Part 10

2 0 0
                                    

"CUKUPLAH. Jangan cari saya lagi. Saya dah tak seperti dulu lagi."

"Apa maksud awak?"

Gadis yang berselindung di sebalik selendang putih itu hanya membisu.

"Kenapa awak cakap macam tu?" desak Rifqi yang tidak senang dengan ucapan gadis itu.

"Awak yang menyebabkan saya jadi macam ni. Kalau awak tak mungkir janji, saya tak akan jadi macam ni!"

Gadis itu menangis teresak-esak. Mendayu-dayu suaranya di tengah malam yang sepi itu. Rifqi kaget. Dia segera mendekati gadis yang sedang duduk di atas batu itu. Aneh! Gadis itu tidak melarikan diri. Rifqi menyelak selendang yang menutupi wajah gadis itu, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini. Sekali lagi tindakannya tidak mendapat bantahan daripada gadis itu.

"Tidak!" jerit Rifqi sekuat hati apabila melihat raut wajah gadis itu yang buruk, yang tersembunyi di sebalik selendang.

"Aku jadi begini kerana kau!"

"Tidak!" Rifqi menjerit lagi.

Tiba-tiba terasa pipinya sakit, seperti ditampar-tampar. Gadis itu terus melayang ke udara dan menghilang dalam kegelapan malam. Mata Rifqi terus terbuka.

"Kau mengigau lagi!" rungut Iqram sambil menggeleng kepala.

Dia terpaksa menampar Rifqi bagi menyedarkannya. Teriakannya yang kuat boleh mengganggu penghuni bilik sebelah. Rifqi meraba pipinya yang terasa pedih. Dia bingkas bangun dan terduduk di atas katil.

"Maaf. Aku ingatkan kau kena rasuk. Kau menjerit kuat. Aku panggil, kau tak sedar. Aku goncang badan kau pun kau tak sedar. Tu yang aku tampar pipi kau, nak bagi kau sedar."

Rifqi beristighfar. Mimpi itu datang lagi. Kali ini sedikit berbeza. Dia sudah dapat melihat wajah gadis itu. Namun wajahnya... argh... Rifqi enggan membayangkannya. Dia meraup muka.

"Dah berapa kali kau menjerit tengah malam. Kenapa, Rif?" soal Iqram yang sudah kembali ke katilnya.

"Jangan-jangan kau dah dirasuk sesuatu." Risau juga dia andai Rifqi sudah disampuk makhluk halus.

"Aku mimpi. Mimpi yang menakutkan."

Gambaran wajah gadis yang buruk itu masih melekat di ingatannya. 'Kenapa dia berwajah begitu? Benarkah dia sudah tiada lagi? Adakah itu petanda yang aku tidak harus mencarinya lagi?'

"Kau tak baca doa tidur kut..."

"Dah, aku dah baca."

"Baca ayat kursi sekali. Kawasan pangsapuri ni bukan boleh harap. Selain kita, makhluk lain pun jadi penghuni kat sini. Dah ramai yang terserempak dengan benda tu," jelas Iqram.

Setiap hari ada sahaja cerita menakutkan yang didengarnya dari mulut rakan-rakan sekuliah. Anehnya, sejak akhir-akhir ini saja kecoh Pangsapuri Serindik keras. Sedangkan dulu, tiada cerita aneh dan seram yang didengar daripada rakan-rakan mahupun senior yang sudah meninggalkan kolej.

"Sebelum tinggal di sini lagi, aku dah mimpi perkara yang hampir sama. Sejak sebelas tahun lalu, mimpi tu sering datang mengganggu aku," luah Rifqi setelah terdiam seketika.

"Hah? Dah sebelas tahun? Aku ingatkan kau mula diganggu mimpi buruk sejak tinggal di sini. Kalau kau tak keberatan, berkongsilah dengan aku tentang mimpi kau tu. Mana tahu aku boleh tolong."

"Mimpi... mimpi mengenai seseorang..."

Rifqi terdiam sejenak. Selama ini dia tidak pernah berkongsi mimpi tersebut dengan sesiapapun, hatta kawan baiknya sekalipun, Badrul dan Hafis.

MENJEJAK MEMORIWhere stories live. Discover now