CULIK1.0 - Bab 9

708 36 9
                                    

Tiga buah pinggan, tiga biji telur goreng, enam keping roti bakar. Nelly mengacau teh panas dalam teko sebelum meletakkannya di atas dulang bersebelahan dua cawan kosong. Secawan Milo panas terhidang bersebelahan teko itu. Senyuman bermain di bibir apabila semuanya sudah selesai disediakan. Dia kemudiannya mencari Luqman di bilik tidur.

Bahu suaminya ditepuk lembut lalu Luqman tersedar daripada tidur. Dia melihat pada jam meja di sebelah katil mereka. Tepat jam lapan pagi. Setiap pagi Nelly membangunkannya pada waktu yang sama. Sudah menjadi rutin biasa mereka untuk bersarapan bersama.

Luqman menggosok gigi dan mencuci muka sementara Nelly menunggu di dapur. Dia tidak sabar untuk bersarapan dengan anak tunggal mereka, Maikel. Memasak dan meluangkan masa bersama Maikel adalah suatu yang amat berharga untuknya. Dia merasa itu suatu amanah agung dan indah yang diberi kepada mereka yang bergelar ibu.

Sejak kecil lagi, Nelly hidup sebatang kara. Ibu bapanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika dia berumur empat tahun. Dia tidak mempunyai saudara mara yang lain. Oleh itu, dia ditempatkan di sebuah rumah anak yatim dan membesar di situ. Budak-budak lain yang ditempatkan di situ sering kali bertukar. Hanya dia yang tidak diingini. Hanya dia yang tidak diambil sebagai anak angkat oleh sesiapa.

Nelly tidak mempunyai kawan kerana dia tidak suka berkawan. Budak-budak lain sering membuli dan mengetawakan dia menjadikan Nelly benci kepada mereka. Oleh itu, Nelly lebih banyak menyendiri. Dia suka berseorangan. Namun dalam keseorangan itu, dia merasakan hidupnya amat kosong seakan-akan tidak mempunyai arah tuju. Terasa hidupnya tidak berharapan. Sehingga Luqman muncul.

Dia tertarik kepada Luqman bukan kerana dia tampan ataupun macho. Tetapi Luqman seperti dirinya. Luqman tidak bergaul dengan budak-budak lain. Luqman tidak bercakap dengan sesiapa dan sering termenung seorang di buaian di bawah pokok lebat di belakang rumah yatim mereka. Kerap kali Nelly melihatnya lepak di situ. Kalau ada sesiapa yang menghampiri, Luqman akan menjauhkan diri dan beralih ke tempat lain pula.

Untuk beberapa bulan yang pertama, Nelly hanya memerhati saja. Fikirnya, seperti budak-budak yang lain, pasti ada orang yang akan mengambil Luqman sebagai anak angkat and Luqman akan meninggalkan tempat itu juga. Tetapi seperti dirinya, Luqman dipinggirkan saja. Tiada sesiapa yang ingin menyayangi mereka berdua. Mereka terus menjadi penghuni tetap rumah yatim itu.

Suatu hari Nelly memberanikan diri untuk mendekati buaian ketika Luqman berada di situ. Luqman mengangkat muka apabila menyedari kehadirannya. Dengan perlahan, Nelly mengambil tempat duduk bertentangan Luqman di buaian itu. Luqman tidak beralih. Dia hanya merenung wajahnya, ataupun tidak – Nelly merasakan yang dia hanya melihat menerusinya kerana renungannya yang kosong.

Lama mereka duduk di situ. Kekadang kaki Luqman menggoyangkan buaian dengan perlahan lalu Nelly merasa badannya lembut terhayun ke depan dan belakang. Selesa. Dia menyandarkan badannya pada kerusi buaian sambil merasa angin kecil membelai pipinya. Masing-masing tidak berbicara. Tetapi Nelly tidak rasa keseorangan lagi apabila bersama Luqman walaupun lelaki itu tidak pernah bercakap sepatah pun kepadanya.

Menjadi suri hati Luqman membahagiakan Nelly. Jiwanya tidak terasa kosong lagi kerana dia mempunyai tujuan hidup sekarang. Dia hidup untuk melayan Luqman. Dia menjaga makan minumnya dan memastikan rumah mereka sentiasa teratur. Apabila dia mengandungkan anak mereka, dia berasa hidupnya telah menjadi sempurna kerana dia sudah menunaikan tanggungjawabnya untuk memastikan keluarga mereka mempunyai zuriat untuk generasi akan datang.

Maikel merupakan anugerah dari Tuhan kepada mereka berdua kerana masing-masing tidak mempunyai keluarga atau saudara mara yang lain. Maikel menjadikan mereka sebuah keluarga yang lengkap. Nelly mempunyai harapan yang tinggi untuk Maikel. Dia ingin melihat anak puteranya membesar dengan sihat dan berjaya dalam hidup. Maikel, Maikel kesayanganku.

Nelly tersentak daripada lamunan apabila bahunya disentuh. Dia berpaling dan melihat Luqman yang sudah bersedia untuk memulakan harinya. Dia mencapai dulang yang dipenuhi makanan dan mengikut suaminya ke pintu bilik Maikel yang terletak bersebelahan dapur.

