BAB 57

996 60 8
                                    

DANIAL merenung dalam wajah Dania. Kesan lebam di tepi bibir, di pipi… membuatkan dirinya dihenyak kekesalan. Tangannya dibawa menyentuh lengan isterinya itu, dibelek garis-garis luka akibat dikelar oleh Syed Arief. Hatinya diserang rasa sebak yang kian bertandang. Tak disedari kolam matanya makin bertakung dengan air mata. Lembut bibirnya mencium kawasan itu sebelum disembam kepalanya di ruang sebelah lengan Dania. Terhinjut-hinjut bahunya menghambur tangisan. Sakit sekali rasanya melihat orang yang disayangi separuh nyawa itu disakiti sebegini rupa. Terasa gagal benar dia sebagai suami untuk melindungi isterinya.

Bunyi kuakan pintu membuatkan Danial kembali menegakkan tubuh sebelum wajahnya diraup kasar. “Danny.” Datin Sri Amirah masuk bersama dengan Datuk Sri Ashraf kemudian menghampiri anak lelaki mereka itu. Danial terus berdiri lantas diraih tangan Datin Sri Amirah.

“Ma, maafkan Danny ma. Maafkan Danny... Danny tak jaga Dania… Danny cuai…”

“Heii apa cakap macam ni?” Tubuh tegap anak lelakinya itu dipeluk. Belakang badan Danial ditepuk perlahan untuk menenangkan anaknya yang sudah teresak-esak. Belum pernah lagi dia melihat anak lelakinya ini menangis teruk sebegini. “Tak… Mama tahu Danny tak salah. Mama cuma tak sangka yang Arief sanggup buat sampai macam ni sekali. Mama kenal sangat dia, lama dah dia kawan dengan Dania.” Matanya jatuh pada Dania. Sebak hatinya melihat keadaan anak kesayangannya itu.

“Tapi ma, memang salah Danny. Danny tahu keselamatan dia terancam tapi Danny tak lindungi dia betul-betul. Dania hampir mati ma… Danny bersyukur sangat Mayra telefon Danny, bagitahu Dania dekat mana.”

Datin Sri Amirah meleraikan pelukan. Wajahnya jelas terkejut mendengar nama wanita itu disebut. “Mayra?”

Danial mengangguk. “Walaupun dia sebenarnya terlibat dengan Arief, tapi Danny tetap hargai pertolongan dia. Kalau dia tak ada, Danny tak tahulah apa akan jadi dekat Dania. Mungkin Danny takkan jumpa Dania pun sekarang ni.” Sayu matanya menatap wajah si isteri. Dia tidak tahu apa motif Mayra berbuat demikian, namun jika wanita itu tiada, barangkali isterinya sudah lama mati. Seharusnya dia bersyukur dan berterima kasih kepada perempuan yang pernah hadir walau cuma sebentar dalam hidupnya.

Datin Sri Amirah bungkam. Memang betul dia tidak pernah berkenan dengan perempuan itu, namun apa yang dikatakan Danial telah menyentuh hatinya. Betul cakap anaknya itu. Kalaulah Mayra tak ada, mungkin dia tidak dapat berjumpa dengan anaknya ini sampai bila-bila. Daripada keadaan Dania yang dilihatnya sekarang ini, tidak mustahil Dania tidak dapat bertahan.

“Mana Mayra? Mama nak jumpa dia, nak ucap terima kasih sebab dah selamatkan anak mama.”

Pandangan Danial beralih ke arah Datin Sri Amirah. Nafas dihela perlahan. “Mayra dah tak ada, ma.”

Bertambah terkejut Datin Sri Amirah. Berkerut dahinya mendengar kenyataan itu. “Tak ada? Maksud Danny?” Dia tahu apa yang dikatakan oleh anaknya cuma dia mahu meminta kepastian.

“Dia dah meninggal, ma. Danny tak tahu apa yang jadi tapi bila Danny sampai aje dekat sana, Mayra dah terbaring atas lantai dengan darah. Mungkin Arief tikam dia.”

“Allahu Akbar.” Datin Sri Amirah memegang dada. Bertambah-tambah sebak hatinya mengenangkan yang dia tidak sempat untuk berterima kasih kepada wanita itu.

“Sebelum Danny sampai sana, dia sempat minta maaf dengan Danny. Dia nak minta maaf sendiri dengan mama tapi dia takut tak sempat, jadi dia minta Danny sampaikan dekat mama yang dia minta maaf atas segala salah silap dia. Dia betul-betul menyesal sebab banyak cakap buruk pasal mama dulu. Dia harap sangat mama dapat maafkan dia.” Datin Sri Amirah terdiam. Terkenang kembali wajah cantik wanita lampai itu.

Mayra, dah lama aunty maafkan Mayra. Tak ada sedikitpun perasaan dendam atau marah dalam diri aunty. Terima kasih sebab sudi berkorban untuk anak aunty. Mulia hatimu, Amylia Humayra. Maafkan aunty sebab dingin dengan Mayra. Aunty doakan semoga Mayra tenang dekat sana.

Sayang Separuh NyawaWhere stories live. Discover now