BAB 13

3 0 0
                                    

Berbanding dengan Rozana, Aliff senang saja bersetuju untuk menemaninya ke acara tandatangan Mambang Kuning itu. Juita rasa mahu buat sujud syukur saja. Dia tahu, Aliff tak pernah mengecewakannya.

Juita siap pelawa mahu belanja novel Mambang Kuning berserta tandatangan sekali, tetapi Aliff enggan. Dia kata dia mahu beli sendiri saja pada waktu lain. Bukan pada waktu sekarang ini. Dia beritahu pada Juita lagi yang dia tak kesah pun kalau tak dapat tandatangan Mambang Kuning. Dia tak akan kecewa. Beria-ia jugalah Juita kata dia perlu membalas budi Aliff yang sudi temaninya ke acara yang bakal menjadi acara penuh bersejarah ini. Aliff tetap menolak dengan baik dengan alasan tiada keperluan.

Huh! Alasan itu membuatkan Juita sedikit kecil hati.

Apabila Aliff mengatakan begitu, apalah yang Juita mampu lakukan lagi. Ada keluaran novel terbaharu lagi. Judulnya Cinta Semu. Judul yang tidak menyeramkan langsung, tetapi Aliff pernah beritahu Juita yang itu antara novel serammnya yang paling seram Mambang Kuning hasilkan. Khabar itu Aliff dapat dari laman Facebook rumah penerbitan yang menerbitkan novel-novel Mambang Kuning. Lama dulu Aliff pernah beritahu dia tentang keluaran novel terbaharu itu, sewaktu dia masih tidak pandang sebelah mata pun pada nama pena Mambang Kuning yang tidaklah seglamor novelis pujaannya, Ikhwan Oh La La.

Itu semua dulu, beberapa bulan lepas sebelum Aliff kini tidak pernah membuka cerita lagi tentang novel-novel Mambang Kuning yang pernah dibaca atau novel keluaran terbaharunya. Kini, semua tugas itu diambil alih oleh Juita binti Jais dan Aliff sekadar menjadi teman pendengar saja sepanjang perjalanan mereka ke kedai buku Gila Novel ini.

Sekali-sekala Juita memandang tepat ke wajah Aliff, mencari-cari riak wajah teruja pada lelaki itu setiap kali novel terbaharu Mambang Kuning ada di rak-rak buku. Tetapi dia tidak temuinya. Atau belum temuinya lagi. Itulah 'ritual' mereka sejak mula berkenalan lebih kurang enam tahun yang lalu, sewaktu sama-sama berusia 24 tahun lagi. Juita dan Aliff menjadi rapat bukanlah semata-mata Aliff rajin makan rendang daging hitamnya yang tidak jadi itu. Ia lebih daripada itu. Dalam banyak-banyak perkara yang mereka tidak sependapat, ada satu hal pula yang mereka sehati sejiwa. Kedua-dua mereka memang suka bersiar-siar dan cuci mata di kedai-kedai buku. Besar atau kecil, popular atau tak pernah didengari, asalkan saja namanya kedai buku, mereka akan sehati sejiwa dalam hal untuk masuk melihat-lihat apa yang ada di dalamnya.

Mereka berdua akan mula berjalan-jalan ke arah buku-buku yang ada di rak-rak besar tersebut. Perkara pertama yang Aliff akan belek kalau ke kedai buku tentulah sampul kulit depannya. Dia pernah beritahu Juita yang dia semacam ada tarikan terhadap sampul kulit buku terutamanya yang jarang ada dihasilkan oleh rumah-rumah penerbitan Malaysia. Sebab itu kadangkala Aliff punyai koleksi buku yang datang daripada pelbagai genre. Separuh daripadanya ada yang tidak pernah dibuka pembalutnya, atau senang cerita belum lagi memberi minat kepada Aliff untuk membacanya.

Lain pula halnya dengan Juita. Dia bukan seorang yang ragu-ragu membuat keputusan apabila masuk ke kedai buku. Dia tahu arah tujuannya – di rak novel popular. Itulah rak buku kesukaannya. Selalunya dia akan 'terjah' sinopsis atau blurb di belakang kulit novel tersebut. Sampul kulit jatuh tempat nombor dua atau tiga. Dalam banyak-banyak novel yang dia pernah baca, Juita ada senarai plot cerita yang dia gemari. Yang ada ala-ala cinta tiga segi atau cinta yang ditentang kerana orang ketiga memang plot cerita yang paling dia sukai.

Kenapa dia suka cerita yang begitu? Sebabnya ia banyak bermain dengan emosi, kononnya. Pada akhirnya, ia tetap akan berakhir dengan kegembiraan. Benar-benar eksapisme sungguh novel-novel sebegini. Sayangnya, ia hanya berlaku di dalam kertas sahaja. Tidak di dunia nyatanya.

"Sekali-sekala kau tak boleh terlalu memaksa diri kau untuk hidup dalam dunia realiti. Kadang-kadang kau kenalah juga keluar dan bayangkan dunia fantasi kau. Novel-novel cinta ni ekspasime aku," balas Juita apabila Aliff sering mengusiknya dengan novel-novel cintanya itu. Novel-novel kesayangannya. Tiada siapa pun boleh sentuh! Akan dia jentik-jentik dan kerat-kerat jari asing yang mahu menyentuh harta kesayangannya itu.

"Tapi sampai bila, Juita?" soal Aliff. Masa itu Aliff menemaninya memborong hampir sepuluh buah novel cinta yang Aliff kata macam hampir serupa sahaja jalan ceritanya. Itu yang dia sempat baca sekali imbas blurb dan sinopsis di belakang novel-novel itu. Cerita cinta tiga segi. Hmmph...

"Sampai aku benar-benar jadi bosan." jawab Juita.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now