SERUMAH DENGAN BUNIAN

186 6 0
                                    

Assalamualaikum pembaca semua. Nama aku Athirah. Berasal dan menetap di Pontian, Johor. Mungkin ada yang tidak tahu daerah yang bernama Pontian di Johor. Yelah, di sekolah dulu tidak semua daerah diperkenalkan…

Cerita ini bermula selepas aku tinggal tetap di rumah kampung halamanku di Pontian. Sebelum ini aku tinggal dan bekerja di Bangi, Selangor. Di kampung, abah masih mempunyai tanah pusaka yang tidaklah sebesar mana namun abah niatkan dengan pembinaan rumah disitu anak-anak akan tetap dapat kekal pulang ke kampung halaman….


Kini mak dan abah bersama Mama (ibu saudara, kakak kepada abah), Kak Mai (sepupu belah abah) menetap di deretan rumah tanah pusaka itu.


Hendak dijadikan cerita, rumah kami hanya diduduki oleh mak, abah, aku dan adik perempuan. Seperti biasa setiap petang, aku dan keluarga akan minum petang di ruang tamu. Secara tiba-tiba aku terasa ada lintasan orang lalu di belakang. Aku menoleh tetapi tiada orang. Ia melintas lagi. Aku pun menoleh semula, namun tiada sesiapa juga. Agak kehairanan kerana tempat yang aku duduk itu agak sempit laluannya. Aku duduk di antara dinding dan meja. Kalau ada orang yang ingin lalu, aku perlu bangun untuk memberi laluan. Yang peliknya, setiap ahli keluarga ada duduk di hadapan aku sedang menonton tv. Hairan! Jadi, siapakah yang lalu dibelakang aku?..


Lebih kehairanan apabila aku melihat wajah abah yang tersenyum melihat kebingungan aku. Lantas aku pun bertanya “Kenapa abah?”. Abah menjawab “Atie nampak ke?”. Hahh? Nampak??!! “Eh, nampak apa abah?”. “Yang lalu tadi, nampak ke?” Aku yang terkejut ni terus menjerit kecil “EH, abah nampak ke? Atie rasa macam ada orang lalu tadi. Bila tengok tak ada pun. Tapi dapat rasa!” Abah dengan gelak kecilnya menjawab dengan selamba, “Dia tumpang lalu je tadi. Biasalah tuu.” Hah?! Tumpang lalu aje?! Wah, lagi terkesima aku dibuatnya. Rupanya, abah juga nampak lintasan itu lalu dibelakangku. Dan abah juga menambah yang aku ini sedang duduk di laluan mereka. MEREKA?! Siapa pula mereka itu? Tanpa aku perlu bertanya abah bercerita padaku dengan lebih lanjut…


Sebenarnya, tapak rumah kami ini adalah laluan keluar masuk kaum dan bangsa Jin. Atau lebih tepat kaum Bunian. Dari dulu lagi memang kawasan rumah kami dilalui oleh mereka. Jadi tidak hairan kalau ada di antara ahli keluarga kami yang nampak atau rasa lintasan mereka. Abah kata makhluk ghaib atau halus ni juga ciptaan Allah. Bumi yang kita duduki ini bukan hanya kita sahaja yang tinggal, makhluk yang lain juga ada sama. Cuma ada yang nampak dan yang tidak nampak sahaja. Yang penting saling hormat menghormati, jaga menjaga. Kemungkinan ‘mereka’ ini Islam kerana kerap abah nampak ‘mereka’ berpakaian putih. (sama seperti bayangan lintasan yang aku nampak juga berwarna putih dan besar).. Rupa-rupanya, selama ini mak dan abah kerap melihat lintasan itu. Tapi tak diceritakan. Takut mengundang prasangka kami terhadap kaum itu.


Sejak dari kejadian itu, semakin kerap aku terlihat ‘mereka’. Walupun tidak dengan jelas, namun setiap lintasan dan kewujudan mereka akan aku dapat rasa. Ada ketika sedang aku sibuk memasak, secara tiba-tiba lintasan itu melalui aku. Kadang-kadang juga semasa aku menjemur kain atau menyapu di belakang rumah.

