Bab 9

1.6K 28 1
                                    

PUAN SRI Aisyah tidak senang duduk. Sekejap dia berdiri, sekejap dia berjalan. Entah kenapa wajah Alisa Zahira sering sahaja muncul di ruang matanya. Masih terbayang lagi pertemuan yang tidak disengajakan antara dia dan gadis itu. Dia masih terbayang senyuman gadis itu dan kebaikan gadis itu mengembalikan jam tangannya. Entah kenapa, wajah gadis itu seakan-akan memberi petanda yang gadis itu akan menjadi menantunya. Kalaulah dia tahu rumah gadis itu, pasti dia akan masuk meminang untuk anak lelakinya.

"Awak ni dah kenapa, Aisyah? Ada masalah ke?" tegur Tan Sri Akhtar sambil membaca surat khabar. Dari tadi lagi dia memerhatikan gelagat isterinya itu.

"Entahlah abang... Dari tadi lagi saya asyik teringatkan budak perempuan yang saya jumpa hari tu..."

Tan Sri Akhtar yang mendengar kata-kata itu terus mengerutkan dahi seraya berpaling ke arah isterinya.

"Budak perempuan mana pula ni?" soal Tan Sri Akhtar. Surat khabar di tangannya dilipat lalu diletakkan di atas meja ruang tamunya. Kemudian dia segera duduk bersebelahan dengan isterinya itu.

"Alah, budak perempuan yang kembalikan jam tangan saya malam itulah. Entahlah, saya tak tahu kenapa asyik duk teringatkan wajah dia aje... Kalaulah dia jadi menantu kita bang," jelas isterinya dengan penuh harapan.

"Entah-entah budak perempuan yang awak jumpa tu... er..." Tan Sri Akhtar berwajah serius. Dia mula membuat wajah takut dan menggigil.

"Apa bang?" Puan Sri Aisyah pelik melihat reaksi wajah suaminya. Macam orang tak siuman pula!

"Hantu kut?!" Tan Sri Akhtar cuba meneka sambil berseloroh. Sengaja mahu mengusik isterinya. Namun tanpa sempat mengelak, paha kirinya terasa perit dek dicubit oleh isterinya. Dia menjerit kesakitan.

"Padan muka! Itulah awak, orang cakap betul-betul, dia main-main pula!" bebel Puan Sri Aisyah sambil menjeling geram ke arah suaminya itu.

"Ya, betullah... Awak kan terserempak dengan dia dalam toilet. Dalam toilet tu tempat iblis dan sepupu sepapatnya tau tak?" Tan Sri Akhtar cuba mengusik isterinya lagi.

Dia mengekek ketawa. Wajah Puan Sri Aisyah mencuka.

"Mulut awak ni memang tak ada insurans, kan? Sejak dah bersara, perangai awak ni menjadi-jadi ya!" marah Puan Sri Aisyah.

Tan Sri Akhtar masih lagi ketawa. Sudah lama dia tidak bergurau senda dengan isterinya itu. Sejak Nasih Mikael mengambil alih syarikatnya itu, inilah masa yang sesuai untuk dia dan isterinya mengisi masa yang terluang. Memang diakui alangkah bagus kalau rumahnya itu diisi dengan gelak tawa cucu-cucunya nanti. Tidaklah dia dan isterinya berasa bosan.

"Saya bukan apa bang... Sebelum saya menutup mata, saya nak sangat tengok anak sulung lelaki saya tu mendirikan rumah tangga. Tenang nanti saya kat sana bang..." tutur Puan Sri Aisyah dengan harapan.

Tan Sri Akhtar mengerutkan dahi apabila mendengar kata-kata isterinya itu. Tiba-tiba sahaja hatinya dipagut sayu. Dia tidak sanggup untuk berpisah dengan isterinya. Ya! Dia dan isterinya sedar, ajal tidak mengenal usia. Sampai masa akan tiba jua tidak kira sedetik pun. Dia mengusap tangan isterinya. Memang isterinya itu seorang ibu yang baik dan mahukan yang terbaik buat keluarganya.

"Awak jangan cakap macam tu. Awak dan saya dapat tengok cucu-cucu kita membesar nanti," balas Tan Sri Akhtar Firdaus sambil mengukir senyuman.

Puan Sri Aisyah memandang ke arah suaminya dengan senyuman pahit.

"Selain tu saya sebenarnya berharap sangat Rizki dan Nasih dapat berbaik seperti adik-beradik kandung yang lain. Ini tak... Mereka berdua tu buat hal sendiri aje. Ingatkan dinner kat restoran hari tu boleh buat mereka berbaik. Tapi hampa, langsung tak bertegur sapa! Pening saya fikirkan budak-budak tu, bang," luah Puan Sri Aisyah mengenai perangai anak-anaknya itu. Lebih-lebih lagi Rizki. Tidak habis-habis cemburu terhadap abangnya.

The Greatest Of DestinyTahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon