CULIK1.0 - Bab 20

583 31 5
                                    

Selepas pulang dari Pahang, MinHo terus masuk ke pejabatnya. Terdapat beberapa hal rasmi yang perlu dilakukannya. Laporan dan dokumen yang memerlukan tandatangannya tersusun empat inci tinggi di atas meja. Pasukannya sudah memesan yang sesetengah daripada dokumen-dokumen itu memerlukan tandatangannya dengan segera supaya tindakan lanjut boleh diambil untuk kes-kes yang dikendalikan oleh mereka.

MinHo membelek fail-fail itu satu per satu. Semuanya tentang kes lain. Mana fail tu? Baru dia hendak mencapai telefon untuk menghubungi pegawainya, matanya ternampak sebuah fail manila biru muda dengan nombor rujukan laporan yang telah dihafalnya di atas papan kekunci komputernya. Detektif Rina telah mengasingkan fail itu daripada yang lain.

Segera fail itu dibuka lalu MinHo mula membaca. Setiap halaman dibacanya sekilas lalu. Fail kes kematian Hafiz Latiff. Laporan pekerja sosial Luqman Hafiz. Geran tanah Luqman Hafiz. Tiada perkembangan baharu. Petunjuk yang penting, semua sudah dilaporkan oleh Detektif Rina sebelum ini. Yang dilampirkan adalah maklumat terperinci yang sekadar ini tidak memberi sebarang petunjuk baharu. MinHo menyandarkan dirinya pada kerusi lalu mengeluh panjang.

Beberapa jam MinHo terperuk dalam bilik pejabatnya. Selalunya dia cekap dan pantas dalam melaksanakan tugasnya. Tetapi hari itu, mungkin kerana keletihan ataupun mindanya sukar untuk menumpukan perhatian, dia sedar dirinya terpaksa membaca laporan yang disediakan untuk kes-kes lain berulang kali kerana otaknya tidak mencerna maklumat yang dibaca. Akhirnya, dia habis meneliti semua fail itu menjelang waktu petang.

Jam pada skrin komputer menunjukkan pukul empat petang. MinHo mendongak lalu memejam mata. Dia memikirkan apa yang harus dilakukannya selepas ini. Zak masih belum dijumpai. Tiada petunjuk baharu untuk mengemudinya ke arah yang betul dalam pencarian anak sulungnya. Munirah dan Wini pula dijaga oleh ibunya di kampung, tapi untuk berapa lama? Bilakah Zak akan ditemui? Bilakah kehidupan mereka akan pulih seperti sediakala? Adakah kehidupan mereka akan kembali biasa semula?

Screensaver bermain pada skrin komputer apabila MinHo membuka matanya semula. Gambar keluarga mereka berempat menari-nari pada skrin. Senyuman terpamer pada wajah setiap orang. Munirah nampak ceria melayan anak-anak membina istana pasir di pantai. Wini sibuk mengorek parit mengeliling istana itu sementara Zak mengisi parit itu dengan air laut. Baju tee putih kegemaran Zak basah dan melekat pada badannya. MinHo mengusik rambut Zak sambil tersenyum pada kamera. Gambar itu diambil oleh ibunya berdekatan pantai di kampung mereka.

Lama MinHo merenung gambar itu. Ada sesuatu yang berdetik di sanubarinya. Ada sesuatu yang tidak kena tentang gambar itu tetapi dia tidak tahu apa. Dia mendekatkan diri pada skrin. Matanya meneliti setiap perinci gambar itu sekali lagi. Ah hah!

MinHo tertekan papan kekunci lalu screensaver itu hilang. Terus dia mencapai tetikus untuk mencari gambar tadi. Apabila terjumpa fail itu, terus dia klik fullscreen untuk melihatnya.

Sah! Dia amat pasti dan yakin dengan andaiannya sekarang. MinHo mencapai kunci keretanya dan bergegas keluar dari pejabat. Hatinya berbunga dengan penuh harapan.

Dia tahu Zak berada di mana.

CULIK1.0Where stories live. Discover now