Adilla Part 3

146 9 0
                                    

Biarlah Aishah berehat di rumah dahulu untuk beberapa hari. Saya akan buat surat cuti sekolah untuk Aishah. Salah saya juga sebab minta dia tunjukkan tempat dia mahu berjumpa dengan Adilla tu. Saya tak sangka kena usik di situ, niat saya mahu mencari Adilla.” Cikgu Huda berkata sambil tangannya mengusap lembut kepalaku.

“Tak mengapa cikgu, benda nak jadi kita tak tahu. Aishah ni pun selalu mencari Adilla semenjak Adilla tu hilang. Terima kasih cikgu sebab sudi ambil berat mengenai Adilla. Saya pun risau juga mengenai dia.” Mama berkata dengan nada perlahan.

“Itu sudah menjadi tanggungjawab saya.” Cikgu Huda berkata dengan senyuman.

“Saya rasa sudah tiba masanya Tok usir keluarga penagih tu dari kampung kita ni lagipun dia bukan asal kampung kita, keluar penjara bawa anak bini tagih simpati. Haa.. berjaya la tipu helah dia sampai Tok sudi bagi dia duduk free kat rumah sewa Tok tu.” Pakcik Jai tiba-tiba bersuara.

“Kalau mereka duduk molek-molek tak apa Tok, saya pun tak kisah. Ni si ayahnya, selalu serang rumah orang, anak dara kampung kita pun selalu dia usik, nasib tak pernah jadi kes apa-apa. Yang si ibunya pula, entah lari dengan jantan mana, lesap macam tu je. Tak fikir si Adilla tu masih budak mentah. Adilla tu pun, entah bertukar jadi jin ke hantu budak tu sebab asyik berkawan dengan mereka. Lama-lama porak peranda kampung kita disebabkan mereka.” Pakcik Jai bersuara lagi.

“Ishh kamu ni, tak baik berkata begitu. Aku selaku ketua kampung memang fikirkan yang terbaik untuk kampung kita ni tetapi tak boleh lah aku senang-senang usir keluarga mereka begitu saja. Adilla tu masih kecil.” Tok Ketua Radi bersuara tegas.

“Memanglah Adilla tu masih kecil tapi mana dia sekarang? Hilang… lesap tanpa khabar berita. Tak kanlah Tok nak dengar kisah anak dara kampung kita kena rogol dulu baru Tok nak ambil tindakan? Tunggu kanak-kanak kampung kita seorang-seorang hilangkan diri baru Tok nak halau keluarga pembawa malang tu?.” Makcik Maimun pula bersuara. Nadanya penuh amarah.

“Betul tu Tok, sekarang kita dengar si Aishah dan Huda ni nampak ular, esok lusa entah jembalang apa pula yang muncul. Mencegah tu lagi baik dari mengubati. Dah parah nanti baru Tok nak ambil tindakan, tak ada guna dah Tok. Masa itu baru Tok fikir apa yang kami cakapkan ini ada betul ke tidak.” Makcik Senah pula menyampuk.

“Bekas tapak permainan tu kita tutup sebab tempat tu keras, banyak kejadian mistik. Dah jadi kawasan larangan dah dalam kampung kita ni. Kampung kita pun tak pernah kena kacau sampai tahap macam ni, alih-alih budak si Adilla tu masuk ke kawasan tu, memang mengundang padahlah jawapannya. Macam mana pun, Tok kena ambil tindakan. Bukan untuk seorang tetapi untuk seluruh penduduk kampung.”Pakcik Umar pula bersuara.

“Baiklah, nanti aku fikirkan jalan yang terbaik untuk penduduk kampung. Esok siapa yang berkelapangan boleh lah menyertai misi pencarian Adilla bersama Ustaz Firdaus. Dah jumpa budak tu baru aku fikir tindakan seterusnya. Selagi Adilla tak dijumpai, selagi tu dia jadi tanggungjawab aku.” Tok Ketua Radi bersuara.

“Berilah ruang untuk Aishah dan keluarganya berehat, tak perlulah kita bincangkan hal itu disini. Yang lain-lain bolehlah tinggalkan rumah ini, apa-apa usul atau cadangan datang ke rumah aku atau bawa semasa mesyuarat nanti. Aku beransur dulu. Aishah, kamu rehat dan jangan banyak bergerak nanti Tok usaha carikan kawan kamu, Adilla.” Tok Ketua Radi berkata dengan senyuman dibibir sambil tangannya mengusap kepalaku berulang kali.

“Terima kasih Tok sudi datang melawat dan sudi tolong carikan Adilla. Aishah ni sayang sangat pada Adilla tu.” Mama berkata dengan nada sebak.

“Aishah, Adilla dan semua kanak-kanak dalam kampung ni aku dah anggap macam cucu kandung aku sendiri. Sakit cucu seorang, aku risau, hilang cucu seorang, aku risau sebab selagi aku pegang amanah ini, aku anggap semuanya keluarga aku juga. Berehatlah kamu sekeluarga. Yang lain marilah turut beransur pulang.” Tok Ketua Radi meminta izin untuk pulang dan begitu juga orang kampung yang lainnya.

“Aishah, maaf kalau cikgu bertanya tapi kamu kata kamu nampak tiga kanak-kanak yang berkawan dengan Adilla kan? Kamu pernah nampak seorang wanita turut ada bersama mereka bertiga tak sebelum ni?”. Cikgu Huda bertanya.

