CULIK1.0 - Bab 7

726 34 10
                                    

Selepas meluangkan masa bersama keluarganya, Luqman meneruskan kerjanya di bangsal. Walaupun ini bukan kali pertama, dia tetap mengatur strategi bagi memastikan rancangannya berjalan dengan lancar. Berulang kali ditelitinya semula setiap langkah yang akan diambil nanti. Dimainkannya berulang kali dalam minda supaya dirinya tidak lupa. Selepas buat ini, buat itu. Selepas buat itu, buat ini. Itulah yang difikirkannya sambil memanaskan kepingan besi bersaiz bulat berdiameter tiga inci pada penunu bunsen. Dia harus memastikan ia tidak terlalu panas tetapi cukup hangat.

Kedengaran bunyi dari katil bayi itu lagi. Tidak putus asa budak itu cuba untuk mendapatkan perhatiannya. Kesabaran Luqman benar-benar teruji. Apabila bunyi itu semakin kuat, Luqman menjeling ke arah Zak. Terus Zak berhenti menendang sisi katil bayi itu. Tidak berkelip matanya melihat Luqman. Selepas seketika, Luqman kembali menumpukan perhatian pada tugasnya. Tidak lama kemudian, Zak menendang lagi.

"Diam, Zak. Jangan paksa aku...." Luqman tidak menghabiskan ayatnya. Dia mengeluarkan pisau sembelihnya lalu menusuk pada meja kayu di depannya. Dibiarkan pisau itu terpacak begitu saja. Tergaman Zak melihatnya. Kenapa Pak Luqman bertukar menjadi seorang yang amat menakutkan?

Luqman menyambung kerjanya. Lidi besi berhujungkan kepingan besi bulat itu dibeleknya berulang kali. Biar seragam permukaan yang dipanaskan. Sesekali dia melihat ke arah Zak yang sedang merenung pisaunya. Pisau itu digunakan oleh Luqman untuk menyembelih haiwan seperti lembu, kerbau, kambing, kijang, ular dan rusa. Panjangnya dua belas inci dan diperbuat daripada besi tahan karat. Tidak terlalu berat atau ringan. Amat sesuai untuk keperluannya dalam penyembelihan haiwan. Pisau itu sentiasa dibawa Luqman ke mana-mana saja.

Apabila kepingan besi itu sudah menjadi jingga keemasan menandakan ianya cukup panas, Luqman bangkit bangun. Dia menghampiri Zak. Lidi besi dipacak pada tanah lalu dia membuka pintu katil dari atas. Zak bergelut untuk berdiri tetapi Luqman menghalangnya. Dia memegang kepala Zak, tidak membenarkannya bergerak sesuka hati.

"Jangan gerak. Teruk kalau salah tempat nanti," tegas Luqman sambil mencapai lidi besi di sebelah katil bayi itu tadi. Perlahan-lahan dia mendekatkan besi panas itu pada muka Zak. Terbeliak mata Zak melihatnya. Dia cuba untuk berpaling tetapi Luqman memegang mukanya kuat. Zak memejam matanya rapat.

"Sakitnya kejap je..." beritahu Luqman sebelum menekan besi panas itu pada pipi kanan Zak. Berdesing bunyinya apabila permukaan besi itu menyentuh kulit gebu Zak. Zak menendang dan bergelut dalam protes tetapi badan Luqman menekannya kuat. Zak tidak mampu untuk melepaskan diri. Menitis air mata Zak dalam kesakitan. Begitu perit rasanya sehingga dia terkencing.

"Shh ... tahan kejap lagi...," bisik Luqman pada Zak. Dia merapatkan telinga pada muka Zak. Apabila tiada bunyi berdesing lagi, dia yakin ia sudah siap.

Seketika kemudian, Luqman mengalihkan besi panas itu daripada muka Zak. Dia memerhatikan bentuk bulat yang berkesan pada pipi kanan Zak. Dibeleknya muka Zak beberapa kali sebelum dia tersenyum puas. Semuanya sempurna sekali.

CULIK1.0Where stories live. Discover now