BAB 8

5 0 0
                                    


Jika dunia realitinya tidak mampu membawanya untuk berkahwin dengan anak CEO, dia sudah tidak kesah. Itu hanya fatamorgana, bisik hatinya. Lagi pula, baru dia sedar yang dia tidak kenal mana-mana anak CEO pun. Tak pernah berlanggar kereta dengan mereka atau tak pernah pergi mana-mana majlis yang dihadiri oleh mereka.

Juita dan anak CEO ibarat dua batang jalan yang selari. Mungkin mereka pernah bersua tetapi tidak pernah bertegur sapa. Melalui jalan masing-masing dan buat hal sendiri-sendiri. Dunia mereka berbeza. Tak akan bersatu pun.

Buat masa sekarang, Juita harus melupakan seketika impian mahu kahwin dengan anak CEO atau impian mahu jadi gadis kesayangan ramai lelaki seperti dalam novel-novel cinta itu. Dia perlu mulakan 'kerjanya' malam ini. Petang tadi dia sudah berkira-kira, daripada sepuluh buah novel yang Aliff pinjamkan pada dia, yang mana satu dia mahu baca. Mulanya dia mahu baca berdasarkan blurb novel yang paling menarik. Tapi dia setelah membuat beberapa kajian, dia bertukar fikiran. Menurut para peminat Mambang Kuning, cara terbaik untuk mengenali Mambang Kuning adalah dengan membaca novel-novelnya mengikut urutan tahun diterbitkan. Dari situ pembaca dapat melihat kematangan dan kreativiti Mambang Kuning yang berkembang dari semasa ke semasa.

Ya, betullah tu. Juita akan ikut segala nasihat dan ajaran pembaca tegar novel-novel Mambang Kuning. Sejak dia mengenali identiti sebenar Mambang Kuning, tidak ada satu pun blog atau media sosial yang dipunyai oleh Mambang Kuning. Novelis itu benar-benar merahsiakan dirinya, sama seperti Ikhwan Oh La La. Cuma Ikhwan Oh La La masih ada blog dan kadangkala apabila terasa ada mood, akan keluar jumpa peminat. Mungkin strategi pemasaran kut. Lebih misteri lebih digemari. Sementelah, Mambang Kuning ini memang penulis cerita seram dan thriller. Patutlah sentiasa misteri. Cuma kali ini, kata penerbit, Mambang Kuning sudah bersedia bongkarkan identitinya. Ramai juga yang kata mereka pernah terjumpa dengan Mambang Kuning sewaktu sesi bertemu peminat dengan Ikhwan Oh La La, tetapi tidaklah terlalu dipedulikan sangat. Cuma cerita itu lama-kelamaan dibawa dari mulut ke mulut.

Dalam hati, Juita mengakui kebijaksanaan Mambang Kuning. Dia memang sengaja hadir di tengah-tengah pembaca yang berlainan genre daripada genre tulisannya agar tidak nampak ketara sangat di mata mereka seperti mereka tergila-gilakan (novel-novel) Ikhwan Oh La La. Namun, khabar tersebut tetap tersebar dari mulut ke mulut.

Juita tahu selama ini Nabil Fadhlan atau Mambang Kuning itu misteri. Dari zaman persekolahan lagi dia sudah nampak aura misteri lelaki itu. Itulah yang menyebabkan sehingga sekarang dia tidak pernah melupakan lelaki itu.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now