CULIK1.0 - Bab 4

897 36 2
                                    


MinHo terus ke pasar untuk mencari Zak selepas mendengar kata-kata isterinya. Langkahnya lebih laju dari biasa. Dia agak marah dengan isterinya yang pulang tanpa Zak. Kalau tak dapat cari pun, seharusnya Munirah menghubunginya terlebih dahulu. Macam mana kalau Zak sedang tercari-cari ibunya sekarang dan tidak berjumpa? Mesti puteranya akan panik. "Tapi Zak tahu jalan pulang ke rumah," kata Munirah tadi. Betul katanya tetapi Zak tidak pulang ke rumah. Jadi ke manakah dia?

Zak pun lagi seorang. Kenapa dia berlalu pergi begitu saja? Tahulah dia suka main sorok-sorok, tetapi tidak harus menghilang begitu saja di tempat awam. Pergi ke mana-mana, harus memberitahu. Ini tidak. Ibu ditinggalkan di pasar seorang diri. Tidak bertanggungjawab langsung. Sudah beberapa kali MinHo menegurnya sebelum ini. Kalau nak main-main pun, janganlah keterlaluan. Sememangnya Zak sudah melepasi batasan kali ini. Apabila dijumpai nanti, MinHo akan menegurnya lagi.

Berkali-kali MinHo mencari di kawasan pasar besar itu. Entah dah berapa kali dia ke hulur dan hilir di sepanjang jalan raya yang ditutup untuk tujuan pasar pagi itu. Gerai-gerai menjual dilaluinya berulang kali sambil matanya tercari-cari. Tiada bayangan Zak di mana-mana. Mana perginya budak itu?

Seterusnya MinHo bertanya pada penjual-penjual dan beberapa orang jiran yang berada di situ, tetapi masing-masing tidak nampak Zak. Kerisauan mula menerbit dalam hati MinHo. Apakah sesuatu sudah berlaku kepada anaknya? Dia mula menjerit nama Zak sambil berlari sekeliling pasar itu sekali lagi.

#####

"Macam mana, bang? Jumpa?" tanya Munirah dengan cemas apabila melihat MinHo melangkah masuk ke dalam rumah. Munirah meninjau-ninjau belakang MinHo melihat jika Zak mengikuti, tetapi tiada. Berkerut dahinya. Wini yang sudah bangun daripada tidur sedang khusyuk menonton televisyen di ruang tamu. Apabila mendengar papanya sudah pulang, dia berpaling dan melemparkan senyuman pada MinHo. MinHo sekadar mengangguk. Wini kembali menumpukan perhatian pada skrin yang menyiarkan kartun kegemarannya. Munirah menarik kuat lengan suaminya. MinHo melihat ke arah Munirah dan menggeleng. Keluhan kecil terlepas dari bibirnya.

"Dah cari betul-betul, bang?" Perlahan suara Munirah bertanya lagi, khuatir Wini terdengar soalnya. Dia tidak memberitahu anaknya tentang Zak. Sebelum ini, dia begitu yakin MinHo akan pulang dengan Zak. Tetapi tanggapannya meleset. Sekarang dia mulai risau. Apa yang sudah berlaku sebenarnya?

Dari tadi Munirah menyalahkan dirinya. Sepatutnya dia memerhatikan Zak. Dia tidak patut membenarkan Zak meninggalkan sisinya. Tapi Zak sudah besar. Dia tidak suka apabila Munirah memimpin tangannya lagi. "Malu kalau kawan nampak," katanya. Dia lebih suka membantu mengangkat barangan yang dibeli dan berjalan di sisi ibunya sahaja. Lagipun dia sudah kenal benar dengan pasar itu. Setiap hari Sabtu dia menemani Munirah ke situ. Sudah pasti dia tidak akan sesat. Jadi bagaimana boleh hilang pula? Mata Munirah mula berair namun dia menahan. Dia tidak boleh menangis. Wini ada di situ.

Wini masih sedang menonton televisyen. Dia tidak sedar langsung apa yang sedang berlaku. MinHo tidak ingin menakutkan Wini lalu dia membawa Munirah ke bilik tidur mereka di tingkat atas. Pintu ditutup rapat.

MinHo menarik nafas panjang. Pelbagai senario bermain di mindanya dalam perjalanan pulang tadi. Mungkin Zak hanya bermain dengan mereka. Dia berharap apabila sampai ke rumah, Zak sudah pulang. Tetapi tidak begitu. Sekarang MinHo perlu bertenang. Dia perlu berfikir.

Tiba-tiba Munirah pula mulai histeria. Suaranya tinggi dan cemas, antara jerit dan meraung. Air mata berderas turun membasahi pipinya. Dia bercakap seorang diri.

"Zak dah hilang ... Zak ... Zak ... Zak dah hilang. Mana dia?" ulang Munirah sambil bermundar-mandir merenung lantai. Kerisauan yang melanda sejak tadi berlimpah keluar. Badannya bergetar dengan panik yang membanjiri seluruh raganya. MinHo yang melihatnya begitu turut runsing.

