Bab 6

4.1K 71 34
                                    

"ABANG NASIH bila pula nak kahwin? Takkan tak ada calon lagi kut?" soal Ima tiba-tiba sambil menyuapkan potongan kecil Grill Chicken Chop ke dalam mulutnya. Bebola matanya masih memandang abang iparnya itu. Handsome juga mamat ni! pujinya dalam hati.

Nasih Mikael yang pada mulanya terkejut dengan soalan yang tiba-tiba ditujukan kepadanya hanya mampu melemparkan senyuman sekilas kepada adik iparnya itu.

Puan Sri Aisyah juga tersenyum memandang Nasih. Dia mengharapkan anaknya dapat menjawab pertanyaan Ima itu namun hampa. Sebaliknya anak bujangnya itu hanya mendiamkan diri. Dia terus menikmati makan malam yang berada di depannya. Dia tidak mahu mood malam ini rosak disebabkan soalan remeh seperti itu. Lagipun sudah lama dia tidak menikmati suasana makan malam di restoran di negara sendiri.

"Hai, Nasih takkan diam aje kut. Jawablah yang Ima tanya tu. Papa tengok gaya kamu makan macam tak makan tiga hari." Tan Sri Akhtar mula bersuara.

Puan Sri Aisyah dan menantunya ketawa. Pandai pula suaminya berseloroh. Rizki pula hanya memberi senyuman sinis melihat gelagat abangnya itu. Nasih yang mula menyedari dirinya diperhatikan cuba berlagak selamba. Cepat-cepat dia menghabiskan sisa jus tembikai yang berada di depannya.

"Sedaplah papa lamb chop dan nasi goreng tomyam di sini. Nanti Nasih nak datang ke sini lagi," omel Nasih mengenai menu makan malamnya. Dengan muka selamba dia tersenyum menampakkan barisan gigi sambil mengangkat kedua-dua belah kening ke arah papanya.

"Kamu ni Nasih, papa suruh kamu jawab soalan Ima, bukannya komen menu di depan kamu tu. Ingat kamu ni pengacara Jalan-jalan Cari Makan ke? Nah, habis licin makanan kamu." Tan Sri Akhtar Firdaus terkejut melihat dua pinggan di depan anaknya itu tanpa sisa. Memang anaknya dari dulu tidak berubah. Suka makan tapi badan tidak gemuk. Geram dia melihat anak lelakinya itu buat muka selamba dan sengaja mengelak untuk berbual mengenai topik jodoh. Umur bukannya muda lagi. Dah nak masuk 30 tahun.

"Soalan apa, mama?" Nasih bertanya kepada mamanya. Pura-pura tidak tahu. Rimas. Itulah salah satu keburukan kalau makan bersama keluarga. Mesti soal kahwin dibangkitkan. Nak buat macam mana... Hati aku belum terbuka lagi.

"Hesy, budak ni... Tengoklah anak awak ni, abang. Dia tanya kita balik pula. Ima tanya, kamu bila nak kahwin? Takkan kamu nak tunggu tua kerepot baru nak kahwin. Masa tu mana ada orang nak kat kamu lagi."

Puan Sri Aisyah melemparkan wajah tidak puas hati. Ingin sahaja dia mencari jodoh untuk anaknya itu, tapi mesti ditolak mentah-mentah. Dia tidak kesah siapa pun pilihan anaknya. Paling penting asalkan anak lelakinya itu bahagia.

"Nasih sebenarnya dah lama suka kat seseorang. Tapi Nasih tak pernah luah perasaan Nasih kat dia. Kami pun dah lost contact," jawab Nasih dengan nada hambar.

Mengenangkan hubungannya dengan Alisa Zahira yang terputus tengah jalan semasa belajar di Australia beberapa tahun dulu, dia berasa kesal. Sekarang dia tidak tahu di mana gadis itu berada. Mungkin sudah bertunang atau berkahwin. Dia hanya mampu merintih dan mengharapkan takdir dapat menemukan dia dengan gadis itu. Dia reda jika Alisa Zahira sudah berkahwin. Sekurang-kurangnya dia dapat meminta maaf dengan gadis itu. Namun andai kata Alisa belum berkahwin lagi, dia akan cuba memenangi kembali hati gadis itu. Itulah tekadnya.

"Dia orang mana? Kamu tak cuba cari dia?" soal Tan Sri Akhtar Firdaus pula. Mereka yang lain tekun menanti jawapan dari mulut Nasih.

"Dia orang Malaysia. Tapi Nasih lupa pula orang negeri mana. Entahlah papa, mungkin sekarang dia dah berkahwin..." Nasih cuba meneka. Lama dia berdiam diri kemudian dia segera meminta izin untuk ke tandas sebentar. Mereka yang berada di situ meneruskan perbualan masing-masing. Puan Sri Aisyah bersimpati dengan nasib anaknya. Dia mula berfikir pasangan yang sesuai untuk anaknya memandangkan dia dan suami mempunyai ramai kenalan.

The Greatest Of DestinyWhere stories live. Discover now