HR 11

175 21 0
                                    

HIRUK-PIKUK suasana dalam restoran ikan bakar tidak menggugat Hirzan. Dia mula resah sedikit bila Qis tidak membalas mesejnya sejak siang tadi. Hanya baca dan biarkan tanpa dibalas. Hatinya ditahan dari menghantar mesej lagi terutama berbaur persoalan. Takut wanita itu rimas pula.

Telefon ditaruh dalam poket seluarnya dan sambung makan.

Alang-alang ibunya teringin nak makan ikan bakar, nasib baik ada satu restoran yang dekat dengan resort mereka. Dan tepat-tepat mereka duduk di meja, ramai pelanggan mula memenuhi restoran.

Siapa sampai dulu, dapatlah meja yang belum ditempah. Ramai juga yang terpaksa balik kerana semua tempat sudah penuh.

Menu berasaskan masakan Thailand dan cuma tambah ikan bakar serta beberapa makanan laut lain. 

Hirzan ikut saja. Tekak yang jenis boleh telan semua makanan. Tiba-tiba dia dengar ibunya berdehem pantas matanya melirik.

"Hirz, maaflah kalau ibu cakap ni buat Hirz tak selesa tapi ibu tak pernah bangkitkan hal jodoh dengan Hirz kan?" soal Puan Shue. Berhati-hati. Dia tak nak nampak macam tengah paksa anak bujangnya.

"Ibu nak menantu ke?" tanya Hirzan balik dengan muka tahan senyum dan sambil mengunyah sisa makanan yang belum ditelan.

Puan Shue terus menyimpul senyum.

"Ibu tak naklah macam paksa Hirz tapi kamu dah 26 tahun. Ibu nak ambil tahu juga kalau Hirz ada apa-apa perancangan. Tak adalah ibu risau sangat nanti. Sebab ibu faham dengan kerja Hirz, kadang sampai tak balik langsung. Kadang kena outstation berminggu-minggu."

Hirzan senyum tipis. Dia tak kisah sebenarnya kalau keluarganya yang sibuk dengan hal jodohnya. Ya lah darah daging sendirikan. Tapi kalau orang luar itu yang dia tak suka. "Ibu doa yang baik-baik okay. Lagi pun Hirz memang dah ada calon cuma... Perlukan masa sikit," balas Hirzan.

Refleks tubuh Puan Shue tersentak dan merapat ke meja makan.

"Dah ada? Macam mana orangnya?"

"Eh awak ni, makanlah dulu. Nanti baru tanya. Tadi dia yang kata macam tak nak paksa..." sampuk Encik Huzaire.

Puan Shue sedikit menjeling. Kacau daun betul!

"Well, dia... Luar biasa. Bagi Hirz. Air muka lembut tapi terselit garang. Manis comel..." Tak sedar yang senyuman semakin menghiasi wajahnya.

"Tu aje? Tadi kata luar biasa? Tak romantik langsung kau ni. Kalau itu jawapan yang kau bagi dalam peperiksaan menghurai teman wanita, memang kau dapat satu markah aje tahu? Patutlah susah perempuan nak melekat. Sampai nak mengorat dia pun ambil masa," kata Haina.

Mata jatuh pada kakaknya, Haina. Haih... Nak membidas pun macam ada betul juga. Tapi dia cuma kenal Qis Arlynna tak sampai setahun lepas tu putus. Cuma mungkin yang luar biasa adalah perasaan masing-masing.

"Biarlah tak ada perempuan nak melekat. Rimas. Aku nak, aku carilah nanti. Buat bini terus. Aku cuma nak sorang aje dan Qis tu tengah jual mahal okay. Jual mahallah bagus kan ibu?" Hirzan pandang ibunya pula.

Haina buat muka toya. 

"Nama dia Qis?" Muka Puan Shue teruja.

"Qis Arlynna," kata Hirzan lagi.

"Sedapnya nama..."

"Tengoklah siapa punya buah hati."

Makin berbakul-bakul muka menyampah Haina bila dengar. Kalau betul realiti tak mengapalah. Ini pun belum tentu adik lelakinya ini berjaya dapatkan wanita yang digembar-gemburnya itu. Memang sekarang susah dia nak percaya kata-kata Hirzan kecuali ada bukti. Sebab dulu Hirzan suka menyakat dan menipunya.

"Ni satu lagi benda nak tanya. Kau polis tapi tak ada uniform. Sekarang cuti, seminggu pula tu. Setahu aku, polis susah nak dapat cuti."