Bilik tidur aku bersebelahan dengan dapur. Sedang aku sibuk membelek handphoneku, dalam sedar atau tidak, terdengar hembusan nafas di telinga ku berulang kali. Ditoleh tiada orang. Namun keberadaan ‘mereka’ dapat aku rasa. Kadang- kadang agak geram juga kerana kemunculan ‘mereka’ yang tenggelam timbul itu. Namun seperti yang abah pesan, bumi ini adalah tempat tinggal yang dikongsi bersama.


Pernah sekali waktu raya adik-beradik semua pulang beraya. Rumah dipenuhi dari bilik hingga ke ruang tamu. Di satu malam dalam pukul 2 pagi, aku terjaga untuk membuang air. Bila aku keluar dari bilik tidur ku, kelihatan KAKAK-KAKAK ipar ku sedang berselera makan di dapur. Aku dan dia hanya berbalas senyuman. Di benak ku tidak hairan sama sekali jika dia lapar di waktu tangah malam kerana dia menyusukan anak kecil…

Seusai membuang air, aku melalui nya lagi untuk ke bilik tidur tapi kelihatannya hanya seorang sahaja keberadaan kakak ipar ku itu. Saja aku bertanya, “Sorang je ke?” Dia menjawab dengan perlahan “Sorang je la. Tak de siapa nak temankan”. Dalam hati berdetik “eh, tadi nampak macam berdua, kenapa kata seorang?”. Persoalan itu aku biarkan tidak berjawab dan terus masuk ke dalam bilik.


Keesokkan paginya, sengaja aku bergurau dengannya mengenai malam itu. “Ada orang buka periuk malam-malam seh. Haha..” Dia hanya tunduk dan tertawa. Tidak pula aku bercerita tentang ‘peneman nya’ itu. Lebih baik aku berdiam supaya tiada rasa takut pada nya.

Tentang ‘mereka’ yang melalui rumah kami sebagai laluan sudah diketahui oleh ahli keluarga yang lain cuma kami tidak beratkan. Pernah sekali semasa aku dan adik sibuk membongkah keluar kotak-kotak langsir untuk menggantikan langsir. Penat dikorek, lelah mencari tiada juga langsir yang dikehendaki. Hanya ada satu bahagian sahaja yang kami jumpai. Mak marah dan hairan, mana bahagian yang lain. Hanya ada satu bahagian tingkap sahaja langsir itu. Yang lain hilang tak dijumpai. Sedangkan kami sudah simpan bahagian-bahagian langsir di satu tempat yang sama supaya mudah nak dicari.

Abah dengan selambanya berkata ” Alah, diorang pinjam kejap je tu. Nanti diorang pulangkanlah semula.” Mak pun membalas dengan sinis dan lantang “Ha, yelah. Nak pinjam boleh, tapi nanti kena pulangkan balik. Lain kali pinjam beritahu. Jangan main ambil saja.” Awalnya aku kehairanan, mak dan abah bercakap mengenai siapa. Bila dihadam, baru aku tahu rupanya mak dan abah berkata mengenai ‘mereka’. Hah, boleh pula macam tu 😅…

Sebenarnya bukan sekali barang-barang rumah kami hilang tanpa dikesan, berkali juga. Yang paling kelakar, baju kotor abang ku juga hilang tak dijumpai. Mungkin ‘mereka’ berkenan dengan fashion baju-baju abang ku itu.. Haha..

Kini, kewujudan mereka sudah menjadi sebahagian dari hidup kami. Malah abah juga berpesan selagi kita tak mengganggu mereka, mereka tidak akan mengganggu kita. Diam-diam, sudah.. Kate mak 😁😂
Wujud atau tidak ‘mereka’ itu sebenarnya, Waalahualam. Rahsia Tuhan, tiada siapa yang tahu..

*Mungkin ada para pembaca yang tertanya-tanya bagaimana bayangan lintasan itu. Lintasan yang selalu melalui aku itu dia bayangan putih yang laju (seperti kereta yang laju melintasi kita) tapi kita terasa kehangatan mereka..

Credit : Editorial Department

Koleksi Fiksyen ShashaWhere stories live. Discover now