#####

Seperti biasa, Nelly dengan penuh sabar menunggu suaminya membuka ketiga-tiga mangga yang terpaut pada luar pintu bilik Maikel. Hanya Luqman yang memegang kunci-kuncinya dan Nelly hanya boleh berjumpa dengan anaknya apabila Luqman ada bersama.

Pada mulanya, Nelly tidak selesa mengurung anak sendiri tetapi Luqman menyakinkannya bahawa tindakan ini adalah perlu untuk melindungi anak tunggal mereka. Muka Maikel yang bertompok besar pada pipi kanan pasti akan menarik perhatian ramai. Mungkin ada yang akan mentertawakannya atau membulinya. Lebih teruk kalau masyarakat tidak menerimanya. Kalau pihak berkuasa mengambil Maikel daripada mereka, bagaimana pula? Luqman tidak ingin mengambil risiko yang ada. Maikel disimpan di rumah. Dia percaya Nelly dan dirinya mampu membesarkan Maikel sendiri tanpa sokongan masyarakat.

Pintu ditarik buka dengan perlahan. Kelihatan Maikel terbaring di atas katilnya. Matanya tertutup. Barangkali dia sedang tidur. Nelly meletakkan dulang di atas meja makan kecil di dalam bilik itu sementara Luqman mengunci pintu dari dalam – satu langkah berjaga-jaga yang dipraktiskannya sentiasa.

Nelly segera mendapatkan anaknya yang sudah sakit dua minggu. Badan kecilnya lemah dan masih panas lagi. Deman belum surut. Kalau diberi pilihan, Nelly ingin tinggal di dalam bilik itu untuk menjaga anaknya sehingga sembuh semula, tetapi Luqman tidak membenarkannya. Dia tidak ingin Nelly bersendirian dengan Maikel.

Luqman menikmati sarapannya sambil memerhatikan Nelly yang sedang mengelap badan anaknya dengan tuala basah. Rutin yang sama sejak anak mereka jatuh sakit tetapi demamnya tidak surut-surut lagi. Kelihatan Maikel semakin lemah. Itulah sebabnya Luqman bertindak menculik Zak; dia mengagak Maikel tidak dapat bertahan lama lagi.

Bilik Maikel lengkap dengan meja makan, katil bujang, almari pakaian, alat permainan, rak buku, meja tulis dan bilik tandas. Semuanya ada kecuali tingkap – Luqman tidak ingin sesiapa melihat ke dalam bilik itu. Dunia Maikel dikekang oleh empat dinding berlapik yang menjadikan bilik itu kalis bunyi – dunia luar tidak boleh mendengar apa yang berlaku di dalam dan sebaliknya. Semuanya sempurna kecuali satu; ketiadaan sinaran matahari.

Luqman memandang bahagian langit-langit di atas meja makan. Sudah beberapa kali dia mempertimbangkannya. Mungkin Maikel selalu sakit kerana kekurangan zat-zat vitamin daripada cahaya matahari. Kehidupan tanpa matahari boleh memberi kesan negatif kepada seseorang. Luqman mengerti kerana dia pernah melaluinya. Patutkah dia membuka ruang kecil pada bumbung dan memasang tingkap kecil di situ?

Luqman membantu Nelly menegakkan badan Maikel kepada posisi duduk. Nelly mula menyuap roti bercelup Milo ke dalam mulut Maikel yang sedang mengunyah perlahan dengan mata tertutup. Wajah Nelly berkerut risau melihat keadaan anak mereka yang semakin tenat. Luqman tidak suka melihat isterinya sedih begitu.

"Buka mata kau dan senyum, Maikel. Ibu kau tengah suap tu," arahnya pada Maikel. Dia tidak risau berkata demikian kepada Maikel kerana Nelly tidak dapat mendengar. Nelly dilahirkan pekak dan bisu.

Budak itu membuka mata dengan perlahan dan cuba untuk meleretkan senyuman. Bibirnya biru pucat. Kerut pada dahi Nelly menghilang tatkala melihat anaknya tersenyum lemah. Dia mengusap pipi Maikel dengan penuh kasih sayang. Selepas Maikel menghabiskan makanannya, Luqman menghulurkan beberapa biji pil vitamin untuk disuapkan kepada Maikel.

Selepas itu, Luqman menghulurkan pencukur rambut kepada Nelly pula. Isterinya tersenyum. Seminggu sekali, dia mencukur kepala Maikel menjadi botak. Lebih mudah untuk dijaga, kata Luqman dan Nelly tidak membantah. Apabila Nelly mencukur kepala anaknya seminggu sekali, itulah waktu yang amat istimewa buatnya. Dia berasa begitu dekat dengan anaknya.

Luqman membiarkan isterinya meluangkan masa bersama Maikel sementara dia memanjat kerusi untuk mengukur lelangit di lokasi yang dilihatnya tadi. Mungkin kalau sinaran matahari masuk ke bilik ini, Maikel boleh hidup lebih lama lagi.

CULIK1.0Donde viven las historias. Descúbrelo ahora