BAB 26

3 0 0
                                    

Sepanjang Juita hidup selama 30 tahun ini, sebenarnya tidak pernah sekali pun dia berbual dengan Anggerik. Jangankan kata hendak berbual, menyapa 'hai' pun mereka tidak pernah. Yang pernah hanyalah pandangan, lirikan dan renungan tajam sekali-sekala sahaja sewaktu mereka sama-sama di alam persekolahan. Dan, renungan dan lirikan-lirikan mata mereka semakin kerap apabila Anggerik dapat menghidu hubungan rahsia antara Juita dan Nabil di pusat sumber sekolah setiap kali habis waktu persekolahan. Kononnya ia tidak lebih daripada sekadar cerita-cerita tentang novel kegemaran masing-masing.

Benarkah begitu?

Selama Anggerik berkawan dengan Nabil, tidak pernah pula Nabil memberitahu yang dia suka membaca novel. Novel? Ada ke lelaki yang suka baca novel? Kalau benarlah ada lelaki yang gemar membaca novel, maka dia kena percayalah pada kata-kata rakannya, Syafiqah bahawa sepupu lelaki Syafiqah itu pernah menangis teresak-esak di luar rumah apabila membaca novel cinta yang dipinjam daripada kakaknya. Nampaknya, jika benar Nabil peminat novel, maka dia terpaksalah meruntuhkan pemikiran stereotaipnya yang melabelkan lelaki tidak membaca novel.

Bagi Juita pula, dia tiada masalah pun kalau lelaki mahu membaca novel. Lebih-lebih lagi jika yang membaca novel itu ialah Nabil Fadhlan. Dia lebih-lebih menggalakkan. Juita menyukai keadaan begitu kerana dia menyukai apa yang Nabil suka tanpa perlu bersusah payah dan dipaksa-paksa. Semuanya berlaku dengan penuh rela.

Cuma, Juita agak terganggu apabila Anggerik mendapat tahu yang dia dan Nabil sering berbual hal novel di pusat sumber sekolah. Dia rasa terancam dan tidak selamat dengan khabar berita itu.

Kalau di sekolahnya itu, Anggerik dan Nabil adalah dua nama besar dalam kalangan guru dan rakan-rakannya. Malah, para pelajar dari sekolah berhampiran juga ada yang mengenali mereka berdua. Begitulah gahnya nama Anggerik dan Nabil ini. Seperti sebuah filem komedi romantik remaja Hollywood yang klise, watak-watak seperti Anggerik dan Nabil ini haruslah wujud sebagai penambah perisa.

Kemunculan Nur Anggerik di tengah-tengah hubungan Nabil dan Juita bukanlah satu kebetulan. Malah kemunculan Anggerik adalah satu kemunculan yang sangat penting dalam hidup mereka walaupun Juita sendiri cuba menafikannya. Watak Anggerik akan menjadi satu watak yang tidak akan dilupakan oleh Juita, Nabil mahu pun Aliff. Anggerik akan pastikan itu berlaku. 

Juita, Satu dalam SejutaOù les histoires vivent. Découvrez maintenant