Part 22

3 0 0
                                    

"ELISA!"

Berdegup kencang jantung Elisa sebaik memandang lelaki itu. Lelaki yang berjaya dielaknya sejak beberapa hari yang lalu.

"Siapa tu?" soal Aliya yang beriringan dengan Elisa menuju ke tempat parkir. "Dia panggil nama kau. Kau kenal?" soal Aliya kehairanan.

Elisa angkat bahu. "Jom temankan aku ke kafe. Perut aku tiba-tiba lapar."

Elisa menarik tangan Aliya. Elisa berharap agar Basir tidak sempat mengejarnya. Lelaki itu sudah berani masuk ke kawasan parkir yang dikhaskan hanya untuk kenderaan kakitangan dan penuntut Kolej Indera Jaya.

"Eh, orang tu..."

"Biarkan!" potong Elisa.

Dia terus menarik Aliya sebelum Basir sempat mengejarnya.

"Siapa orang tu?"

Aliya berpusing memandang ke arah lelaki yang berwajah hampa di sisi sebuah kereta. Dia mengenali abah dan abang-abang Elisa. Ternyata lelaki itu tiada kaitan dengan keluarga Elisa.

"Nanti aku ceritakan," janji Elisa.

Aliya harus tahu masalah yang sedang dihadapinya. Mungkin Aliya dapat membantunya mengelak diri daripada lelaki itu. Cukuplah tiga kali dia bertemu lelaki itu. Dia tidak ingin mengulanginya lagi. Yang membuatkan dia menyampah dengan lelaki itu ialah saat mereka berada di sebuah restoran. Sikap lelaki itu yang mengada-ngada sungguh menjelikkan. Basir mahu bermanja dengannya.

Setibanya di kafe, Elisa terus menceritakan pada Aliya bagaimana dia boleh berkenalan dengan Basir. Kalau dapat di undur masa, Elisa tak ingin menerima pelawaan lelaki itu untuk menghantarnya pulang tengah malam itu. Dari detik itulah, dia sering diganggu Basir. Seingat Elisa, dia tidak pernah memberi layanan istimewa terhadap lelaki itu. Dia cuma menumpang kereta lelaki itu. Rupa-rupanya budi yang ditabur oleh Basir tidak ikhlas. Basir mengharapkan balasan.

"Dari cerita kau, aku yakin dia dah terpikat pada kaul. Kau kena hati-hati. Orang kalau dah angau sanggup lakukan apa saja."

Aliya meluahkan pendapat berdasar apa yang sedang dialaminya sendiri. Dia sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan cinta Rifqi.

"Tapi... aku tak buat apa-apa pun untuk menarik perhatiannya. Takkanlah dia jatuh cinta dalam masa singkat?"

Elisa berasakan malang sedang menghampirinya andai benarlah dakwaan Aliya yang Basir terpikat padanya. 'Kenapa mesti lelaki itu? Kenapa mesti aku?'

"Alahai Lisa... kau ni macam tak faham pulak. Pandangan kali pertama boleh buat orang terus jatuh cinta tau. Aku contohnya. Kali pertama pandang wajah Rifqi, aku terus terpikat. Dia tak perlu lakukan apa-apa. Berdiri kaku seperti patung pun aku tetap jatuh cinta padanya."

Elisa tiba-tiba teringat permintaan tak munasabah daripada Rifqi. Wajah Basir sudah lenyap untuk seketika. Permintaan Rifqi memang gila! Ada ke patut lelaki itu meminta dia supaya menyamar sebagai kekasih? Elisa tidak mahu menganggap permintaan Rifqi itu sebagai sesuatu yang serius. Dia lebih suka menganggap lelaki sekadar mahu bergurau. Namun, pernahkah Rifqi bergurau dengannya sebelum ini? Tidak. Rifqi bencikannya kerana dia sering sahaja mengganggu lelaki itu.

"Elisa, handset kau berdering tu!" ujar Aliya.

"Handset aku ke?" Elisa terpinga-pinga.

Deringan yang kedengaran belum pernah didengarnya sebelum ini. Elisa meraba ke dalam kocek beg. Sah, telefonnya yang sedang berbunyi. Elisa kehairanan. Dia menggunakan irama lagu Mockingbird. Namun, irama yang sedang kedengaran terasa janggal... Pencinta Wanita?

Nama pemanggil yang tertera di skrin juga mengundang seribu pertanyaan dalam sanubari.

"Abang?"

Elisa lantas mendekatkan telefon bimbit di cuping telinga dengan seribu debaran.

"Helo..." perlahan nada suara Elisa.

Dia tidak pernah menyimpan nombor telefon 'abang'. Dadanya berdebar-debar, menanti suara 'abang' kedengaran.

"Elisa, abang ni. Terkejut ye?" Terdengar gelak kecil di hujung talian.

Dahi Elisa berkerut, hampir mencantumkan kedua belah keningnya. "Siapa ni?"

"Amboi, dah lupa dengan suara abang ke?"

Berderau darah Elisa sebaik mengecam suara itu. Suara Basir! Berdesing telinganya tiba-tiba.

"Abang save nombor abang ni masa Elisa ke tandas, kat Restoran Jasmine tempoh hari. Maaf, sebab abang tak minta kebenaran daripada Elisa. Bila ternampak telefon bimbit Elisa atas meja tu, hati abang terus melonjak untuk mengambil dan seterusnya menyimpan nombor abang supaya mudah untuk abang menghubungi Elisa. Lagipun, kalau abang minta secara baik, tentu Elisa tak akan..."

Panggilan segera ditamatkan. Elisa benar-benar marah dengan tindakan Basir. Barangnya diusik tanpa kebenaran. Siapa yang mampu bersabar?

"Siapa?" soal Aliya.

Muka Elisa yang kelat semacam. Telefon berdering lagi.

"Kenapa tak jawab, Lisa?" aju Aliya, dapat merasakan ada yang tak kena dengan Elisa.

"Orang gila!"

Elisa terus mematikan telefon bimbit. Menyesal dia kerana bersetuju menumpang kereta Basir tempoh hari. Mahu diluputkan saja daripada ingatannya saat Basir membawanya ke Restoran Jasmine. Kerana meluat dengan sikap mengada Basir, Elisa meminta diri ke tandas. Dalam keadaan tergesa itu, Elisa terlupa mencapai telefon bimbitnya. Sekembalinya dia ke meja makan, telefon bimbitnya masih di kedudukan yang sama. Langsung dia tak syak yang Basir telah mengusik barang miliknya itu.

MENJEJAK MEMORIWhere stories live. Discover now