Tinggal Cikgu Huda dan Cikgu Aini sahaja dirumah Mama, mereka membantu Mama mengemas sedikit kawasan rumah akibat banyak penduduk kampung yang datang tadi. Aku tak tahu berapa lama aku tidak sedarkan diri dan apa yang berlaku semasa aku tak sedarkan diri.

“Tak pernah pula cikgu. Saya hanya berjumpa dengan tiga kawan Adilla tu saja, itupun hanya sekali sahaja.”

“Oh… tak mengapalah kalau begitu. Cikgu dan Cikgu Aini pulang dulu ya. Inshaa Allah ada masa cikgu datang melawat kamu.” Aku bersalam dengan Cikgu Huda dan Cikgu Aini.

************************

Seminggu aku tidak dapat datang ke sekolah. Badanku tiba-tiba naik ruam merah yang menyebabkan aku berasa gatal dan pedih. Seminggu aku dimandikan Mama dengan air penawar, di sapu losyen dan diberi suntikan oleh doktor dan pelbagai cara Mama guna untuk sembuhkan sakit aku. Setelah seminggu, badanku semakin sihat dan sembuh lalu terus aku minta izin pada Mama untuk ke sekolah. Terasa kebosanan apabila aku hanya dibenarkan baring sahaja di atas katil dan bangun apabila perlu dimandikan atau diberi makan ubat.

“Aishah… ang dah sihat ke? Aku, Damia dan kawan-kawan kelas yang lain ada datang rumah ang tapi ang tidur. Setiap kali kami datang, ang tidur saja. Mama ang kata ang tidur sebab makan banyak ubat.” Hana datang bersalam dan memeluk aku.

“Ya, Mama ada ceritakan pasal itu kat aku. Aku tak sihat masa tu tapi sekarang aku dah sihat.” Aku berkata dengan riang.

“Betul ang dah sihat? Nanti bolehlah petang ni kita main sama-sama kat rumah aku.” Damia pula memeluk aku.

“Okay.. petang ni kita main sama-sama kat rumah ang. Ni Mama ada sediakan biskut oreo coklat, makanlah sekali.” Aku mempelawa lalu disambut oleh Hana dan Damia. Masing-masing memasukkan biskut ke dalam mulut. Aku memang pengemar coklat jadi apa-apa masakan yang diperbuat daripada coklat, semua akan jadi kegemaran aku.

“Aishah… ang tahu tak yang cikgu kelas kita dah bertukar? Ganti dengan Cikgu Sakinah. Dah seminggu dah Cikgu Sakinah gantikan tempat Cikgu Huda.” Damia bercerita.

“Eh! Ya ke? Aku tak tahu pun pasal Cikgu Huda tu. Patutlah Cikgu Huda tak pernah melawat aku semasa aku sakit, Cikgu Huda janji nak datang melawat.” Aku terkejut.

“Aku tak pasti betul atau tak tapi Mak dan Ayah aku kata Cikgu Huda kena kacau sampai jadi tak sihat dan hampir gila. Sekarang Cikgu Huda kat hospital.” Damia menyambung cerita.

“Ang tau tak siapa yang berani kacau Cikgu Huda tu?.” Damia menyoal. Aku memandang wajah Hana namun Hana hanya mendiamkan diri.

“Siapa?.” Aku menyoal kembali.

“Adilla dan kawan-kawan ular dia tu lah, siapa lagi. Mak aku kata yang berkawan dengan Adilla tu bukan manusia tapi jelmaan ular. Itu sebab ang dan Cikgu Huda jumpa ular hari tu.” Damia berkata dengan suara berbisik sambil matanya memandang ke kanan dan ke kiri.

“Mak aku kata kita tak boleh sembang kuat-kuat, nanti kawan-kawan Adilla dengar, dia datang patuk. Mak kata boleh bawa m**i.” Damia berkata dengan wajah pucat. Aku dan Hana mengangguk tanda memahami. Mata kami turut memandang sekeliling, gusar sekiranya Adilla dan kawan-kawannya ada disitu.

Mama beritahu aku yang misi pencarian Adilla bersama Ustaz Firdaus tidak berjaya. Ramai penduduk kampung datang menyertai namun usaha itu menemukan kegagalan. Pakcik Jai kata dia ada terdengar suara kanak-kanak perempuan menangis meminta tolong, suaranya seperti Adilla namun puas dicari tetap juga tidak menemukan hasil. Tiga hari penduduk kampung teruskan pencarian Adilla namun tiga hari juga pulang dengan kegagalan dan akhirnya Tok Ketua Radi terpaksa hentikan pencarian Adilla.

Ayah Adilla terpaksa di usir dari kampung akibat desakan orang kampung. Tok Ketua Radi bawa Ayah Adilla keluar dari kampung dan sejak daripada itu tiada khabar berita mengenai Ayah Adilla lagi. Hana beritahu aku banyak yang berlaku sepanjang seminggu aku terlantar sakit.

Ada beberapa orang kampung yang apabila berjalan melintasi kawasan taman permainan terbiar itu mereka seakan-akan dengar suara kanak-kanak ketawa dan ada sesetengah penduduk terdengar suara kanak-kanak meminta tolong. Ada penduduk kampung yang bawa masuk kenalan mereka yang merupakan ustaz malah ada yang turut membawa masuk bomoh dan pawang untuk menjejaki Adilla namun masih buntu….

Koleksi Fiksyen ShashaWhere stories live. Discover now