Bab 5

3.2K 42 2
                                    

"ABANG Nasih tu sebelum ini memang kerja kat overseas ke bang?" soal Ima kepada suaminya. Dia tekun memakaikan tali leher suaminya itu.

Tidak sabar dia ingin bertentang mata dengan abang iparnya semasa makan malam nanti. Dia kecewa tidak dapat ke majlis kesyukuran sebelum ini kerana demam. Banyak maklumat yang dia dapat melalui Jay tentang lelaki bernama Nasih Mikael itu.

"Tak payah sebut pasal dia!" tegas Rizki. Dia geram apabila nama abangnya itu keluar dari mulut isterinya.

Ima yang mendengar jawapan itu mengerutkan keningnya. Pelik, aku tanya macam itu pun nak marah? Ini mesti ada sesuatu antara mereka yang aku tidak tahu, desis hatinya.

"Abang balik jam berapa hari ini?" Ima cuba mengembalikan mood suaminya.

"Entahlah, mungkin lepas maghrib kut. Nanti awak bersiap cepat-cepat, kita terus bertolak ke rumah mama." Rizki menyarungkan kot hitamnya. Segak dan kemas.

Ima tersenyum melihat suaminya itu.

"Ima sebenarnya nak minta izin dengan abang. Ima nak keluar jumpa kawan pukul tiga petang nanti. Boleh tak?"

"Jumpa siapa? Abang kenal dia tak?" Giliran Rizki menyoal isterinya tanpa memberi jawapan.

"Alah... Jumpa Tasya. Kawan masa kat tempat kerja dulu. Masa kita kahwin dulu dia ada datang. Hari tu Ima tak sempat nak perkenalkan dia kat abang. Lagipun dia singgah sekejap aje masa tu." Ima cuba menipu.

Risau jika suaminya itu dapat hidu dia menipu. Arghhh! Rizki takkan tahu aku nak jumpa dengan siapa.Pandailah aku buat ayat. Hatinya mula berkata-kata.

"Okey. Tapi... jangan balik lewat tau sayang. Malam ni kita nak pergi rumah mama. Okeylah, abang pergi dulu. Bye, sayang." Rizki menghulurkan tangan dan mengucup dahi isterinya itu. Kasih sungguh dia terhadap isterinya itu yang dikenali hanya dua bulan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

"Okey... Bye. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam..." jawab Rizki. Hatinya gembira kerana ditakdirkan bertemu dengan isteri yang cantik dan solehah. Dia tidak sabar hendak kenalkan isterinya itu kepada Nasih Mikael. Dia tahu abangnya itu memang terkenal dengan sikap kaki perempuan. Mesti terbeliak biji mata Nasih Mikael apabila melihat isterinya nanti, fikirnya sambil tersenyum.

"Helo Jay... I jumpa you petang nanti," tutur Ima setelah memastikan kereta Rizki keluar dari pekarangan rumahnya.

"Okey, good! Tempat biasa," jawab pemuda dalam talian itu sebelum mematikan panggilannya.

Ima mula ke bilik bacaan suaminya untuk menggeledah apa-apa maklumat yang boleh diberikan kepada Jay nanti. Lama dia di dalam bilik itu, namun tidak ada sebarang maklumat yang dijumpai. Dia segera berlalu dari bilik itu sambil melepaskan keluhan.

"Lantaklah... Aku tunggu aje arahan daripada Si Jay nanti," bebelnya sambil menuruni anak tangga menuju ke ruang dapur.

Beberapa minit kemudian, telefon bimbitnya berbunyi menandakan mesej diterima. Segera jari-jemarinya bertindak membuka mesej tersebut. Ima tersenyum melihat mesej daripada Jay. Dia tidak dapat membayangkan habuan yang bakal diterimanya nanti. Jika tidak kerana habuan yang bakal diterima, dia tidak sanggup berkahwin dengan Si Rizki. Bagi Ima, dia tidak pernah mencintai lelaki itu walau sekelumit. Dia bersetuju mengikut aturan Jay kerana Rizki merupakan adik Nasih Mikael dan ini adalah 'tiket' buat mereka untuk menghancurkan keluarga Nasih Mikael. Sambil menyuap yogurt ke dalam mulutnya, dia teringatkan pertemuan dengan Jay di apartmen mereka beberapa bulan lalu sebelum dia berkahwin dengan Rizki.

"What?! You nak I kahwin dengan dia? That is too much, okay! I tak sangka you sanggup suruh I kahwin dengan Rizki semata-mata you nak balas dendam terhadap Nasih Mikael! I ni girlfriend you tau, Jay! Takkan you sanggup nak pergunakan I?" marah Ima kepada lelaki itu.

The Greatest Of DestinyWhere stories live. Discover now