Bab 8

1.6K 25 0
                                    

KETIKA asyik menjamu selera, tiba-tiba Lina dan beberapa orang kawannya datang ke gerai itu. Lina sengaja mencari tempat bersebelahan dengan meja musuhnya, Alisa. Entah kenapa, dia amat membenci gadis itu. Dia cemburu apabila Alisa menjadi pelajar kesayangan guru-gurunya di sekolah. Di rumahnya pula, ibu bapanya selalu menasihatinya supaya mencontohi Alisa. Walaupun Lina merupakan anak ketua kampung di kampungnya, ibu bapanya tidak pernah memberi muka kepadanya.

Selalu sahaja dia dimarahi oleh mereka. Bapanya Haji Leman sangat tegas apabila mendidik anak-anak terutama Lina. Bapanya akan mula membandingkan dirinya dengan Alisa. Asyik-asyik nama Alisa. Alisa baik, Alisa rajin, Alisa pandai. Ada tu, Alisa cantik? Cantik ke? Pleaselah! bentak hatinya cemburu. Dia berasa bosan apabila nama itu sering sahaja didengarinya ke mana sahaja dia pergi. Hari ini dia ingin mengenakan Alisa. Biar padan muka! Otaknya ligat berfikir.

"Hai, nampaknya pakar ekonomi kita makan cendol pulutlah. Kenapa agaknya, ya? Opsss... Lupa pula. Ekonomi merudum kut," sindir Lina dengan ketawa yang dibuat-buat.

Beberapa orang temannya turut ketawa. Alisa yang langsung tidak mempedulikan sindiran itu segera menghabiskan makanannya.

Setelah selesai membayar makanannya, dia dan Zila segera bangun dari tempat duduk mereka untuk berlalu dari situ. Namun baru saja memulakan beberapa langkah, kakinya tersadung sesuatu. Dia jatuh terjelepok dan mukanya mencium lantai. Dia menjerit kesakitan dan mula meraba bibirnya. Pedih. Bibirnya berdarah.

Zila yang terkejut melihat temannya itu segera menolong. Lina dan teman-temannya ketawa.

"Hei Lina! Kau sengaja ya tahan kaki kau kat depan tadi supaya kawan aku jatuh?!" marah Zila.

"Amboi, kau nak tuduh aku pula. Kau nampak ke? Kau kan dah jalan dekat depan tadi..." balas Lina cuba menyembunyikan perkara sebenar.

Namun tanpa disedarinya, tindakannya itu telah diperhatikan oleh seseorang.

"Ya! Aku nampak tadi apa yang kau dah buat kat kawan Zila! Memang kau sengaja tahan kaki kau tadi..." Tiba-tiba sahaja suara Budin kedengaran.

Mereka yang ada di situ berpaling ke arah Budin. Lelaki yang berusia awal 20-an itu mula mengatur langkah ke arah Lina. Muka Lina mula membahang. Malu apabila semua memandang ke arahnya. Kantoi!

"Hei Lina! Jangan ingat kau anak ketua kampung, kau boleh buat apa saja. Ini tempat orang cari rezeki. Kalau niat kau dan kawan-kawan kau datang sini sengaja nak cari gaduh dengan orang, baik kau orang balik. Berambus!!!" jerit Budin menghalau Lina dan kawan-kawannya.

Lina dan kawan-kawannya segera berlari mendapatkan motosikal masing-masing.

"Hoi, Budin!!! Kau ingat aku hadap sangat ke nak makan kat kedai buruk ni? Sesuka hati nak halau orang. Sedar sikit yang kau tu pembantu aje. Aku tak tahulah betina mana yang malang dapat laki macam kau ni! Sial kau, Budin!!!" laung Lina tidak puas hati.

"Pergi berambuslah!!!" bentak Budin sambil mencekak pinggang. Nafasnya mula naik turun. Geram!

Lina dan kawan-kawan terus memecut dengan motosikal masing-masing sambil ketawa. Mereka yang berada di situ tergamam sebentar. Mungkin tidak pernah melihat Budin mengamuk. Budin yang sedari dirinya diperhatikan mula berlagak selamba. Dia segera berjalan ke arah Zila dan Alisa.

"Sudahlah Zila, kau hantar sajalah kawan kau ni balik. Mulut kawan kau berdarah tu... Nanti terus sapukan ubat," pesan Budin kepada Zila.

"Terima kasih Abang Budin sebab memihak pada saya dan kawan saya tadi. Maaf, sebab kami Abang Budin terpaksa bergaduh dengan Si Lina tu," ucap Zila kepada Budin.

Alisa yang mendengar kata-kata temannya itu hanya mampu mengangguk. Mulutnya yang berdarah akibat terkena lantai simen menyebabkan dia tidak dapat berkata apa-apa. Nanti sampai rumah mesti uminya bising. Nak buat macam mana, sudah nasibnya jadi begini.

The Greatest Of DestinyWhere stories live. Discover now