Part 15

2 0 0
                                    

"SAYA rayu, awak berilah peluang pada Aliya. Saya yakin awak tak akan kecewa. Dia pasti akan membahagiakan awak."

Elisa tebalkan muka demi sahabat baiknya yang setengah mati cintakan Rifqi. Kalau Aliya tahu yang Rifqi langsung tak ada hati padanya, tentu Aliya akan meraung. Dia pastinya tidak akan dapat menerima kenyataan yang pahit ini. Jika gagal mengawal perasaan, Aliya mungkin akan mengambil tindakan yang melulu. Elisa masih ingat lagi, ketika ditinggalkan Daniel sebelum ini, Aliya pernah cuba membunuh diri dengan menelan segumpal ubat tidur. Mujurlah dia sempat diselamatkan. Elisa tidak mahu peristiwa tersebut berulang. Aliya bukan seorang gadis yang tabah.

Rifqi meneguk air mineral. Bicara gadis itu tak dipedulikannya. Entah bila gadis itu akan berhenti mengganggunya. Latihannya sedikit terganggu kerana setiap hari gadis itu pasti akan datang menemuinya di padang. Belum pernah dia bertemu dengan seorang insan yang sanggup bersusah payah hendak membantu sahabat baiknya. Mahu sahaja menjerit ke muka gadis itu, 'Awak sangat bodoh!' dan 'Awak tiada harga diri!' Sudah ditolak cinta Aliya, namun gadis itu terus merayu. Bukankah itu bodoh namanya? Ah, konon atas dasar persahabatan! Sebenarnya atas dasar duit!

"Aliya gadis yang hampir sempurna. Awak bertuah kerana berjaya memiliki hatinya. Selain bijak, dia juga baik hati, suka menolong dan anak orang kaya."

Elisa cuba mengubah persepsi Rifqi terhadap Aliya. Lelaki biasanya sukakan gadis cantik dari golongan kaya raya agar mereka dapat menumpang kesenangan. Tapi dia berharap Rifqi bukan setakat menyukai kedudukan Aliya. Elisa mahu Rifqi ikhlas menerima cinta Aliya. Itu yang paling penting.

Rifqi mengetap gigi. Ditenung tajam ke raut wajah gadis berkulit kuning langsat di hadapannya yang tak tahu malu. "Berapa ribu dia bayar awak supaya puji dia? Berapa?" tengking Rifqi yang sudah hilang kesabaran.

Dia bukan lelaki yang suka menengking insan lain, tetapi gadis bendul itu perlu diberi pengajaran.

"Saya tak perlu bayaran untuk puji Aliya kerana ciri-ciri Aliya yang saya sebutkan tadi memang kenyataan. Awak pasti menyesal kalau awak tolak cinta Aliya. Awak mungkin tak akan temui gadis yang sebaik dia lagi."

Rifqi tersenyum sinis. "Saya tak yakin awak datang sendiri untuk memuji budak gedik tu. Dia tentu desak awak, kan?" marah Rifqi yang tengah serabut memikirkan keadaan Alia, kanak-kanak yang hilang 12 tahun lalu.

Rakan sepermainannya itu mungkin berada di Bangkok sekarang. Kemunculan gadis bendul itu membuatkan fikirannya bertambah serabut.

Elisa terkedu. Serkap jarang Rifqi hampir mengena. Memang pada mulanya dia telah didesak Aliya. Sekarang, tidak lagi. Dia yang dengan rela hati mahu membantu Aliya mendapatkan cintanya. Sebagai seorang kawan baik Aliya, itulah yang seharusnya dilakukannya. Hanya dia seorang sahaja kawan baik Aliya. Begitulah sebaliknya. Mereka saling bergantungan.

"Kenapa diam? Betul kan apa yang saya cakap? Huh, kalau minah celup tu suruh awak terjun ke dalam lubang najis pun tentu awak sanggup demi sebuah persahabatan, kan?" sindir Rifqi.

Dia berharap gadis itu akan sakit hati dengan kata-katanya lalu beredar pergi dan tidak akan datang mengganggunya lagi.

"Awak berilah peluang pada Aliya buktikan cintanya," Elisa terus merayu.

Dia tidak pedulikan komen Rifqi yang menyakitkan hati. Elisa sudah memberi harapan pada Aliya dan sekarang Aliya menyangka yang Rifqi juga cinta kepadanya.

"Buang masa saja kalau awak yakin yang rayuan awak ni akan berjaya."

