KAU...MILIKKU - BAHAGIAN AKHIR

141 9 0
                                    

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera pembaca Fiksyen Shasha. Pertama sekali,terima kasih FS kerana menyiarkan cerita saya. Dan, terima kasih kepada pembaca semua yang sudi mengikuti kisah Sofea. Kali ini saya akan menyambung cerita Sofea untuk bahagian terakhir, insyaAllah…

Untuk pengetahuan semua, penderitaan yang dilalui oleh Sofea ini berlarutan sehingga 13 tahun lamanya. Maka, saya akan cuba untuk meringkaskan cerita sebaik mungkin. Dan, untuk pengetahuan semua juga, selama 13 tahun itu juga lah pelbagai usaha telah dilakukan oleh ayah dan ibu Sofea, Pak Mail dan Mak Mah untuk memulihkan keadaan Sofea. Namun, mungkin pada masa itu, Allah masih belum izinkan untuk bertemu penawarnya.


Dipendekkan cerita, akhirnya Sofea berjaya menamatkan pengajian di universiti walau dalam keadaan beliau begitu. Disahkan mengalami depresi dan delusi oleh pakar perubatan moden juga. Namun, beliau cekal orangnya dan bersungguh-sungguh untuk melawan apa pun sakitnya. Sofea pernah juga dipulau rakan sekuliah kerana sikap pelik beliau yang kadang-kala bercakap seorang diri, suka berpakaian serba hitam dan yang paling menakutkan, Sofea boleh nampak makhluk-makhluk ghaib yang berkeliaran. Dan, dia pernah beritahu aku yang ada seorang lelaki berwajah hitam selalu mengikutinya.


Disebabkan perkara ini semakin serius, Pak Mail dan Mak Mah tidak putus-putus berusaha membawa Sofea berubat secara perubatan Islam. Pelbagai kaedah dilalui, ada yang kata Sofea didampingi saka keturunan,ada yang kata Sofea menegur makhluk ghaib dan kemudian makhluk itu mengikuti Sofea ke mana sahaja. Dan, pelbagai cara penyembuhan telah dilakukan, mandi air masjid 7 kolah, mandi air terjun, mandi air daun bidara, dan bermacam kaedah dan perawat dijumpai. Namun, keadaan Sofea masih seperti itu, kadang lebih parah bila beliau mulai sakit selepas berubat. Kadang usai menjalani rawatan, selepas Asar, Sofea akan diserang dengan kesakitan seperti jarum-jarum halus mencucuk-cucuk dari ubun-ubun rambut sehingga ke hujung kaki. Sakit ini akan berlarutan dari pukul 5 petang dan hanya akan berhenti tepat pukul 12 malam.


Setiap kali diserang, Mak Mah setia berada di sisi Sofea sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan harapan agar penderitaan Sofea segera dihilangkan. Kadang mengalir air mata seorang ibu melihat penderitaan yang terpaksa dilalui oleh anak kesayangannya ini. Sofea pula semakin kuat beribadat. Dia sedar, tiada siapa yang boleh membantunya selain Allah. Dan, dia sendiri perlu kuat untuk melawan. Satu lagi perkara yang ketara dialami Sofea ialah jodoh beliau seakan amat berat. Bukan tiada yang berkenan, tapi semuanya tidak menjadi. Sama ada yang masuk meminang hari ini, tapi esoknya maklum untuk batalkan atau Sofea sendiri yang memutuskannya.


Sehinggalah pada suatu hari, Pak Mail, ayah Sofea, bertemu dengan seorang ustaz di daerah Temerloh, Pahang. Ustaz Salleh namanya. Setelah meneliti keadaan Sofea, Ustaz Salleh kemudian berkata “Sofea ini terkena sihir pelalau…”. Mungkin ada di antara pembaca FS yang belum tahu apa Sihir Pelalau ini. Sihir pelalau ini, merupakan sihir penghalang. Bagi yang terkena sihir pelalau perkahwinan, jodoh akan menjadi berat. Kadang tiada wujud perasaan pun pada pasangan. Atau pun hubungan menjadi berantakan sehingga terputus di tengah jalan. Atau pun pasangan akan terlihat wajah kita menjadi bengis dan menakutkan atau sebaliknya.


Pendek kata, sihir ini akan menghalang jodoh dengan cara yang tidak baik (segalanya atas izin Allah jua). Dan, pesakit juga akan berkelakuan aneh disebabkan jin dari sihir tersebut. Maka, aku yakin itulah yang dialami oleh Sofea selama ini.
Tapi, persoalannya siapa yang menyihir Sofea?…

Suatu hari, aku memberanikan diri bertanya Sofea. “Kau ada syak Ray tak?”. Sofea terdiam dan memandangku tajam, lantas berkata “Kenapa pula dia nak buat aku? Dia baik-baik sahaja dengan aku selama ini”. Sambil jarinya bermain-main cincin pemberian Ray dahulu. “Kau masih pakai cincin tu?” tanyaku. “Aku sayang sangat cincin ni” sambil Sofea tersenyum dengan pandangan yang menakutkan. Untuk pengetahuan semua, Mak Mah pernah maklumkan pada aku yang semasa Sofea masih di universiti, setiap kali cuti semester, Ray pasti menghubungi Sofea. Ray sendiri akan datang ke rumah Sofea untuk berjumpa Sofea dan keluarga. Mak Mah sendiri amat menyenangi budi pekerti Ray.

Koleksi Fiksyen ShashaWhere stories live. Discover now