Part 11

4 0 0
                                    

"AWAK lagi?" dengus Rifqi yang baru pulang dari sesi latihan.

"Boleh saya cakap dengan awak sebentar?" rayu Elisa.

Dia berharap dapat bercakap dengan Rifqi bersendirian. Rifqi ditemani dua sahabatnya ketika itu. Jarum jam sudah menunjukkan angka 7.00. Dia terpaksa korbankan waktu belajar selama dua jam semata-mata mahu menyelesaikan satu misi. Misi yang langsung tidak berkaitan dengannya. Namun atas dasar persahabatan, dia teruskan misi. Misi Aliya dalam memburu cinta Rifqi.

"Nak cakap apa lagi?" soal Rifqi dengan nada keras. "Nenek awak jatuh cinta pada saya ke?" soalan Rifqi disambut gelak tawa Badrul dan Jefry, rakan sepasukan.

Elisa menahan sabar. Inilah risiko yang terpaksa ditanggungnya untuk menjayakan pelan B. Dia terpaksa menebalkan muka. Siapa yang sanggup dimalukan? Hanya dia seorang!

"Bukan nenek saya, tapi kawan saya," jawab Elisa dengan jujur. "Kawan saya... gara-gara jatuh hati pada awak, dia gagal tumpukan perhatian pada pelajaran." Elisa berterus terang.

"Pengecut betul kawan awak tu ye! Kalau dah sukakan saya, datang jumpa saya sendiri. Tak payah nak pakai orang tengah," sindir Rifqi.

Dia masih belum dapat memastikan kebenaran cerita gadis tersebut. Mungkin gadis itu mahu mempermainkannya sekali lagi.

"Dia... dia sebenarnya seorang gadis pemalu."

Elisa terpaksa berbohong. Hakikatnya Aliya bukan seorang gadis pemalu. Elisa sendiri hairan kenapa Aliya malu hendak berterus terang sendiri akan perasaannya pada Rifqi. Sikap Rifqi yang ego mungkin penyebabnya. Tapi kalau Aliya datang jumpa sendiri dengan Rifqi, pasti lelaki itu akan terus jatuh cinta pandang pertama.

"Dia sebenarnya tak tahu saya datang jumpa awak ni. Sebagai sahabat baiknya, saya rasa wajar untuk membantunya. Awak harus tahu perasaan kawan saya tu."

Rifqi dan teman-temannya hanya tersenyum sinis mendengar kata-kata gadis yang tak dikenali itu. Rifqi yakin, gadis itu sedang berlakon sekali lagi.

"Tolonglah. Kawan saya tu ikhlas mencintai awak. Kalaulah awak lihat keadaannya sekarang..." Elisa terus merayu bagi pihak Aliya yang sekarang tentu sedang tertunggu-tunggu berita daripadanya.

"Siapa nama kawan awak tu?" Rifqi mahu menguji kebenaran kata-kata gadis yang sentiasa berbaju kurung itu.

"Aliya."

"Alia?" Berkerut kening Rifqi.

'Adakah ini gadis yang aku cari?'

Melihat reaksi Rifqi, lahir kelegaan di hati Elisa. Rifqi seperti berminat hendak mengenali Aliya lebih jauh.

"Alia?"

"Ye... awak kenal?" soal Elisa.

Harapannya sedikit cerah dengan reaksi Rifqi itu. Setahu Elisa, semua penuntut lelaki mengenali Aliya. Maklumlah, Aliya peramah dan cantik. Sejak semester pertama lagi nama Aliya sudah melonjak naik. Ah, kenapa dari dulu lagi aku tak maklumkan nama Aliya pada Rifqi? Kalau tidak mudah sikit kerja aku. Daripada reaksi Rifqi itu, Elisa yakin Rifqi mengenali Aliya dan mungkin sudah lama Rifqi menaruh hati pada Aliya.

"Aliya budak berambut perang dan bermata biru tu ke?" celah Jefry yang turut berminat dengan apa yang sedang berlaku.

Elisa mengangguk. "Ye, dialah!"

"Awas kau, Rifqi! Minah saleh celup tu dah jatuh hati kat kau. Habis kau nanti!" Jefry tergelak sakan.

"Erm... namanya Nur Alia binti Abd Rashid?" duga Rifqi yang tidak mempedulikan kata-kata Jefry.

'Mungkin Alia sudah berubah sekarang. Ya, siapa tahu.'

"Norsha Aliya Binti Tan Sri Kamarul. Awak kenal ke?"