Rifqi bergerak ke tengah padang untuk menyambung semula latihan. Elisa melepaskan keluhan panjang. Aliya berharap agar hari ini dia akan mendapat berita gembira. Entah bagaimana dia hendak memberitahu Aliya yang Rifqi tak ada hati padanya. Otaknya ligat berfikir mencari jalan penyelesaian yang dapat meredakan kelukaan di hati Aliya.

Elisa melangkah kecewa meninggalkan padang. Rifqi seorang lelaki yang keras hati!

"Dia nak apa?" soal Badrul yang sejak tadi memerhati gelagat Rifqi bersama seorang gadis kolej.

"Apa lagi, rayu aku supaya beri peluang pada minah celup tu." Rifqi menendang bola sekuat hati.

Dia menoleh ke tepi padang. Gadis bendul itu sedang melangkah menuju ke pintu pagar. Lenggok gadis itu diperhatikan...

ELISA menapak ke perhentian bas yang terletak bertentangan dengan Kolej Indera Jaya. Terus dia menaiki teksi yang kebetulan sedang menunggu penumpang untuk ke bandar. Elisa harus mencari sedikit ruang waktu. Dia harus bersiap sedia mencari alasan untuk memberitahu Aliya perkara yang sebenar. Dia berharap Aliya tidak cepat melatah. Mahu direka cerita yang Rifqi sudah ada kekasih hati, Elisa jadi bimbang andai Aliya menyiasat siapa kekasih Rifqi. Lagi teruk kalau Aliya dapat tahu yang kekasih Rifqi tidak wujud. Persahabatan mereka mungkin akan tergugat.

Elisa berjalan-jalan di sebuah pasar raya sambil otaknya ligat mencari helah. Dia harus beritahu Aliya perkara yang sebenar tentang perasaan Rifqi dan dalam masa yang sama, dia tidak boleh melukai perasaan Aliya. Susah! Entah bagaimana dia hendak melakukannya. Tidak sampai 10 minit mencari pelbagai idea, telefon bimbitnya berdering. Panggilan dari Aliya. Macam tahu-tahu saja yang dia sedang mencari jalan penyelesaian. Gadis itu juga kebetulan berada di pusat bandar. Dia lalu mengarahkan Elisa supaya menunggunya di perhentian bas depan pasar raya kerana dia akan datang jemput segera. Elisa terpaksa akur. Masanya sudah tiba. Mahu tak mahu dia terpaksa berterus terang walaupun dengan berterus terang itu akan melukakan hati Aliya.

Aliya menekan hon. Elisa bergegas meninggalkan perhentian bas.

"Kau dah berjaya korek perasaan Rifqi pada aku?"

Pertanyaan Aliya mengejutkan Elisa yang baru sahaja hendak melabuhkan punggung di kerusi kereta.

"Sudah."

"Dia pun cintakan aku?" duga Aliya dengan senyuman di bibir penuh makna kerana dia yakin Rifqi pasti tidak akan menolak cintanya.

"Tak."

Elisa menggeleng sambil menghembus nafas. Aliya harus tahu perkara yang sebenar.

Aliya terus memberhentikan kereta yang baru sahaja bergerak.

"Kau... kau tipu aku!" Aliya memandang Elisa dengan seribu harapan agar dugaannya tepat. Dia tidak percaya dengan apa yang telah didengarnya dari mulut Elisa. Mustahil Rifqi tidak mencintainya.

"Kau berhenti tengah jalan Liya. Kereta belakang dah hon tu!"

Elisa cemas dengan tindakan Aliya yang melulu. 'Itulah kenyataannya, Aliya. Kau harus terima!'

"Kau tipu!" Aliya terus menggeleng. Air mata sudah bergenang di kelopak mata dan akhirnya berderaian jatuh membasahi pipinya yang gebu.

"Kita bincang tempat lain." Risau Elisa dengan tindakan Aliya yang memberhentikan keretanya di tengah jalan. Pemandu kereta di belakang mungkin akan keluar bila-bila masa sahaja.

"Sampai hati kau tipu aku..."

"Ye, ye, memang aku tipu! Cepat jalan sebelum polis trafik datang." Elisa terpaksa berbohong lagi. "Rifqi pun ada hati pada kau."

Jika dia tak cakap begitu, Aliya terus akan membiarkan keretanya di tengah jalan. Dia jenis yang tak pedulikan perasaan orang lain. Sedangkan bagi Elisa, perbuatan Aliya memberhentikan kereta di tengah jalan mengundang perasaan takut dan malu di hati. Pemandu di belakang membuak-buak kemarahan. Orang di sekeliling pula memandang mereka dengan satu pandangan semacam.

MENJEJAK MEMORIWhere stories live. Discover now