Bab 10

1.6K 22 0
                                    

"HAI, baru aje tiga bulan lepas awak buat renovate untuk kabinet dapur, sekarang nak ubah suai ruang tamu pula? Tak payah nak membazir sangatlah Cik Aisyah... Ni set sofa Itali awak tu nak campak kat mana?" bebel Tan Sri Akhtar kepada isterinya. Pening melihat gelagat isterinya yang mula memilih konsep di dalam majalah yang ditatapnya.

"Alah, apa salahnya kalau mampu? Saya buat semua ni pun untuk keselesaan awak juga," balas Puan Sri Aisyah sambil matanya masih menatap majalah yang dipegangnya.

"Tahulah mampu, tapi kalau terlalu membazir tak elok juga. Awak ni bukannya setakat perabot dalam rumah ni saja nak bergaya dan eksklusif, tapi pakaian awak dalam almari tu... Tak tahulah saya... Semuanya nak eksklusif. Orang lain tak pakai lagi, awak dah tempah awal-awal. Habis semua designer kat sini awak cuba, awak cari pula designer luar. Tak ke membazir namanya?"

Baginya walaupun dia dan keluarga mampu untuk merasai semua itu, pengalaman hidup susah dulu banyak mengajarnya. Sememangnya Tan Sri Akhtar Firdaus sangat merendah diri dan tidak pernah membangga diri dengan apa yang dimilikinya. Cukup sahaja dengan makan, pakai dan ada tempat tinggal, dia sudah bersyukur.

Walau bagaimanapun, dia tidak pernah menyalahkan isterinya bersikap demikian. Mungkin isterinya itu sudah terbiasa sejak kecil lagi kerana terlalu dimanjai oleh arwah bapa mentuanya. Namun begitu, dia dan isterinya tidak pernah lupa untuk menyalurkan sumbangan kepada badan-badan kebajikan yang memerlukan, menghantar mereka yang tidak berkemampuan menunaikan haji dan umrah, sentiasa menziarah rumah orang-orang tua, anak-anak yatim dan mereka yang OKU. Dia sendiri kagum dengan isterinya yang aktif berpersatuan dan banyak melakukan program amal untuk mengumpul dana kebajikan.

"Abang, tengok ni... Cantiknya. Gabungan konsep dan warnanya nampak elegan dan eksklusif. Saya ingat nak dekorasi rumah kita dengan konsep macam inilah. Abang macam mana?" Puan Sri Aisyah menunjukkan konsep di dalam majalah itu ke arah suaminya itu.

"Terserah kepada awaklah. Saya ikut aje," jawab Tan Sri Akhtar acuh tak acuh.

"Okey... Kalau macam tu, saya nak hubungi merekalah. Nak jemput datang rumah kita dulu untuk discuss. Malas saya nak pergi tempat mereka." Puan Sri Aisyah terus menghubungi Impiana Corporatian. Tan Sri Akhtar hanya memerhati gelagat isterinya itu.

HARI yang dinanti telah tiba. Puan Sri Aisyah tidak sabar menanti kedatangan perunding dekorasi yang dijemputnya itu. Sesekali matanya melirik ke arah jam tangannya. Suaminya telah lama menghilang. Katanya keluar bermain golf dengan kawan-kawannya.

"Kak Timah, kalau tetamu tu datang nanti panggil saya tau. Saya nak ke atas sekejap," arah Puan Sri Aisyah kepada orang gajinya yang sedang menatang dulang minuman untuk dihidangkan.

Puan Sri Aisyah terus berlalu pergi.

"Baiklah, Puan Sri," akur Kak Timah mengangguk faham. Kak Timah tekun mengatur cawan di atas meja untuk dihidangkan kepada majikan dan tetamu yang datang. Wanita yang dipanggil Kak Timah itu usianya lebih kurang sama dengan Puan Sri Aisyah. Sudah dua puluh tahun dia berkhidmat dengan keluarga itu.

Tidak lama kemudian, tetamu yang dinanti-nanti telah tiba. Kereta Alisa Zahira mula masuk ke pekarangan vila itu. Dia terpaku memandang rumah yang tersergam indah di depannya. Mak ai, kat luar pun dah cantik, inikan pula kat dalam nanti, puji hatinya.

Dia masih terpegun melihat taman bunga yang menceriakan pemandangan luar vila. Kak Timah yang melihat kedatangan gadis itu, tersenyum dan berjalan ke arah Alisa Zahira.

"Cik ni perunding dekorasi tu, ya?" tegur Kak Timah kepada gadis itu.

Alisa Zahira tersenyum dan mengangguk.

"Jemputlah masuk," pelawa Kak Timah menjemput gadis itu masuk.

Alisa menuruti langkah wanita itu. Apabila kakinya mula melangkah masuk, dia tergamam sebentar melihat konsep di dalam rumah itu. Cantik dan mewah. Nak ubah suai apa lagi? Dah orang kaya, memang adatlah kalau berkali-kali tukar perabot pun, bebel hatinya. Matanya masih tidak lepas memandang setiap sudut rumah itu.

The Greatest Of DestinyWhere stories live. Discover now