Part 18

4 0 0
                                    

BADRUL menggoyang tapak tangan depan mata Rifqi. Asyik betul kawannya memandang ke penjuru kafe sehingga kehadirannya pun tak disedari.

"Apa ni!" Rifqi menepis tangan Badrul yang menghalang pandangannya.

"Kau pandang siapa?" Badrul turut memandang ke penjuru kanan kafe. Ada sekumpulan gadis di situ yang sedang menjamu selera. "Kumpulan pelajar baru tu ke? Kau berkenan dengan yang mana satu?"

Rifqi menjongket bahu. Dia berharap agar Badrul tidak perasan kehadiran gadis yang sering mengganggunya tempoh hari. Sejak ditampar minah celup, gadis bendul itu tidak datang merayu kepadanya lagi. Minah celup mungkin sudah menutup tawarannya. Sekarang gadis bendul itu mungkin telah bergaduh terus dengan minah celup. Sebelum ini mereka sering kelihatan bersama. Sejak peristiwa semalam, dilihatnya gadis itu bersendirian.

"Aku teka, kau suka yang bertocang satu tu ke?"

"Aku tak minat langsung pada mereka. Eh, kau dari mana?" soal Rifqi.

Dia menyedut horlick ais yang sudah tinggal separuh itu.

"Jumpa Dr. Ishak. Dia bagi amaran akhir."

Rifqi tersenyum sinis. Badrul tak pernah siapkan tugasan. Sebab itu Dr. Ishak mengamuk. Segarang mana pun seseorang pensyarah, tak mampu mengundang rasa hormat di hati Badrul. Apa lagi rasa takut. Badrul tidak pernah takut dengan ugutan pensyarah yang mahu menggagalkan sesiapa sahaja yang tidak menghantar tugasan. Jika di aju kenapa dia meneruskan pelajaran andai malas datang ke kuliah atau menyiapkan tugasan yang diberikan, senang sahaja jawapan Badrul. Orang tuanya yang berkeras mahu dia belajar. Ikutkan hati, dia sudah bersedia hendak melangkah ke alam pekerjaan. Walaupun sering mendatangkan masalah kepada semua pensyarah, namun Badrul hebat di padang. Dia salah seorang penyerang kesayangan jurulatih. Gandingannya dengan Rifqi memang menjadi ketika beraksi di padang.

Badrul mencapai telefon bimbitnya yang diletak di atas meja bersama kunci kereta. Deringan lagu sedang berkumandang.

"Hafis." Badrul sempat memaklumkan kepada Rifqi sebelum menekan punat menjawab.

"Jangan lupa sebulan lagi."

Terus terdengar suara Hafis di hujung talian. Hafis adalah sahabat baiknya dari satu sekolah menengah selain Rifqi.

"Sebulan lagi?" Badrul tidak faham maksud yang ingin disampaikan Hafis. "Eh, kau dah habis belajar ke?"

"Sudah. Aku dah habis belajar. Kau dah lupa perjanjian kita? Biar aku ingatkan semula. Semasa di airport, sebelum aku dan Rif berangkat ke luar negara, kita bertiga berjanji akan bertemu di satu tempat."

"Ya ke? Sorry, erm... aku hampir terlupa." Kenangan di lapangan terbang tiga tahun lalu terus bermain di ingatan Badrul. "Aku ingat kau main-main masa tu. Eh, kau ada kat mana sekarang?"

"Masih di USA. Dalam masa sebulan lagi aku balik. Dengar khabar, Rifqi dah balik ke tanah air. Dia ada contact kau?"

"Dia kat sebelah aku sekarang. Kami belajar di kolej yang sama." Badrul menjeling ke arah Rifqi.

Rifqi mengangkat kening. Badrul mengangkat tangan, meminta Rifqi bersabar.

"Elok sangatlah tu. Kirim salam pada dia. Bagi tahu dia, jangan lupa perjanjian kita tu... 14 Februari... kita akan bawa pasangan masing-masing. Aku harap kau tak buat-buat lupa."

Badrul terpinga-pinga. Dia sangkakan Hafis menyentuh soal persahabatan mereka yang tak akan tergugat walau di mana mereka berada. Dia baru ingat akan perjanjian gila-gila yang dilakukan mereka berempat hampir tiga tahun yang lalu. Rupa-rupanya Hafis mengingatkannya soal perjanjian tersebut. Dia sangkakan Hafis sudah tidak pedulikan perjanjian gila-gila tersebut lagi.

"Senyap aje... masih solo ek?" Hafis tergelak.

"Ada, tapi baru putus."

Badrul berbohong supaya tak diketawakan Hafis yang sememangnya hebat dalam mencari pasangan. Dengan kata-kata indah, dia mampu mencairkan hati semua gadis yang ditemuinya.

"Kalau macam tu, dalam tempoh sebulan ni kau kena cari pengganti. Kalau tak, kau faham-fahamlah apa yang kau kena buat. Okey, bye!"

"Helo! Helo!" jerit Badrul.

Panggilan sudah ditamatkan. Dia mendengus lalu meletakkan telefon di atas meja.

"Apa hal Hafis call dari jauh?" soal Rifqi yang sudah tidak sabar hendak mendengar cerita lanjut daripada Badrul.

"Dia ingatkan perjanjian kita tiga tahun lalu," ujar Badrul yang mula gusar.

Jika dia ke tempat perjanjian bersendirian, pasti dia akan diketawakan. Dia faham sangat dengan sikap Hafis yang suka merendahkannya. Walaupun mereka bertiga adalah sahabat sehati sejiwa, entah kenapa Hafis sering mahu bersaing dengannya. Badrul sedar, dia banyak kekurangan berbanding Hafis. Namun, Hafis masih tidak berpuas hati dengan apa yang dimilikinya dan sering ingin bersaing.

"Perjanjian apa?" soal Rifqi.

"Kelab Marvell. 14 Februari."

"Hah! Dia bersungguh-sungguh ke?" Rifqi menampar dahi. Dia juga hampir terlupa perjanjian tersebut.

"Ya! Tentu Hafis tertawakan aku. Aku masih solo sekarang. Sukar benar nak cari pasangan dengan rupa aku ni. Kau lainlah, petik jari berduyun-duyun gadis datang."

"Kau kena cari pasangan secepat mungkin sebelum ditertawakan Si Hafis tu." Rifqi cukup kenal dengan sikap Hafis yang mahu jadi yang terhebat di kalangan mereka.

"Kau pun sama."

"Aku? Eh, dia bukannya tahu aku kat sini sekarang."

"Hoi, aku dah bagi tahu dialah!"

"Apa?"

Badrul tergelak. "Kau tak apa. Bukan tak ada gadis yang mahu berdamping dengan kau. Tapi kau tu yang jual mahal. Aku pun tak faham gadis macam mana yang kau cari?"

"Aku belum berjumpa..." bicara Rifqi terhenti apabila melihat seorang gadis melintas di hadapannya.

Dia tiba-tiba mendapat satu idea.

MENJEJAK MEMORIWhere stories live. Discover now