Hirzan kekalkan wajah tenang tanpa ekspresi gelabah.

"Lebih kurang FBI lah dan aku tak bawa balik uniform. Lagi pun itu pakaian rasmi hanya untuk majlis rasmi dan tugas rasmi. Kerja aku buat benda lain yang tak perlukan uniform tu." Tenang Hirzan menjawab.

Haina memicing matanya pada Hirzan sepanjang lelaki itu beri jawapan.

"Dah dah jom makan. Abah nak balik bilik." Encik Huzaire memintas perbualan itu.

Haina matikan niatnya untuk bertanya lagi. Walaupun setiap persoalannya Hirzan boleh jawab tanpa ragu-ragu. Lepas suap anak kecilnya, dia suap dirinya pula.

Dalam diam pula, Hirzan lega. Asyik diserang saja dengan kakaknya. 

***

QIS capai mug pada rak dan berlalu ke mesin air Coway. Badan mug itu menolak pada butang panjang ke belakang hingga keluar air. Dia tunggu sampai separuh sebelum menarik semula. Qis teguk sedikit seraya teringat tentang Hirzan.

Sudah tengah malam dan masih tak ada mesej atau gambar terbaru daripada Hirzan walhal lelaki itu baru offline lebih kurang sejam yang lalu.

Mesej terakhir masa lewat petang tadi. Itu pun Qis baca saja dan tidak balas.

Sekarang dah senyap? Kenapa? Rasa putus asa? Tapi baru sehari dia lancarkan rancangan tanpa sengajanya untuk tidak terlalu melayan Hirzan.

Tapi apa hal pula aku resah semacam eh? desis hati Qis. Haih! Susah betul berperang dengan logik dan hatinya.

"Novel kau macam mana?"

Qis dikejutkan dengan sergahan suara dari belakang. Tapi dia tidak pusing. Tahu dah langau datang kembali untuk menyakitkan hatinya. Nafasnya ditarik untuk kumpul kekuatan membuat serangan balas.

"Alhamdulillah. Melimpah-limpah rezeki. Sebab tu nak belanja sikit keluarga ni pergi bercuti. Ameena tak nak sponsor apa-apa ke maklang?" Qis membalikkan tubuhnya menghadap wanita itu yang sedang ambil sesuatu dari peti sejuk.

Kemudian tutup pintunya. Ada sebiji epal hijau dalam genggaman. Maklangnya berjalan ke sinki.

"Buat apa, kau kan nak sponsor. Eloklah tu. Biar semua orang nampak hasil kau tulis novel ni. Adalah juga nak dibangga-banggakan. Ameena tu dah biasa orang bangga dengan dia. Lagi pula lepas habis chambering ni dia nak tunang. Jadi duitnya biarlah untuk majlis dia," tutur maklang seraya memotong sedikit bahagian epal itu dengan pisau kemudian suap ke mulut.

Qis kawal reaksi mukanya walaupun dalam hatinya sudah mula sakit. Banyak kali terdetik kenapa makciknya seorang ini ada saja benda yang dia tidak puas hati.

"Oh awalnya tunang. Bukan dia bakal peguam ke? Sibuk. Ada masa pula nak berlaki?" Qis senyum bersama tawa halus.

Lama juga maklang pandang Qis sebelum buka mulut.

"Lebih baik awal daripada lambat. Kamu tu bila? Tahun depan nak masuk tahun andartu."

Kening Qis berkerut.

"Umur 26 tahun dah dikira andartu?" Qis terhambur sedikit tawa sebelum menyambung bicaranya. "Habis umur 30... Dah jadi makcik-makcik lah? Umur 40? Nenek? Umur 50 dah jadi warga emas lanjut usia? Sorrylah maklang, pendapat Qis berbeza. Apa yang Qis tahu, sebelum umur 40 tahun adalah proses menjadi wanita yang berusaha untuk tingkatkan hidupnya supaya berkerjaya, teratur, berfikiran kreatif, kritis dan matang. Kahwin atau tak itu bukan tanda ukur untuk gelaran anak dara tua. Sebab kita hidup di bawah aturan Allah."

Qis taruh mug di tepi Coway dan meninggalkan maklang di dapur. Elok-elok ke dapur untuk sejukkan tekak jadi hatinya pula yang panas.

His ReturnDove le storie prendono vita. Scoprilo ora