CULIK1.0 - Bab 6

791 33 2
                                    

Wini dihantar ke rumah jiran di seberang jalan. Alasannya supaya dia juga boleh bermain dengan kawan sementara abangnya tiada di rumah. Tanpa curiga, dia pergi mencari kawan baiknya. Siap bersiul gembira ketika berjalan ke situ. Dicium pipi papanya dengan manja sebelum MinHo meninggalkannya di situ.

Apabila MinHo pulang ke rumahnya, Munirah kelihatan termenung di ruang tamu sambil kedua-dua tangannya menggenggam cawan berisi air kosong. MinHo mengambil tempat duduk di hadapan isterinya. Dia menundukkan badannya ke depan, siku menekan kedua-dua paha, dan menghadap Munirah tanpa senyuman. Meja kecil menjadi pemisah di antara mereka berdua.

"Sayang dah baik sikit?" tanya MinHo dengan perlahan. Isterinya kelihatan lebih tenang sekarang. Mungkin dia sudah bersedia untuk bercakap. MinHo mempunyai seribu persoalan untuknya. Melihat isterinya tidak menjawab, MinHo bertanya lagi, "Sayang okey?"

Munirah mengangguk perlahan. Cawan yang dipegang diletakkan di atas meja. Dia menyandar pada sofa biru dengan keluhan kecil.

"Wini mana?" tanya Munirah apabila menyedari anak bongsunya tiada di situ. Keluar dari bilik tidur tadi, terus dia mencari Wini. Terasa ingin menyentuh dan mendakap anaknya itu untuk memastikan Wini tidak turut ghaib sekali. Kehilangan Zak yang tiba-tiba bagaikan tamparan besar pada jiwa raganya.

"Abang hantar ke rumah jiran. Minta mereka tolong jaga jap," jelas MinHo. Dia memerlukan ruang untuk berfikir dan mencari jalan penyelesaian. Dia perlu mengatur langkah yang seterusnya untuk mencari Zak. Setiap saat yang berdetik amat berharga. Sebagai ketua pasukan Orang Hilang, dia tahu yang 24 jam pertama adalah genting. Semakin masa berlalu, semakin sukar untuk menjejaki Zak. Lebih-lebih lagi apabila dia tidak mempunyai apa-apa maklumat atau petunjuk. Dia amat memerlukan input isterinya.

"Cuba Nira cerita what happened. Bila Nira sedar dia hilang?" MinHo memulakan persoalannya. Nada suaranya mendatar tetapi serius, seperti sedang menyoal suspek. Sengaja dia berlagak serius. Dia khuatir jika dia lembut hati, menangis lagi isterinya nanti. Seorang beremosi dan histeria sudah mencukupi. Kalau mereka berdua turut melayan perasaan hati, situasi tidak akan berubah. Zak tetap perlu dicari.

"Maafkan Nira, bang. Sepatutnya Nira perhatikan dia. Tak benarkan Zak pergi seorang...." Pecahlah empangan air mata Munirah sekali lagi apabila nama Zak disebut. Dia mula menangis teresak-esak. Tangannya mengesat air mata yang mengalir deras.

MinHo segera ke sisi isterinya. Dipeluknya sambil mengurut belakang Munirah untuk menenangkannya. Lama mereka begitu. Apabila Munirah sudah bertenang semula, MinHo menghulurkan cawan berisi air kepadanya. Munirah meneguk sedikit sahaja sebelum meletakkan cawan itu semula.

"Okey. Kita mula dari kali terakhir sayang bersama Zak...."

Sebelum sempat MinHo menghabiskan ayatnya, Munirah meraung dengan tangisan semula. Setiap kali mendengar nama Zak disebut, rasa hiba dan bersalah berombak datang memenuhi seluruh jiwanya. Dia tidak dapat menahan emosinya. Air mata berderas turun semula seperti sungai. Dia mencapai tisu di atas meja.

Kali ini, MinHo kehilangan kesabarannya. Dia mencapai cawan di atas meja lalu melemparnya pada lantai. Kuat bunyi cawan yang terhempas lalu berkecai. Munirah terkejut lalu memeluk kakinya. Matanya tertutup sementara badannya bergetar. Takut.

"Macam mana saya nak cari Zak kalau Nira tak cooperate?" tengking MinHo. Seluruh rumah bergema dengan suaranya yang lantang dan marah. Munirah hanya menangis teresak-esak di atas sofa. MinHo berlalu meninggalkan isterinya seorang diri di ruang tamu.

