Part 13

2 0 0
                                    

ELISA menjawab panggilan yang sejak tadi tak berhenti berdering, sehingga terganggu tidurnya.

"Helo, Elisa, kau tahu tak Rifqi ke mana?"

Belum sempat Elisa hendak mendekatkan telefon bimbit ke cuping telinga, sudah terdengar suara sahabatnya yang dalam kegusaran di hujung talian.

"Manalah aku tahu..." Elisa melepaskan keluhan kecil. Belum pun jam 7.00, Aliya sudah menghubunginya. "Aku kan ada kat rumah sekarang ni," ujar Elisa yang pulang ke rumahnya sejak semalam.

Walaupun berat hati hendak melangkah pulang, namun kerana takut dimarahi Azrul, dia terpaksa. Ikutkan hati, dia lebih suka tinggal di asrama hujung minggu lalu mengulang kaji pelajaran.

"Sejak petang semalam aku tak nampak dia. Pelik. Ke mana dia pergi, hah?" Aliya merungut di hujung talian.

Elisa menggaru kepala. Aliya sudah gila. Gila pada Rifqi. Aliya seperti ibu kucing yang kehilangan anak.

"Dia balik kampung agaknya." Elisa cuba menyedapkan hati Aliya yang sedang dalam kegusaran kerana Rifqi menghilang dari pandangannya.

"Balik kampung? Erm... mungkin juga. Eh, kau tahu kat mana kampung dia?"

"Lah... kau ni, apasal tanya aku? Manalah aku tahu. Kau sepatutnya yang lebih tahu mengenai Rifqi tu berbanding aku. Bukankah kau ada segala maklumat tentang budak tu?" rungut Elisa.

Bengang hatinya kerana tidurnya terganggu dek masalah orang lain. Elisa bercadang mahu tidur sehingga jam 9.00 kerana semalam dia tidur lewat. Elisa berborak dengan Puan Naimah, ibunya sehingga jam melewati angka 12.00. Lagipun, dia 'cuti'.

"Aku terlupa nak siasat alamat keluarganya. Ah, menyesal aku tak siasat awal-awal. Kalau tak, boleh aku ikut dia." Kedengaran suara Aliya dalam nada kecewa.

"Sabarlah." Habis Elisa kalau Aliya menyusul Rifqi. Terkejut besar Rifqi nanti bila menyedari Aliya mengekorinya.

"Esok lusa, dia baliklah tu. Tak perlu ekori dia." Elisa cuba memujuk Aliya.

Tapi kalau Aliya mahu juga menyusul Rifqi, terpaksalah Elisa turut sama berada di sisi Aliya. Dia terpaksa tinggalkan rumah dan itu pasti akan mendatangkan kemarahan kepada Azrul.

"Sehari tak nampak batang hidup dia, aku tak boleh hidup tau!"

"Belajar-belajarlah hidup tanpa dia..."

Aliya sudah gila. Belum apa-apa lagi sudah bercakap yang bukan-bukan. Elisa berharap akan muncul seorang lelaki yang lebih kacak dan hebat berbanding Rifqi suatu hari nanti. Yang penting lelaki itu baik dan dapat menerima Aliya.

"Elisa!" Aliya menengking.

"Aku gurau aje." Elisa tersengih.

"Ada apa-apa lagi?"

"Macam tak suka aje aku telefon..."

"Aku nak masuk dapur ni, nak masakkan sarapan istimewa buat mama."

Cadangan Elisa tiba-tiba berubah. Dia tidak mampu menyambung tidur lagi kerana matanya sudah segar. Mujurlah Aliya memahami keadaannya dan tidak mengajaknya untuk berbual panjang seperti selalu jika mereka berjauhan. Bukan Elisa tidak suka berbual dengan Aliya, cuma bila Aliya sering sebut tentang Rifqi, telinganya tiba-tiba jadi panas! Dia tidak suka dengan sikap Rifqi.

Elisa melayari Internet terlebih dahulu sebelum melangkah ke bilik air. Menyemak jika ada e-mel baru yang masuk. Hanya e-mel sampah! Selesai mandi, Elisa terus menuju ke dapur. Bibik sedang mencuci pinggan mangkuk.

MENJEJAK MEMORIWhere stories live. Discover now