BAB 16

1.6K 74 0
                                    

SERBA putih. Deretan bunga daisy putih kesukaan Dania menghiasi ruang tamu rumah banglo mewah itu, melambangkan kesucian, kelembutan dan kesederhanaan sesuai dengan majlis yang diadakan. Tetamu yang diundang tidak begitu ramai, namun tetap menyerikan lagi majlis suci ini. Danial sabar menanti kehadiran Dania, terasa sedikit gugup. Tak nak-tak nak pun, seram sejuk jugak.

Dania akhirnya turun bersama mamanya, Datin Sri Amirah dengan busana pengantin serba putih. Walaupun tampak ringkas, namun masih cantik. Danial sedaya menahan perasaan dalam hatinya daripada memuji perempuan yang dibencinya itu. Dia cuba memfokuskan pandangan pada orang yang berada di hadapannya, jurunikah.

Saat mata bertemu dengan mata Kim Jong-un itu, Dania cepat-cepat mengalih pandangan. Mana tidaknya, pandang macam nak makan! Serammm sangat. Dalam diam dia mengeluh. Apalah nasib aku kena kahwin dengan Kim Jong-un ni?

Duduk dilabuhkan di atas sofa yang telah disediakan buatnya, berlatarkan bunga daisy juga. Dia cuba menenangkan hati daripada terus merasai resah. Datin Sri Amirah yang duduk di bawahnya setia memegang tangannya, bagai mahu menyalurkan kekuatan.

Setelah menyampaikan khutbah nikah, jurunikah menghulurkan tangan untuk memulakan lafaz ijab dan kabul dan Danial menyambut huluran tersebut. Danial cuba mengawal diri daripada menjadi gugup yang amat. Haishh apesal aku jadi nervous ni? Relaks lah, Danial oii...

"Bismillahirahmanirahim. Saudara Danial Arshad bin Ashraf."

"Saya."

"Aku nikahkan dikau dengan Dania Aqira binti Amran dengan mas kahwin sebanyak RM1000 tunai."

Tanpa sedar, Danial dan Dania sama-sama memejam mata dan menarik nafas, sebelum Danial melafazkan kabul.

"Aku terima nikahnya Dania Aqira binti Amran dengan mas kahwin sebanyak RM1000 tunai."

"Sah?"

"Sah!"

"Alhamdulillah." Dan akhirnya dengan sekali lafaz, mereka disatukan dalam satu ikatan yang sah lagi suci. Tanpa dapat ditahan, air mata Dania gugur jua. Datin Sri Amirah naik duduk bersebelahan dengan Dania, memeluk satu-satunya anak perempuan yang kini bertukar status menjadi menantunya. Dania turut memeluk Mak Jah dengan air mata yang masih bersisa.

Hatinya bercampur-baur.

Entah mahu gembira ataupun sedih dengan ikatan ini.

Namun jujur, dia berasa agak terkilan apabila terkenang akan dia melalui momen paling berharga dalam hidupnya ini tanpa kehadiran ibu dan ayahnya.

Lagi-lagi ayah, yang seharusnya menjadi wali kepadanya saat dia melangsungkan akad nikah. Dan dia juga ingin berkongsi saat-saat bahagia ini dengan ibunya.

Ibu... ayah...

Ieya dah kahwin... Ieya nak ibu dengan ayah tengok Ieya kahwin... Ieya rindu ibu dengan ayah sangat-sangat...

Empangan matanya makin pecah. Datin Sri Amirah dan Mak Jah pula menyangka yang dia mengalirkan air mata bahagia.

Usai doa, bacaan taklik diperdengarkan. Usai itu juga, Danial bangun dan menapak menghampiri Dania untuk upacara pembatalan air sembahyang. Danial melabuhkan duduk bersebelahan dengan Dania. Mereka saling menghadap antara satu sama lain.

Datin Sri Amirah menghulurkan kotak cincin kepada Danial, seraya Danial menarik keluar cincin emas putih berbatu diamond satu itu. Dania menghulur tangannya ke hadapan, Danial dengan lembut meraih tangannya lalu menyarungkan cincin tersebut ke jari manis milik Dania. Secara automatik, Dania menyalam dan mencium tangan suaminya itu. Hatinya bertambah sebak, kerana yang menjadi suaminya kini ialah lelaki yang amat membenci dirinya.

Sayang Separuh NyawaWo Geschichten leben. Entdecke jetzt