"Macam mana ni, bang? Apa kita nak buat? Macam mana ni!" Suara Munirah mula meninggi. Dia mencapai bahu MinHo. Dipegangnya bahu MinHo dan digoncangnya kuat. Seketika kemudian, dia menumbuk dada MinHo dan meraung lagi.

MinHo terkejut dengan tindakan mendadak Munirah. Dia memeluk isterinya dan cuba untuk menenangkannya. Dia membiarkan Munirah menangis dalam dakapannya. Apabila tangisannya sudah reda, MinHo memimpin isterinya ke katil. Dia duduk menghadap Munirah. Kedua-dua tangan Munirah dipegangnya. Rambut Munirah yang terurai ditolaknya ke tepi lalu dia meminta Munirah memandangnya.

"Sayang bertenang dulu. Abang perlu Nira cerita daripada mula apa yang sudah berlaku...," MinHo cuba untuk memujuk Munirah.

"Apa yang berlaku? Abang tanya lagi? Zak sudah hilang! Kita mesti mencari dia. Kita mesti...," teriak isterinya sebelum kehilangan kata. Tangisan deras membasahi muka. Hidungnya sudah merah dan berair.

MinHo membiarkannya menangis seketika. Melihat isterinya menangis, dia menahan air mata yang bertakungan sejak tadi. Dia memeluk Munirah dan menenangkannya lagi. Dia juga risau sebenarnya. Di pasar tadi pun, dia dah mula panik dan berlari merata-rata berteriak nama Zak. Dicarinya di semua gerai, di kedai makanan berhampiran dan di lorong belakang pasar. Namun tidak jumpa.

Akhirnya dia membuat keputusan untuk pulang. Daripada mencari secara membuta tuli, dia memerlukan maklumat daripada isterinya. Sebagai detektif, dia tahu yang langkah pertama adalah bertenang. Hanya dengan bertenang, mindanya dapat memikirkan langkah yang seterusnya.

Apabila tangisan Munirah sudah reda, MinHo mencuba lagi.

"Abang pun risau juga. Tapi abang kena tahu, bila Nira sedar Zak sudah hilang?"

Belum sempat Munirah menjawab, kedengaran ketukan di pintu. Mereka berdua melihat pintu yang masih tertutup. Perlahan MinHo bangun untuk membukanya. Wini berdiri di situ.

"Abang di mana, papa? Wini nak ajak dia main komputer tapi tak jumpa," tanya Wini yang sedang mencari abangnya. Dia sudah mencari di bilik tidur Zak, dapur, ruang tamu, stor dan tandas. Tiada. 'Mungkin abang Zak di bilik papa dan mama,' fikirnya.

Melihat anaknya itu, MinHo menggosok matanya yang merah menahan air mata lantas mendukungnya. Dipeluknya Wini dengan erat. Dia bersyukur kerana Wini masih ada lagi. Kasihan juga Wini yang tidak tahu apa yang sudah berlaku. Wini membalas pelukan itu sambil melihat sekeliling bilik mencari Zak. Matanya terhenti pada wajah mamanya.

"Kenapa mama menangis?" Berkerut dahi Wini apabila ternampak mamanya yang sedang menangis memeluk bantal. Basah pipi mamanya dengan tangisan yang deras. Walaupun Munirah berpaling ke arah yang lain, masih kedengaran sedu-sedan tangisannya.

"Mama sakit kepala. Mari kita turun supaya mama boleh rehat, okey?" Begitu mudah sekali kata bohong itu keluar dari mulut MinHo. Inilah kali pertama dia menipu anaknya. Tetapi apakan daya, takkan mereka nak beritahu Wini tentang kehilangan abangnya?

Hilangkah abangnya itu? Itu pun mereka belum pasti lagi.

MinHo menutup pintu bilik dan membawa Wini ke ruang tamu. Tangan anaknya digenggam erat seperti takkan dilepaskan lagi.

"Abang Zak mana, papa?" tanya Wini lagi.

"Dia pergi rumah kawannya." Pantas MinHo berbohong lagi. Rasa bersalah melanda hatinya. 'Saya cuma ingin melindungi kamu,' detik hati MinHo. Dia berharap ini adalah kali terakhir dia bercakap bohong. Dia sering mendidik anak-anaknya untuk bercakap benar dan bersikap jujur. Sekarang dia sendiri sudah bercakap bohong. Dia berasa amat bersalah.

"Ala. Pergi main tapi tak ajak. Jahat abang Zak!" Wini membuat muka orang merajuk. MinHo hampir tersenyum melihatnya.

"Tu lah ... kuat tidur. Sudah ketinggalan." Sempat MinHo mengejeknya sambil memicit hidung kecil Wini.

"Wini laparlah." Anak kecil itu mengusap perutnya dengan senyuman nakal. "Papa masakkan maggi boleh? Wini nak yang perisa ayam soto."    

CULIK1.0Where stories live. Discover now