Part 2

12 0 0
                                    

"KENAPA awak terus cari saya?" Nada suaranya tinggi.

"Saya nak minta maaf. Saya tak sepatutnya memungkiri janji," luah Rifqi bersungguh-sungguh.

Rifqi cuba mencuri tatap wajah gadis berselendang putih itu, namun gagal. Gadis itu seperti mahu menyembunyikan wajahnya. Rifqi bergerak ke hadapan dan gadis itu juga turut berpusing, sengaja melindungi wajahnya yang entah bagaimana. Cahaya purnama yang suram gagal menyuluh wajahnya yang disembunyikan di sebalik selendang putih.

"Saya dah maafkan awak. Cukuplah, jangan cari saya lagi." Gadis itu terus berlalu meninggalkan Rifqi.

"Tunggu!"

Rifqi cuba mengejar gadis itu. Namun gadis itu yang sedang bergerak tanpa menjejakkan kakinya ke tanah itu perlahan-lahan terbang tinggi ke awan biru.

"Tunggu!!!" jerit Rifqi sekuat hati.

Dia tidak mahu kehilangan gadis itu sebelum sempat mengajukan pertanyaan apa sebenarnya yang berlaku pada gadis itu. Ke mana menghilang? Kenapa menghilang?

"Hoi!"

Terasa ada yang menepuk bahunya. Sakit! Matanya terus terbuka.

"Kau mimpi apa hah?" Iqram terjegil memandangnya. "Terhenti jantung aku, tahu tak?" Dia yang sedang khusyuk mengulang kaji pelajaran di ruang tamu, terhenti apabila terdengar jeritan dari dalam bilik utama.

"Aku... aku mimpi..." Rifqi terus bangun.

Dia meraup mukanya yang berpeluh. Mimpi itu berlegar-legar di ingatan.

"Maafkan aku."

Jeritan suaranya telah mengganggu konsentrasi Iqram. Dan mungkin juga turut mengganggu dua lagi penghuni unit pangsapuri tersebut; Kher dan Adi.

"Kau suruh siapa tunggu? Kuat benar kau menjerit."

Rifqi menggeleng. "Hanya mimpi," luahnya.

Mimpi yang sering berulang-ulang, yang terus mengganggu kehidupannya sejak sebelas tahun yang lalu. Kadang-kadang mimpi indah dan kadang-kadang buruk. Hanya dalam mimpi dia dapat bertemu dengan seseorang yang amat dirindui perkhabarannya.

Rifqi bangun meninggalkan katil. Air mineral di dalam botol atas meja belajar diteguknya. Dia melangkah setapak lalu menyandar di tepi tingkap. Dadanya masih berombak. Mimpi yang dilaluinya sebentar tadi membuatkan dia tidak dapat menyambung tidur semula. Gadis itu kembali ke dalam ingatannya. Gadis yang semasa zaman kanak-kanak dulu pernah menjadi sahabat baiknya. Namun hubungan mereka renggang akibat khabar angin.

Dia yang bersalah dalam hal ini kerana terburu-buru mempercayai fitnah yang disebarkan.

Huahhh... Iqram segera menutup mulut. Matanya pejam celik. "Aku ngantuklah. Tolong tutup lampu nanti."

Iqram terus menghempas diri atas katil. Dia benar-benar mengantuk setelah belajar tanpa henti hampir tiga jam. Sebentar kemudian terdengar dengkuran yang mulanya perlahan dan kemudian semakin kuat.

Lamunan Rifqi terganggu terdengar dengkuran. Dia lantas menutup lampu dan terus melangkah ke pintu bilik. Bilik tersebut harus ditinggalkan segera bagi mencari ketenangan.

"Kau nak ke mana?" soal Iqram yang terganggu tidurnya apabila terdengar bunyi daun pintu terkuak.

"Keluar, ambil angin malam." Rifqi terus menutup lampu.

"Dah pukul dua pagi. Kau jangan nak cari masalah. Demam kau nanti!" Iqram memberi amaran.

Kawasan Pangsapuri Serindik tempat kediaman para pelajar Kolej Indera Jaya sudah diketahui memang keras. Sejak akhir-akhir ini pelbagai kejadian ganjil menimpa penghuninya.

MENJEJAK MEMORIWhere stories live. Discover now