Part 5

10 0 0
                                    


SEORANG wanita lengkap beruniform meninggalkan tempat duduk dan menuju ke tangga bas yang baru berhenti. Elisa segera melabuhkan punggung di tempat yang ditinggalkan wanita itu sebelum disambar orang. Sudah lenguh kakinya berdiri sejak setengah jam yang lalu. Elisa memandang jam di tangan. Mengikut perjanjian, Aliya akan datang menjemputnya sekitar jam 7.30 petang. Bererti dia perlu menunggu sepuluh minit lagi. Sudah dihubungi gadis itu supaya datang menjemputnya segera, tetapi gagal. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja Elisa menapak pulang ke asrama yang letaknya sejauh tiga kilometer dari kolej.

Salah seorang lelaki yang berdiri tidak jauh dari kedudukannya asyik memandangnya. Elisa pura-pura tidak menyedari kelakuan lelaki itu yang cuba menarik perhatiannya. Lelaki itu yang masih berpakaian kerja menunjukkan yang dia bekerja di Kolej Indera Jaya, sebagai tukang cuci. Elisa tidak suka bersendirian. Dirinya sering diganggu kaum Adam. Pesanan abangnya masih kekal dalam ingatan. Abangnya tidak membenarkannya melayan lelaki-lelaki yang mengusiknya. Menurut abangnya, tiada lelaki yang jujur zaman sekarang. Bukan sahaja kaum Adam, kaum Hawa pun sama. Sebab itulah Azrul terlalu mengawal kehidupannya. Dia tidak dibenarkan berkawan dengan sembarangan orang. Kekadang Elisa menangis mengenangkan nasibnya. Azrul terlalu mengongkong kebebasannya.

"Tunggu bas ke?" Lelaki itu sudah berani menegurnya.

Elisa pura-pura tidak mendengar.

"Tinggal kat mana?"

Elisa pekakkan telinga. 'Huh, pura-pura tak tahu konon!' rungut Elisa. Kad matriks yang tergantung di lehernya menunjukkan yang dia salah seorang penuntut Kolej Indera Jaya yang masyhur itu. Semua penuntut kolej tidak dibenarkan tinggal di luar. Semua penuntut harus tinggal di Pangsapuri Serindik yang mempunyai enam blok bangunan. Dua blok dikhaskan untuk pelajar lelaki dan empat blok pelajar perempuan.

"Semester berapa sekarang?"

Elisa tidak pedulikan pertanyaan lelaki itu. Akhirnya lelaki itu bangun meninggalkan perhentian bas. Mungkin dia malu tak dilayan Elisa yang berwajah masam mencuka. Tiba-tiba lahir perasaan simpati di hatinya kerana bersikap dingin pada lelaki tersebut yang mungkin berniat baik terhadapnya. Teringat dia peristiwa di padang sebentar tadi. Dia dan Rifqi sebenarnya sama saja! Masing-masing menyangka orang yang ingin berkenalan menyimpan niat serong.

Azrul yang mendidiknya supaya berfikiran negatif terhadap semua lelaki!

'Argh... Rifqi tak guna!' Elisa bengang dengan sikap Rifqi, sebab itulah mukanya kelat semacam. Dia tidak puas hati dengan sikap Rifqi. Belum pernah dia berhadapan lelaki yang bersikap ego seperti Rifqi.

Matanya tiba-tiba tertancap pada sebuah Produa Viva yang sedang menyusur keluar dari kawasan kolej. Kalau bukan kerana Aliya, dia tidak akan tahu pemilik kereta tersebut. Siapa lagi kalau bukan lelaki paling sombong yang pernah ditemuinya. Dia masih bengang dengan sikap Rifqi tadi. Kalaupun tidak suka dengannya, janganlah sampai menghinanya. Dia sudah bercakap benar, tetapi Rifqi sewenang-wenangnya menuduh dia sedang berbohong. Dia tidak ingin berkawan dengan lelaki sombong. Andai Rifqi seorang lelaki yang baik sekalipun, dia tidak akan sudi menjalin persahabatan. Dia memang tidak suka mempunyai kawan yang lawan sejenis. Mereka suka mengambil kesempatan. Itulah yang sering disebut Azrul.

"Kalaulah aku jadi girlfriend Rifqi, alangkah indahnya..."

Elisa menoleh ke kanan. Seorang gadis sedang berangan menjadi teman wanita Rifqi. Dia tiba-tiba jadi simpati pada gadis itu. Malanglah gadis yang bakal menjadi suri hidup lelaki sombong itu...

"Tak usahlah kau nak bermimpi, Yanti..." bidas seorang gadis yang berdiri di hadapan Yanti.

Elisa yakin dua orang gadis tersebut pelajar baru Kolej Indera Jaya. 'Ah, mana ada orang lain di sini. Semua yang ada di sini adalah penuntut dan pekerja di Kolej Indera Jaya.' Kolej ini terletak jauh dari kesibukan kota. Ianya terletak di kawasan pinggir hutan, memberi ketenangan kepada seluruh penuntutnya dalam menuntut ilmu.

MENJEJAK MEMORIWhere stories live. Discover now