'Tan Sri Kamarul? Ah, aku salah lagi! Minah saleh celup... berambut perang dan bermata biru... Ah, ini bukan Alia yang aku cari.' Rifqi menghela nafas kecewa.

"Alah, Rif... takkan kau tak perasan minah yang duduk di bangku depan dekat tiang gol masa pasukan kita berlawan dengan pasukan Kolej Maya. Dia terkinja-kinja macam kera kena belacan semata-mata nak tarik perhatian kaulah tu. Nama kau dia jerit kuat-kuat." Badrul cuba mengingatkan Rifqi.

"Lah... budak tu nama Alia ke?"

Rifqi sudah ingat. Setiap perlawanan, pasti gadis itu ada.

"Ha... budak tulah. Habis kau, Rif. Dia minat kat kau. Bahaya!" Badrul tersengih.

Elisa terdiam. Mendengar Aliya disindir, hatinya bagai disiat-siat. Kalaulah Aliya tahu dia diumpamakan kera kena belacan, tentu Aliya akan menangis. 'Hoi mamat! Aliya terkinja-kinja sebab bagi sokongan. Huh, tak hargai penyokong langsung!' Elisa mengomel dalam hati. Terasa mahu ganyang lelaki yang mendakwa Aliya persis kera kena belacan.

"Budak gedik tu kawan baik kau?" soal Rifqi seperti tidak percaya.

Jauh beza daripada segi pakaian antara gadis yang sedang berdiri di hadapannya dengan Aliya. Dia kenal Aliya sejak minggu pertama mendaftar lagi kerana gadis itulah yang paling menonjol. Gadis itu juga pernah mengalunkan lagu Hero dengan gaya Mariah Carey yang tak menjadi semasa pihak kolej menganjurkan pertandingan karaoke. Meluat benar dia dengan sikap Aliya yang sering menarik perhatian pelajar lelaki dengan gayanya yang gila-gila. Rifqi sendiri perasan Aliya cuba menarik perhatiannya dengan pelbagai cara. Rupa-rupanya itulah Aliya...

'Sah, dia bukan Alia yang aku cari.'

'Budak gedik?' Elisa menahan sabar. Aliya menjadi bahan sindiran Rifqi dan rakan-rakannya. Dia turut sakit hati kerana Aliya adalah kawan baiknya.

"Dia cintakan awak sepenuh hati," ujar Elisa.

Elisa tetap meneruskan rancangan walaupun rancangannya itu hampir pasti tidak berjaya. Rifqi langsung tidak minat pada Aliya.

"Pelik! Setahu aku budak tu bukannya pemalu. Kenapa dia tak datang sendiri jumpa dengan Rifqi? Kenapa dia hantar awak? Entah-entah awak yang sukakan Rifqi, tapi malu nak mengaku?" duga Badrul.

Kaptennya itu memang ramai peminat. Malangnya, tak seorang pun yang berjaya membuka hati Rifqi. Seperti juga semasa zaman persekolahan. Rifqi tak pernah beri muka pada kaum Hawa. Entah rupa yang bagaimana yang dicari Rifqi.

"Saya ikhlas nak tolong kawan saya. Kalau awak bertiga tak percaya, jumpa sendiri dengan Aliya."

"Awak minta kami jumpa dengan minah celup tu? Tolonglah! Memandang mukanya dari jauh pun kami tak mampu! Meluat!" tambah Jefry disambut gelak tawa Rifqi dan Badrul.

Elisa ketap gigi. Geram dia dengan sikap kawan Rifqi yang mulut banyak itu. Mukanya sudah merona merah.

"Kalau korang tak sukakan Aliya, janganlah nak menghina dia. Cakap ajelah tak suka!"

Elisa terus meninggalkan tempat parkir dengan hati yang sedang membakar. Terus sahaja dia ke perpustakaan untuk menenangkan perasaan. Dihantarnya mesej kepada Aliya supaya datang menjemputnya di perhentian bas jam 10.00 malam, selepas perpustakaan tutup.

Elisa sudah lebih sejam menanti kedatangan Aliya. Aliya daripada tadi beritahu yang dia dalam perjalanan pulang ke kolej selepas menonton wayang di bandar. Elisa waswas. Aliya mungkin sedang berbohong. Jam sudah melepasi angka 11.00. Tinggal dia sendirian di perhentian bas saat itu.

Tiba-tiba...

"Assalamualaikum!"

Elisa tersentak. Dia terus menoleh ke kanan. Seorang lelaki berpakaian segak berdiri di situ.         

MENJEJAK MEMORIWhere stories live. Discover now