Di dapur, MinHo menuang segelas air sejuk untuk dirinya. Sekali teguk dia menghabiskan air itu lantas menyejukkan hatinya. Terasa dirinya mampu untuk bertenang semula untuk seketika. Tidak dinafikan kegelisahan, ketakutan, kerisauan dan kemarahan – semua berbungkus menjadi satu raksasa yang sedang mencengkam seluruh jasadnya, mindanya, hatinya. Apa yang dialaminya amat sukar untuk dilafazkan. MinHo juga tidak ingin melafazkannya. Dia tidak ingin semua ini menjadi kenyataan.

#####

Dia mengambil keputusan untuk membawa Munirah ke tempat kejadian. Kawasan pasar itu sudah lenggang dan sunyi. Gerai-gerai sudah tiada lagi. Hanya beberapa orang pekerja majlis bandar yang sedang menyapu dan membersihkan tempat itu sebelum jalan dibuka semula untuk laluan kenderaan.

MinHo memberhentikan keretanya di hujung jalan, sehampir perimeter pasar yang boleh. Dia melihat Munirah di sebelahnya. Mata dan hidung isterinya merah kerana terlalu banyak menangis. MinHo menghulurkan tisu kepadanya. Mereka duduk dalam kereta seketika. Masing-masing melayan perasaan dan fikiran sendiri.

Sekurang-kurangnya selepas 48 jam, barulah MinHo boleh melaporkan kehilangan Zak. Sementara itu, wajarkah dia mendapatkan bantuan kakitangannya mencari Zak? Apakah anaknya betul-betul sudah hilang ataupun semua ini sekadar mimpi ngeri saja? MinHo mencubit pipi sendiri. Ternyata sakit. Semua ini bukan mimpi. Ia benar-benar sudah terjadi.

Sekarang baru MinHo memahami apa yang dialami oleh bekas ketuanya sebelum ini. Bekas ketuanya, Inspektor Rashid, juga pernah berada dalam situasi yang sama apabila anaknya tiba-tiba ghaib. Pada masa itu, Inspektor Rashid tenang sahaja dan masih bertugas seperti biasa walaupun anaknya masih belum ditemui. Malah, Inspektor Rashid menegah MinHo daripada menyiasat kes anaknya kerana tidak ingin diperkatakan dia tidak adil dalam mengendalikan kes-kes orang hilang. 'Bagaimanakah Inspektor Rashid boleh tenang begitu sahaja?' fikir MinHo. Terdetik di hati untuk menghubungi bekas ketuanya itu.

"Kami on the way pulang sebenarnya. Di situ...." Munirah mula membuka cerita. Dia menuding pada pokok kecil di tepi jalan tidak jauh dari situ. "Sampai situ, tiba-tiba dia kata kami lupa sesuatu."

"Lupa apa?"

"Telur. Your favourite, kata dia. Must-have," jawab Munirah dengan keluhan kecil. Terhenti jantung MinHo seketika mendengar kata-katanya. Ingat lagi Zak pada makanan kegemarannya.

"Dia minta Nira duduk rehat di bawah pokok tu. Dia akan mendapatkannya. Tak jauh pun gerai telur. Boleh Nira perhatikan dari situ. Jadi Nira benarkan dia pergi...." Perlahan sekali Munirah bercerita. Suaranya rendah. Dia tidak berani memandang MinHo. Dia tahu suaminya sedang mendengar setiap kata yang keluar dari bibirnya. Pandangan Munirah dilemparkan ke arah pokok yang diperkatakan. Kejadian pagi tadi bertayangan semula dalam mindanya.

"Kemudian?" tanya MinHo selepas isterinya lama berdiam.

"Nira tengok dia pilih telur. Lepas dibungkus, dia membayar," cerita Munirah dengan terperinci. Dia tahu setiap maklumat yang dikongsi adalah penting. Sudah berkali-kali MinHo memberitahunya di rumah tadi. Namun semakin dia cuba untuk mengingati kejadian itu dengan terperinci, semakin sukar dia menahan empangan air mata yang mendesak untuk membasahi pipinya.

"Selepas bayar?"

"Nira tak tengok dia lagi. Mak Jah menyapa Nira. Kami bercakap seketika. Bila Nira tengok semula, Zak sudah tiada." Kali ini, Munirah tidak dapat menahan lagi. Air mata mencurah laju. MinHo menghulurkan tisu kepadanya. Lama Munirah berdiam diri semula tetapi MinHo tidak mendesaknya. Mungkin sedang menghadam segala yang diceritakan oleh Munirah.

"Semua ni ... semua ni ... salah saya. Maafkan Nira, bang. Saya ... saya..." Munirah tidak dapat menghabiskan kata-katanya. MinHo menarik Munirah kepadanya lalu memeluk dia erat. Tiada apa-apa yang boleh dibuat lagi. Nasi sudah menjadi bubur. Yang penting sekarang, dia perlu menyiasat apa yang telah berlaku kepada Zak. 

CULIK1.0Where stories live. Discover now