Part 16

3 0 0
                                    

"OKEY tak aku pakai baju dengan skirt ni?" Aliya meminta pendapat Elisa.

Aliya menayang pakaian yang membaluti tubuhnya di hadapan Elisa. Baju tersebut mendedahkan kepala bahunya. Skirt pula atas daripada lutut.

"Okey."

Elisa sudah lenguh menjadi perunding imej tak bertauliah. Sudah berbelas pasang baju yang dipakai Aliya. Semuanya masih serba tak kena. Walaupun dia kurang berkenan dengan pakaian yang agak seksi tersebut, tetapi kerana letih melayan karenah Aliya, dia terpaksa berbohong. Lagipun dia tahu, Aliya bukannya dengar sangat pun pendapatnya.

"Tapi... aku rasa badan aku nampak gemuk sikit pakai baju ni. Kau perasan tak?"

Aliya mahu menjadi gadis kolej paling cantik esok hari. Dia akan bertemu dengan Rifqi. Mengikut rancangan, Elisa akan membawanya menemui Rifqi. Aliya mahu Rifqi tak berkelip memandangnya.

"Mana ada... okey apa baju tu."

Tumpuan Elisa pada soalan tutorial yang sedang disiapkan sedikit sebanyak telah terganggu dengan sikap Aliya.

"Aku rasa... aku nak keluarlah sekarang. Aku nak beli baju untuk esok."

"Apa? Eh, tak payahlah kau buang duit, Aliya. Baju kau yang cantik-cantik kan masih banyak dalam almari tu." Elisa menghalang niat Aliya.

Dialah yang harus dipersalahkan dalam soal ini. Kalau dia tidak berbohong, pasti Aliya tidak akan jadi seperti sekarang. Mulutnya tak henti menyebut nama Rifqi. Aliya juga sibuk membuat persiapan menghadapi hari esok.

"Semua pakaian aku tak menarik. Aku nak beli yang baru."

Aliya tetap dengan keputusannya. Tentulah dia mahu mendapat pujian daripada Rifqi sebaik bertemu. Elisa tidak mampu berbuat apa lagi. Jika itu keputusan Aliya, dia tak dapat menghalangnya. Aliya banyak duit. Jika dihalang sekalipun, Aliya tetap akan keluar.

"Ikut aku?"

"Aku kena siapkan tutorial ni, sorry..."

Tutorial tersebut harus dihantar esok. Elisa tidak mahu mendapat markah kurang andai gagal menghantar tutorial tepat pada waktunya. Encik Musa seorang pensyarah yang tegas. Pelajar yang menghantar tugasan lewat daripada tarikh yang ditetapkan akan dipotong markah.

"Yalah... aku pun belum siapkan lagi. Erm... kau buatkan untuk aku sekali, boleh? Nanti aku belikan sesuatu untuk kau."

"Aku tolong kau siapkan tutorial tanpa apa-apa balasan, okey? Kau kan kawan aku," balas Elisa yang enggan menerima sesuatu lagi daripada Aliya.

Pertolongannya kecil sahaja. Dia telah banyak berhutang budi pada Aliya. Terutama dari segi pengangkutan. Hanya inilah cara yang boleh dilakukannya untuk membalas budi Aliya iaitu dengan membantu Aliya dalam pelajaran. Dalam masa yang sama dia berharap Aliya tidak akan marah kepadanya sebaik sahaja dia memberitahu perkara yang sebenar.

Aliya meninggalkan rumah bernombor A-3-4 itu. Dia hanya membawa kunci kereta, telefon bimbit dan dompet sahaja untuk ke bandar. Kakinya melangkah riang menuju ke lif. Hati Rifqi sudah berjaya dimiliki. Dialah insan yang paling bahagia sekarang.

Pintu lif terbuka. Terdapat seorang gadis yang tidak dikenali di dalam lif. Aliya terus melangkah masuk. Dia menyanyi-nyanyi dengan suara perlahan. Kalau boleh ingin dikongsi kegembiraannya kerana berjaya memiliki hati Rifqi dengan seluruh warga Pangsapuri Serindik.

3... 2...

Terasa lif bergerak lambat. Aliya menoleh ke belakang, ke arah gadis yang ada bersamanya di dalam lif. Raut wajah gadis itu tidak kelihatan kerana sengaja dilindungi dengan rambutnya yang panjang mengurai sehingga paras pinggang. Tiba-tiba bau kemenyan menusuk ke hidung. Aliya telan liur. Barulah dia teringat yang pangsapuri tersebut memang keras. Penuntut tidak digalakkan berjalan bersendirian di waktu malam. Bulu romanya terus menegak. Mujurlah saat itu juga pintu lif terbuka. Aliya segera meluru keluar. Beberapa langkah kemudian, dia menoleh ke belakang. Pintu lif masih terbuka dan tiada sesiapa di dalamnya! Matanya meliar mencari gadis yang ditemuinya di dalam lif di kawasan berdekatan. 'Ke mana gadis itu menghilang?' Aliya tergamam.

MENJEJAK MEMORIWhere stories live. Discover now