Bab 1

10.1K 114 2
                                    

PEMANDANGAN di tepi pantai yang indah dan mengasyikkan itu membuatkan gadis berbaju kurung itu terus mengayunkan kakinya berjalan di persisiran pantai. Sambil tangan kanannya memegang sepatu, gadis tersebut tersenyum riang bersaksikan keindahan pantai ketika itu. Sesekali kakinya dipukul ombak kecil. Gadis itu kelihatan gembira sambil menguak rambutnya ke belakang. Alisa Zahira ialah nama secantik dirinya. Memiliki wajah bujur sirih dan berkulit cerah menjadikan gadis ini bersyukur dengan kurniaan yang diberi oleh-Nya. Baginya, kecantikan yang dimiliki oleh seseorang individu tidak hanya terletak pada luaran sahaja, malah perlu diiringi dengan kecantikan dalaman.

Namun hari ini Alisa memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana dia bakal mendirikan masjid tidak lama lagi. Masih terbayang-bayang lagi apabila dia menerima kunjungan bakal mentua di rumahnya tengah hari tadi.

"Kalau Kak Zah dan Abang Mad setuju, apa kata kalau kita buat akad nikah pada hujung tahun ini? Kenduri pula tiga hari kemudian. Hah, macam mana? Setuju ke tidak cadangan saya ni? Lagipun benda baik tak elok ditangguhkan lama-lama," ujar Puan Asmah sambil menghabiskan sisa minumannya.

"Saya sebenarnya tak kesah sangat, tapi apapun kena tanya tuan punya badan dulu. Lagipun saya setuju benarlah kalau mereka ni kahwin cepat-cepat. Yalah, budak- budak sekarang ni tak sama seperti kita dulu, ada aje masalah kalau bertunang lama-lama. Macam mana, Alisa? Setuju ke tak kalau kamu dinikahkan hujung tahun ni?" soal Encik Ahmad Lutfi terhadap anak perempuan tunggalnya yang berada di sebelahnya.

Alisa hanya tersenyum dan mengangguk. Hatinya berbunga riang. Matanya melihat wajah ibunya yang kelihatan tersenyum tanda setuju.

"Oh ya, Asyraf memang dah tahu ke pasal ni?" tanya Puan Norazah kepada bakal kedua-dua besannya itu.

"Apa pula tak tahu? Dia sendiri yang minta dipercepatkan. Katanya dia mungkin akan berangkat ke Australia mulai tahun depan, kena transfer kat sana tiga tahun. Itu sebab minta dipercepatkan," balas Encik Ilyas sambil tersenyum.

Dia bangga dengan pencapaian anak lelakinya. Pada usia yang masih muda, anak lelakinya diberi kepercayaan menjawat jawatan penting di syarikat terkemuka. Kini anak lelakinya itu bakal berhijrah ke negara orang.

"Kalau macam tu, kena buat persiapan sekaranglah, ya bang? Hai, tak sabar rasanya saya nak bermenantukan Asyraf. Baik budaknya, hormat orang tua. Sejuk perut awak Asmah mengandungkan Asyraf tu," ujar Puan Norazah sambil matanya menjeling ke arah anaknya Alisa Zahira.


Lama Alisa di situ. Kemudian dia segera meminta izin untuk berlalu dari situ. Hatinya girang. Impiannya ingin berkahwin dengan lelaki yang berjaya mengetuk pintu hatinya buat kali kedua itu akan termakbul tidak lama lagi. Asyraf Kamil bin Ilyas. Lelaki itulah yang akan menjadi suaminya nanti.

Bunyi mesej dari telefon bimbit menyebabkan lamunan Alisa terhenti. Dia segera membuka mesej tersebut. Bibirnya mengukir senyuman. Alangkah gembiranya apabila kekasih hati yang menghantar mesej itu.

The Greatest Of DestinyDonde viven las historias. Descúbrelo ahora