Bab 12

1.4K 28 1
                                    

HARI ini Puan Sri Aisyah tidak sabar menanti kedatangan Alisa Zahira dan beberapa orang pekerja dekorasi Impiana untuk menghias ruang tamu rumahnya itu. Awal-awal lagi dia memesan kepada Kak Timah supaya menyiapkan menu tengah hari untuk dijamu kepada mereka yang datang.

Puan Sri Aisyah mula berjalan mundar-mandir menanti kedatangan mereka. Jauh di sudut hati, bukan dia terlalu teruja untuk melihat dekorasi itu tetapi dia lebih memikirkan Alisa Zahira. Entah kenapa gadis itu terlalu istimewa kepadanya. Dia tidak sabar hendak berbual dengan gadis itu supaya dapat mengenali dengan lebih rapat. Dia teringin sangat nak bermenantukan gadis sebaik Alisa Zahira.

Lama dia menanti, akhirnya sepasukan pekerja Impiana tiba di pekarangan Villa Teratai. Mereka datang dengan menaiki van putih yang tertera logo syarikat sendiri. Lima minit kemudian, lori yang membawa perabot juga telah sampai. Puan Sri Aisyah tersenyum puas melihat kedatangan mereka.

Dia tercari-cari kelibat gadis itu namun hampa. Mungkin belum sampai lagi kut? Puan Sri Aisyah cuba menyedapkan hatinya. Tiba-tiba dia disapa oleh seorang gadis berkulit cerah dan berbadan sedikit gempal itu.

"Assalamualaikum, Puan Sri," sapa Umairah lalu bersalaman dengan Puan Sri Aisyah.

"Waalaikumussalam, ini siapa, ya? Mana Cik Alisa?" soal Puan Sri Aisyah sambil matanya masih melilau mencari pemilik wajah itu.

Umairah tersenyum.

"Oh, saya Umairah. Cik Alisa ke Vietnam dengan bos kami. Ada urusan dengan pihak di sana. Jadi saya terpaksalah ganti dia untuk menghias ruang tamu Puan Sri..." jawab Umairah.

Dia sendiri sudah biasa dengan situasi kerja sebegini. Jika dia tiada sebarang janji temu dengan klien, dia perlu menggantikan mereka yang ada urusan atau jatuh sakit. Mereka tidak mahu terima sebarang aduan daripada pelanggan. Bagi syarikatnya, kualiti kerja dan kepuasan pelanggan harus diutamakan.

"Oh, macam tu..." Hambar nada Puan Sri Aisyah. Dia kecewa dengan maklumat yang disampaikan oleh gadis itu.

Tapi sekejap! Dia pergi dengan bos lelaki? Mereka ada apa-apa ke? Ini tak boleh jadi ni! Rosak rancangan aku nanti. Hatinya membebel. Risau!

"Umairah, maaf saya tanya, Cik Alisa tu dah ada orang punya ke?" tanya Puan Sri Aisyah tiba-tiba.

Umairah yang sedikit pelik dengan pertanyaan itu mula mengerutkan dahi. Pelik dengan soalan Puan Sri Aisyah. Kenapa tiba-tiba sahaja dia nak tahu peribadi teman sepejabatnya itu? Hatinya tertanya-tanya. Mungkin Puan Sri nak jadikan Alisa itu menantunya kut? Bertuahnya kau, Alisa! fikirnya lagi.

"Oh, sebenarnya Cik Alisa tu memang dah berpunya..." Tanpa sempat Umairah menghabiskan kata-katanya, Puan Sri Aisyah terus meneka.

"Siapa? Bos syarikat awak?" tebak Puan Sri Aisyah. Umairah terkejut dengan tekaan itu. Dia tergelak kecil.

"Bukanlah, Puan Sri. Lagipun Encik Hakimi tu dah berkahwin. Cik Alisa tu sebenarnya dah bertunang. Orang tu satu daerah dengan dia juga."

"Oh, dah bertunang. Dia tak cakap pula yang dia dah bertunang." Puan Sri Aisyah benar-benar kecewa.

Nampaknya impian dia untuk bermenantukan gadis itu hancur berkecai. Hatinya benar-benar kecewa. Umairah mula perasan reaksi wajah kecewa wanita itu. Mungkin Puan Sri Aisyah memang nak bermenantukan Si Alisa. Kalau tak fikir aku ni dah bertunang, dah lama aku tawarkan diri jadi menantu Puan Sri Aisyah. Hehe... Gediklah pula!

"Kenapa Puan Sri tanya?"

Puan Sri Aisyah hanya menggeleng.

"Nothing... Okeylah, awak boleh teruskan kerja-kerja awak tu. Saya nak ke atas sekejap." Puan Sri Aisyah cuba menyembunyikan hal sebenar. Baginya orang lain tidak perlu tahu niatnya yang sebenar.

The Greatest Of DestinyWhere stories live. Discover now