HR 20

95 12 0
                                    

MOTOR Kawasaki hitam itu membelok masuk ke dalam perkarangan pangkalan Imperial. Seterusnya ke tempat letak motor yang terletak di luar di depan bangunan. Lepas matikan enjin, Hirzan cabut helmet di kepalanya lalu turun dari motor. Kuncinya diambil dan mengatur langkah masuk ke dalam bangunan besar itu. 

Lobi yang luas itu cuma ada dua ruang yang dilengkapi dengan set sofa. Di tengahnya betul-betul berdepan pintu masuk, ada kaunter resepsi. 

Hirzan ambil laluan dia sayap kiri bangunan dan menelusuri jalan kecil sebelum keluar dalam kawasan yang ada lebih banyak laluan untuk ke pelbagai departmen. Dia gunakan lif untuk ke tingkat dua.

Keluar saja, Hirzan jalan terus dan masuk ke ruang pejabat untuk Special Team.

"Ada orang dah balik..." ujar satu suara.

Hirzan senyum sambil membalas sapaan semua orang yang ada dalam pejabat itu. Sebelum duduk, dia bersuara pula.

"Kenapa bunyi macam dengki dengan aku?" 

Meletus ketawa Qarizh kemudian melepaskan keluhan.

"Aku stress."

Senyuman Hirzan tidak hilang juga selepas mendengar luahan dari mulut Qarizh. "Pasal misi tu ke?"

Qarizh terus merapatkan kerusi beroda itu dekat dengan Hirzan.

"Ini pasal Ops Tatiana. Kau ingat tak rumor pasal ada VVIP terlibat sekali?"

Hirzan pandang lelaki itu kemudian mengangguk.

"Skuad Hitam kena siasat pasal penglibatan VVIP tu?"

Qarizh angguk kepala. Dahi Hirzan sedikit berkerut.

"Bukan ke VVIP tu dari Malaysia? Kenapa sampai Skuad Hitam pula yang ambil kes tu?" tanya Hirzan.

Mana tidak peliknya, Skuad Hitam hanya untuk operasi penting dan besar yang mungkin akan melibatkan konflik tertentu hubungan diplomatik dan antarabangsa. Kalau setakat kes VVIP yang belum sahih maklumatnya tentang keterlibatan dengan kes Tatiana, Special Team pun boleh uruskannya kerana ia masih urusan dalam negara.

"Mana la aku tahu. Aku, Eshal dengan Thong pula kena buat kerja Intel. Habis ahli-ahli Skuad Hitam lain bahagian Intel mana?" Qarizh berbisik keras dan sedikit tidak puas hati. Entah kenapa rasa macam kena buli dengan orang atasan pula sebab Skuad Hitam memang kumpulan tertinggi dalam Imperial.

Sementara Special Team adalah yang kedua. Apa-apa misi dan operasi tertentu akan diadakan bersama rakan sepasukan dan setiap maklumat atau perbincangan langkah seterusnya akan dilakukan dalam mesyuarat bersama Ketua Unit mereka.

Tapi kali ini berbeza. Jarang sekali ada kolaborasi antara kedua-dua pasukan ini kerana setiap pasukan ada orang-orangnya; perisikan, gerakan, strategis, penggodam dan pakar-pakar lain.

Bunyi Interkom di meja Hirzan berbunyi.

"Niq, tolong masuk bilik saya sekejap," arah Tuan Daniel. Interkom kembali berbunyi dan senyap beberapa saat selepas itu.

"Gerak dulu..." Hirzan angkat punggung. Bahu Qarizh ditepuk perlahan dan menuju ke bilik ketuanya.

Tangannya mengetuk perlahan dan terdengar suara membenarkan Hirzan masuk. Tombol pintu dipulas dan tolak. Tubuhnya masuk ke dalam ruang itu.

"Tuan."

"Duduk Niq,"

Hirzan akur.

"Kebetulan awak dah kembali bekerja hari ni, nah..." Tuan Daniel tolak sebuah fail biru ke arah Hirzan. Di atasnya ada cetakkan dua patah perkataan serta sehelai sticky note berwarna kuning. "Kalau awak belum balik, saya terpaksa serahkan misi ni kepada orang lain tapi... Otak dan keupayaan awak sesuai dengan kes ni," kata Tuan Daniel lagi.

"Cold case?" Mata Hirzan naik menatap lelaki yang dah separuh usia itu. Fail itu ditarik dan buka. Beberapa helaian diselak lalu membaca maklumatnya.

"Dah 20 tahun. Tapi sebab baru-baru ni ada kes dengan modus operandi yang nampak sama dengan cold case ni... Pihak polis minta kita buka semula kes ni."

