu apa-apa fasal Arman."

"Wow! Si abang tak suka awak dekat pada adik dia. Si adik pula tak mahu awak tahu kewujudan abang dia. Memang ada sesuatu yang tak kena, kan?" Juita meneka campur terkejut dengan penemuan terbaharu ini.

"Sumpah, takkan tergamak saya nak buat macam tu kat Arman. Atas dasar apa?"Suara Nabil sedikit menekan.

"Ya, saya sendiri pun takkan percaya tuduhan tu, Nabil." Juita menggeleng kepalanya. Anggerik dan Arman, sisi lain mereka adik-beradik memang satu sisi yang tidak dijangkakan olehnya.

"Itulah punca pergaduhan kami berdua. Waktu tu lepas habis waktu sekolah. Saya dan Anggerik pulang lambat sikit sebab kelas Anggerik buat kelas tambahan sampai jam tiga petang. Saya tunggu dia hingga tamat kelas. Anggerik nampak saya di kantin tapi dia buat tak tahu saja dan terus tinggalkan saya. Saya kejar dia sehingga ke luar pagar sekolah. Waktu tu memang tak ramai orang sebab ramai pelajar yang dah pulang. Masa itulah dia tarik saya ke tepi, kat pokok ceri yang besar depan sekolah kita tu. Tempat tu tersorok sikit. Tiba-tiba saja dia tampar saya. Dia kata, saya upah orang rancang kemalangan Arman. Saya tak mengaku. Eh, mestilah saya tak mengaku sebab bukan saya yang rancang kemalangan tu pun. Tapi Anggerik tak percaya. Dia mula menangis teresak-esak. Saya pujuk, tapi dia tepis tangan saya dan tengking saya. Saya jadi hilang sabar dan tak sengaja tengking Anggerik semula. Saya tak pernah rasa semarah itu pada orang, tetapi kali itu memang saya benar-benar marah." Nabil bercerita panjang lebar.

"Awak tengking dia balik?" Juita tak sangka Nabil berani tinggikan suara pada Anggerik.

"Saya cakap pada dia, saya tahu rahsia kotor dia dengan Arman."

"Rahsia yang Arman dan Anggerik adalah adik-beradik merangkap pasangan keka..." Tak sanggup Juita mahu menghabiskan perkataan 'kekasih' itu. Tak terluah pada mulutnya. Jijik.

Nabil mengetap bibirnya. Riak kecewa bercampur-baur dengan riak sedih terpancar jelas di wajah lelaki itu. Anggerik, gadis yang disayanginya itu sanggup berkelakuan begitu.

"Err... sekejap." Juita mematikan lamunan Nabil.

"Ya?"

"Macam mana satu sekolah boleh tahu fasal hubungan Arman dengan Anggerik tu? Awak ke yang beritahu?"

Nabil geleng. "Saya taklah sejahat tu, Juita. Saya tak tahu macam mana boleh tersebar. Mungkin ada orang yang terdengar perbalahan kami waktu tu."

Juita mengangguk. Mereka berdua diam melayang sepi. Namun, tidak lama kemudian Juita bersuara lagi. Ada perkara yang buat dia musykil.

"Nabil, sepanjang saya bersekolah kat situ sekali sama-sama dengan awak dan Anggerik, saya tak pernah nampak awak bergaduh atau bermasam muka dengan Anggerik. Malah, waktu cerita Arman dan Anggerik dah tersebar pun, saya lihat awak berdua masih macam biasa. Tak gaduh, tak rapat. Macam biasa. Macam yang selalu saya dan rakan-rakan lain lihat."

Nabil mengetap bibirnya. Dia biarkan persoalan Juita itu tidak berjawab buat beberapa ketika.

"Saya tahu awak susah nak percaya cerita saya ni, Juita..."

"Saya tak kata saya tak percaya. Saya... saya cuma nak tahu aje." Juita cuba mempamerkan sengih supaya Nabil percaya yang dia mempercayai kata-kata lelaki itu.

"Saya dengan Anggerik dah janji tak nak besarkan hal tu lagi. Lagipun Arman dah tak ada. Saya anggap benda ni selesai. Kami sepakat untuk diam dan tak jawab apa-apa soalan daripada kawan-kawan. Saya tahu lama-lama cerita ni akan senyap juga."

"Pengetua?" soal Juita lagi.

"Kami dah jumpa dengan Cikgu Sazali dan terangkan yang semuanya tu salah faham."

Juita mengangguk faham. Dia tidak bertanya lagi apa-apa pada Nabil. Sedikit sebanyak dia sudah tahu sisi lain cerita Anggerik-Nabil-Arman ini. Cerita yang keluar daripada mulut Nabil Fadhlan sendiri. Bukan daripada sumber kedua atau ketiga, tapi daripada sumber perdana. Mana mungkin ia ditokok tambah, kan?

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now