CULIK1.0 - Bab 8

699 31 0
                                    

Masa berlalu dengan perlahan sekali. MinHo merenung jam putih yang terpacak pada dinding bilik studi. Baru pukul empat pagi. Pasar belum buka lagi. Dia melontarkan pandangannya pada nota-nota yang ditulis pada kepingan kertas mahjong yang ditampalnya pada belakang pintu. Maklumat tentang kes Zak tertera di situ – gerai mana yang mereka singgah, siapa yang mereka berborak dengan, jangka masa Zak hilang, tempat terakhir Zak berdiri, dan lain-lain. Semuanya seperti kepingan jigsaw yang menunggu untuk dicantum semula. Tetapi ada kepingan yang hilang – tiada motif atau suspek. Itu yang membingungkan.

MinHo bersandar pada kerusi lalu memicit kepalanya yang sakit. Mungkin terlalu penat. Petang tadi selepas menghantar Munirah pulang, dia memandu mengelilingi kawasan pasar dan perumahannya beberapa kali mencari Zak. Kemudian dia meluaskan pencariannya ke kawasan berdekatan. Apabila matahari sudah terbenam, baru MinHo pulang ke rumah. Itupun kerana jiran mereka menghubungi dia untuk menjemput Wini pulang.

Sampai di rumah, dia sibuk menyediakan makanan malam untuk Wini kerana Munirah masih sedang berkurung di dalam bilik tidur mereka. Anaknya itu kurang karenah kali ini, mungkin sudah penat bermain sepanjang hari. Apabila ditanyakan perihal abangnya, MinHo berbohong yang Zak sleepover di rumah kawannya untuk beberapa hari. Dosanya bertimbun tinggi dengan setiap kata bohong yang semakin mudah diludahkan.

Di dalam bilik, Munirah enggan makan ataupun minum. Dia hanya terduduk di atas katil dengan selimut menutupi kaki. Sekejap dia menangis, sekejap dia termenung. Nama Zak disebut berulang kali seakan-akan dengan berbuat begitu anaknya akan muncul di hadapannya.

Pada mulanya, MinHo cuba untuk memujuk isterinya untuk makan dan minum sedikit walaupun tiada selera sendiri. Dia juga memujuk isterinya untuk berehat dan tidur. Tetapi semakin dipujuk, semakin histeria jadinya. Lalu MinHo membiarkannya bersendirian dan sekadar memerhatikannya saja. Menjelang tengah malam, apabila dilihat Munirah masih sedang bergelut dengan emosi diri, MinHo memberinya pil tidur. Munirah terlelap tidak lama kemudian.

Ketika semua sedang berdengkur dan rumah sunyi ditemani bunyi cengkerik, giliran MinHo mengurungkan dirinya untuk berfikir. Setiap satu maklumat yang tercatat pada kertas mahjong ditelitinya semula. Membingungkan. Tanpa bukti, saksi, motif atau suspek, tidak banyak yang boleh dilakukannya.

MinHo mengerling ke jam dinding sekali lagi. Jam menunjukkan sepuluh minit sebelum pukul lima pagi. MinHo terus bangun dan menuju ke bilik air. Pili air dibuka dan ditakung sehingga memenuhi sinki sebelum MinHo memasukkan kepalanya ke dalam air sejuk itu.

Brrrr... Terus terasa kesejukan melampau menusuk seluruh badannya. MinHo menahan nafasnya dan membiarkan dirinya begitu sehingga mukanya terasa kebas. Seminit kemudian, dia berdiri tegak semula lalu terengah-engah. Nafasnya pendek dan cepat. Dia menyandarkan badan pada singki lalu melihat wajahnya pada cermin di depannya. Matanya merah akibat kekurangan tidur. MinHo menampar-nampar mukanya dengan kuat. Terasa dirinya segar sedikit selepas mencuci muka.

Selepas menukar baju, seluar jeans dan baju tee hitam, MinHo keluar dan menuju ke arah pasar pagi. Langkahnya dipercepatkan apabila mendengar suara samar-samar orang berbual kosong ditemani bunyi gerai-gerai dibuka. Kebanyakan yang ada di situ adalah penjaja yang masih sedang menyusun atur gerai mereka untuk jualan pagi.

"Awal pagi ni, detektif," tegur penjual ayam apabila ternampak MinHo mendekati mereka. Dia tidak hairan melihat MinHo awal pagi sebegini kerana kadangkala detektif polis itu singgah untuk bersarapan sebelum masuk awal ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

MinHo tidak memberi salam. Terus dia bertanyakannya tentang Zak.

"Dia kata nak beli daging untuk buat stik. Birthday detektif kan semalam?" jawab penjual ayam itu. Dia hairan kenapa MinHo bertanyakan anaknya tiba-tiba. Apa yang sudah terjadi? Belum sempat dia bertanya, MinHo menyoal pasal gerai daging pula.