"Diorang tak boleh siasat sendiri ke?" soal Hirzan lagi. Hampir saja nadanya macam nak perli.

"Awak akan tahu lepas baca fail tu..."

Mata Hirzan bergerak membaca setiap aksara pada kertas itu.

"Bunuh, rogol, penculikkan dan pemerdagangan manusia dan organ serta lain-lain...?" Terjongket kening Hirzan.

"Ejen dan detektif yang kendalikan kes dan misi ni berpendapat kumpulan ni ada aktiviti haram lain juga cuma tak ada bukti kukuh. Mereka tak dapat teruskan..."

"Sebab?"

"Kedua-duanya dibunuh."

Hirzan tersentak. Tuan Daniel bangun dan pergi ke rak yang menempatkan pelbagai fail dan buku-buku. Dia menarik satu fail yang sama saiz dengan fail biru tadi lalu diberikan kepada lelaki muda di depannya.

"Itu laporan penuh pembunuhan Ejen Jaz dan Detektif Ravi. Lepas dari hari tu, kumpulan ni macam hilang ditelan bumi. Tak dapat dijejak. Kalau ada kes yang serupa terjadi pun bukan dari kumpulan yang sama," jelas Tuan Daniel.

Hirzan mengangguk perlahan.

"Modus operandi, macam mana boleh ditentukan walaupun sub kes semua berbeza?"

"Ejen Jaz pernah bagi tahu saya dulu, antara pelakunya ialah orang-orang yang sama yang mereka berjaya kesan jejaknya cuma masih belum berjaya tangkap. Atau daripada saksi-saksi dan cara kegiatan dilakukan."

Hirzan angguk lagi. Fail yang baru diberi tadi, dia ambil juga.

"Okay, saya akan uruskan. Lepas dah teliti nanti saya akan jumpa dengan detektif tu," ujar Hirzan.

"Baik. Maklumat dan alamat detektif tu ada pada sticky note. Apa-apa boleh jumpa saya. Dan kalau awak perlu bawa seorang atau beberapa orang untuk turut serta misi ni saya benarkan."

Hirzan berdiri. "Kalau tak ada apa-apa saya minta diri dulu." Lepas itu, Hirzan tunduk sekejap sebagai tanda hormat kepada ketuanya sebelum berlalu keluar dari bilik.

***

HIRZAN duduk bersila di atas sejadah. Termenung. Adakala kotak ingatannya melayarkan semula momen semasa bercuti tempoh hari. Dan itu menerbitkan senyuman di bibirnya. Pertama kali bertemu Qis Arlynna secara depan-depan. Sesuatu terjadi... Sukar nak ungkapkan perasaan ketika itu.

Selama ni, waktu ada hubungan dulu hanya melihat dari skrin telefon. Kemudian lepas dah putus, dia tak mahu la minta begitu. Dia tak nak Qis rasa tak selesa.

Kata-kata Qis malam itu ketika di pantai buat dia rasa serba salah. Tapi sepanjang tiga tahun ini pun, rasa itu memang melekat dalam dadanya. Tak pernah berubah dan tak pernah hilang.

"Haih... Macam mana lagi nak yakinkan dia ni?" Hirzan menggumam sendiri. Macam mana lagi nak bagi tahu yang dia betul-betul nakkan Qis?

"Ya Allah, tolonglah yakinkan dia. Tolonglah buka hati dia..." Doanya tapi separuh merengek.

Sudahnya, Hirzan bangun dan terus sidai sejadah pada ampaian. Hampir saja dia lupa yang ada fail perlu disemak. Jika tidak, begitu jelah keadaannya. Merengek macam budak kecil yang nakkan sesuatu sampai dia puas.

Hirzan duduk di meja kerjanya. Kulit fail biru itu dibuka. Baru saja tengok sekejap tapi fikirannya diganggu dengan perkara lain.

"Kedua-duanya dibunuh."

Suara Tuan Daniel tadi terngiang-ngiang. Hirzan periksa pula fail kes pembunuhan Ejen Jaz dan Detektif Ravi.

"Kena bunuh pada hari yang sama. Tempat berbeza. Ejen Jaz ada tanda pergelutan. Punca kematian, tikaman berulang di dada dan leher dikelar..." Mata Hirzan naik sekejap merenung dinding. Dia selak pada bahagian maklumat Detektif Ravi. Tak ada yang menarik. Hanya mati ditembak tepat ke dada.

"Apa yang pelik ya?" Hirzan cuba fikir. Dia tahu ada yang tak kena tapi belum dapat tangkap.

Kejap. Dia sudah tahu!

His ReturnWhere stories live. Discover now