Bab 4

3K 52 0
                                    

NASIH MIKAEL berjalan menuju ke arah teman-temannya yang sedang melepak di luar kelas. Kelihatan Jay, Ravi dan Lee Hong sedang berbual sesama mereka. Diana dan Sally juga kelihatan seakan-akan berbincang sesuatu sambil menunjuk helaian buku yang dibuka oleh mereka. Cuma Maria dan Ikmal sahaja tidak kelihatan kerana mereka perlu berjumpa dengan pensyarah subjek mereka.

Jay yang mula menyedari kehadiran Nasih ketika itu hanya membisu. Ravi dan Lee Hong mengajak Nasih berbual mengenai perlawanan bola sepak yang ditonton oleh mereka semalam. Riuh perbualan mereka ketika itu mempertahankan pasukan kegemaran masing-masing. Jay hanya mendengar saja perbualan mereka. Tidak berminat ingin menyampuk. Malas dia hendak berbaik-baik dengan Nasih walaupun dia tahu Nasih telah meminta maaf dengannya akibat kejadian yang berlaku bulan lalu.

Nasih mula mendekati Jay lalu menghulurkan tangan tanda meminta maaf. Namun tiba-tiba bahunya disentuh dari belakang. Dia berpaling dan melihat Linda yang merupakan teman rapat Alisa melemparkan senyuman kepadanya.

"This is for you. Alisa yang minta I tolong sampaikan surat ini kepada you." Linda menghulurkan sepucuk surat kepada Nasih.

"Okeylah, I pergi dulu." Gadis itu terus berlalu pergi setelah surat tersebut telah bertukar tangan.

Nasih yang tergamam dengan kehadiran Linda dan surat itu mula mengerutkan dahinya. Dia segera menyimpan surat itu ke dalam beg galasnya tetapi pantas disambar oleh Jay.

"Kau nak aku maafkan kau boleh... Tapi dengan satu syarat. Kau mesti baca surat ini depan kami. Aku nak tahu juga apa yang terkandung di dalam surat ni. Kalau surat ni melibatkan luahan perasaan dia kat kau, kau mesti buat pilihan antara dia dan kami semua." Jay mula bersuara sambil menayang-nayangkan surat itu di depan muka Nasih. Langsung tidak menghormati hak privasi temannya itu. Nasih yang awalnya keberatan, mula mengangguk setuju. Kemudian mereka mula mencari tempat yang sesuai untuk mendengar setiap butiran di dalam surat itu.

"Kita duduk sinilah... Malaslah nak jalan jauh-jauh. Sekejap lagi kelas dah nak start," ujar Diana lalu duduk di bangku kayu itu. Di sebelahnya Sally manakala Lee Hong dan Ravi duduk berdepan dengan Nasih dan Jay. Nasih mula membuka surat itu. Hatinya mula berdebar. Jay di sebelahnya tersenyum sinis.

"Macam inilah, Jay... Biar aku baca dulu. Lepas tu, aku pass kat kau pula, okey?" Nasih cuba bagi pendapat. Tidak selesa jika dia perlu membaca di hadapan mereka. Jay memandang ke arah teman-temannya yang lain. Mereka yang ada di situ mengangguk setuju.

"Okay, go on!" balas Jay sambil menggosokkan kedua-dua belah telapak tangannya. Dia tidak sabar ingin melihat isi kandungan surat itu. Nasih terus membaca bait-bait surat itu. Hatinya mula merintih sayu. Perasaan bersalah mula membajai hatinya ketika ini...

Assalamualaikum...

Abang apa khabar? Terlebih dahulu Alisa ingin meminta maaf jika kehadiran surat ini mengganggu abang ketika ini. Tujuan Alisa menulis surat ini adalah untuk mengetahui sebab-sebab kenapa abang mengelakkan diri daripada berjumpa dengan Alisa. Abang langsung tidak pernah menjawab call daripada Alisa dan balas mesej yang Alisa hantar. Alisa minta maaf jika Alisa ada buat salah dengan abang. Alisa tidak pernah bermaksud nak menyakiti hati abang. Jika abang ada masalah lain, kita boleh bawa berbincang. Alisa selalu berdoa, semoga abang tergerak hati nak menghubungi Alisa kembali. Tetapi hampa. Di sini Alisa nak luahkan perasaan sebenar Alisa kat abang. Alisa sebenarnya dah lama menyimpan perasaan terhadap abang. Alisa sayang dan cintakan abang. Jika abang juga mempunyai perasaan sama pada Alisa... Jumpa Alisa di Zam Zam Cafe esok petang jam lima. Alisa tunggu. Namun jika abang tak datang, Alisa faham dan Alisa takkan ganggu hidup abang lagi.

Ikhlas mencintaimu, Alisa Zahira

Setelah selesai membaca, perlahan dia hulurkan surat itu kepada Jay. Hatinya mula dihuni rasa bersalah. Namun dalam diam dia juga gembira kerana Alisa juga mencintainya. Dia kini keliru. Fikirannya buntu. Jay yang selesai membaca terus memberi surat itu kepada mereka yang lain. Jay memandang sinis ke arah Nasih yang kelihatan resah. Idea jahat mula menerjah ke dalam otaknya. Dia akan terus menguji kesetiaan Nasih terhadap persahabatan mereka.

The Greatest Of DestinyWhere stories live. Discover now