"Tu, penjual daging baru je sampai. Erm, detektif, apa sebenarnya yang sedang...."

MinHo telah berlalu sebelum dia sempat menghabiskan kata-katanya. Penjual ayam melihatnya dengan hairan lalu mengikut jejaknya dengan penuh tanda tanya. Beberapa orang penjaja berdekatan mula menyibuk dan mengelilingi mereka. Penjual daging tersentak apabila MinHo muncul di belakangnya tiba-tiba.

"Zak? Lepas dah beli stik, dia pergi dengan mamanya. Tapi selepas itu, aku ada nampak dia pergi ke gerai telur," jawab penjual daging itu.

"Erm, ada masalah ke dengan telur semalam?" tanya penjual telur yang berada di situ bersama penjaja lain. Dia khuatir yang sesuatu sudah berlaku. MinHo berpaling kepadanya pula.

"Cuba cerita apa yang berlaku di gerai ketika Zak ada di situ," minta MinHo pula. Semakin ramai penjaja yang mengerumuni mereka sekarang. Masing-masing penuh dengan perasaan ingin tahu.

"Zak pesan telur paling besar dan segar. Begitu teruja dia untuk memasak semalam. Katanya nak goreng telur yang paling sempurna untuk papanya. Selepas membayar, dia datang ke sini, ke gerai daging," jelas penjual telur itu. Hiba MinHo mendengar kata-katanya. Anaknya itu begitu prihatin.

"Jadi Zak balik ke sini?" MinHo bertanyakan penjual daging pula.

"Tak ada kot. Saya cuba nampak dia sekali je," jawab penjual daging sambil menggaru belakang kepalanya. Dahinya berkerut. Dia menjeling ke arah penjual telur dengan ekspresi tidak puas hati. Tiba-tiba keadaan tegang di antara mereka berdua.

"Ada. Dia menghala ke gerai awak," tegas penjual telur, langsung tidak peduli dengan jelingan penjual daging itu. Baru penjual daging ingin memprotes, yang lain pula menyampuk.

"Betul tu. Saya nampak dia pergi cari Luqman di belakang gerai awak," jelas penjual ayam pula.

"Luqman? Siapa Luqman?"

"Pembekal daging dari Pahang. Dia datang seminggu tiga kali. Semalam dia ada. Daging stik yang Zak beli pun khususnya dipesan dari Luqman. Dia minta Luqman sediakan yang segar dan tebal-tebal," jelas penjual daging pula.

MinHo cuba untuk mendapatkan sebanyak maklumat yang boleh tentang Luqman daripada semua yang ada di situ tetapi mereka sendiri tidak begitu mengenali pembekal daging itu sebenarnya. Yang mereka tahu, dia dari sebuah syarikat pembekal daging dari Pahang. Latar belakangnya tiada seorang pun yang tahu. Nama penuh pun mereka tidak pernah menanyakan Luqman. MinHo mencuba pula untuk mendapatkan deskripsi profil Luqman.

"Dia tu tinggi dan lampai, tapi tegap. Bulu kening lebat. Muka biasa-biasa je. Rambut pendek seperti tentera."

"Dia selalu pakai jeans hitam dan baju hitam."

MinHo mencatatkan semua ini dalam buku nota kecilnya. Dia menanyakan jika Luqman mempunyai apa-apa yang luar biasa pada badannya seperti tatu ataupun tanda lahir. Masing-masing menggeleng kepala.

"Detektif, apa yang terjadi sebenarnya?" tanya penjual ayam.

MinHo menceritakan tentang kehilangan Zak. Mereka semua terlopong mendengar apa yang sudah berlaku. Sebelum beredar, MinHo meminta tolong mereka untuk menghubunginya jika ternampak Zak ataupun Luqman. Apabila mereka semakin banyak bertanya dan sibuk bercerita sesama diri, MinHo menyelinap keluar dari situ. Dia percaya mereka akan menjadi mata dan telinga untuknya sementara dia mengerjakan urusan lain.

#####

Apabila MinHo pulang ke rumah, Munirah dan Wini masih sedang tidur. Dia meletakkan sarapan nasi lemak bungkus di atas meja dengan pesanan. Dia berharap Munirah dapat menjaga Wini untuk seketika sementara dia ke pejabat untuk menyiasat lebih lanjut. Walaupun isterinya kurang stabil dari segi emosi dan mental, dia tidak mempunyai pilihan lain. MinHo terpaksa mengharapkannya untuk menjaga keluarga mereka sementara dia mencari Zak.

Sekarang misinya hanya satu: mencari seorang lelaki bernama Luqman. Agaknya, dalam Malaysia, berapa orang bernama Luqman? Lagipun dia kurang pasti sama ada ia dieja sebagai Luqman, Lukman atau Lokman. Menyiasat petunjuk ini seperti mencari jarum dalam lautan. Tetapi ini adalah satu-satunya petunjuk buat masa ini. 

CULIK1.0Where stories live. Discover now