CULIK1.0 - Bab 14

581 34 0
                                    

Sepanjang hari MinHo tiada di pejabatnya. Dia sibuk ke sana sini mencari petunjuk untuk menjejaki Zak ataupun Luqman. Nasib baik wanita tadi ingat pada nama rumah anak yatim di mana arwah suaminya membesar. MinHo mencari maklumat tempat itu menerusi pencarian Google. Mujurlah alamat ada tertera pada laman web mereka. Sekarang MinHo sedang duduk di pejabat warden yang menguruskan tempat itu.

"Luqman Hafiz. Itu nama penuhnya. Menurut rekod, dia telah meninggalkan rumah kami 13 tahun yang lalu," kata warden itu apabila dia menjumpai fail rekod Luqman dalam kabinetnya. Fail dibuka dan dibaca sekilas lalu.

"Siapa yang bawa dia pergi?"

"Tiada sesiapa. Dia keluar sendiri. Apabila mereka mencapai umur 21, kami tidak menjaga mereka lagi. Mereka semua digalakkan untuk keluar dan cuba memulakan kehidupan baru. Jika perlu, pekerja sosial akan membantu mereka mencari kerja dan tempat sewa. Yang selebihnya, mereka harus menguruskan hidup sendiri," jelas warden itu, "Ini adalah protokol standard untuk tempat kami."

"Adakah kamu mempunyai alamat terkininya?" tanya MinHo lagi.

Warden menyelak helaian dokumen di dalam fail Luqman.

"Tiada. Apabila dia meninggalkan tempat ini, dia tidak menghubungi kami lagi. Dan pekerja sosial kami juga tidak dapat menjejakinya untuk susulan. Kami tiada sebarang rekod sejak dia melangkah keluar dari sini," jelas warden itu. MinHo mengeluh.

"Bolehkah encik ceritakan sedikit tentang Luqman? Bagaimana orangnya? Perwatakannya?" MinHo mengharapkan Luqman itu orang yang baik. Mungkin dia tidak akan mencederakan anaknya.

"Minta maaf, detektif. Saya baru tiga tahun menjadi warden di sini. Saya tidak pernah berjumpa dengan Luqman," jelas warden itu. MinHo kecewa sekali lagi.

Sebelum beredar, MinHo meminta satu salinan fail Luqman Hafiz. Dalam kereta yang terparkir di depan rumah anak yatim itu, MinHo menyelak fail tersebut – 38 halaman tebalnya. Apa cerita dengan lelaki ini? MinHo membaca sekilas profilnya pada halaman pertama – maklumat asas seseorang. Kemudian dia membaca rumusan eksekutif yang bermula daripada halaman kedua:

Luqman Hafiz (gambar dilampirkan) ditemui dan diselamatkan pada umur 10 tahun. Tuan rumah yang menyewakan rumah kepada bapanya, Hafiz Latiff, menjumpai Luqman terkurung di dalam sebuah katil bayi luar biasa (gambar dilampirkan) di dalam bilik kecil di belakang rumah. Tuan rumah itu tidak tahu bahawa Hafiz menyimpan anaknya di situ kerana sejak isteri Hafiz meninggal dunia, dia tidak pernah nampak budak berumur tiga tahun itu lagi. Kata Hafiz, dia telah menghantar Luqman ke kampung untuk dibesarkan kerana dia tidak mampu bekerja dan menjaga anaknya sebagai bapa tunggal. Kebetulan pada masa itu, sudah seminggu Hafiz lewat membayar sewa. Jadi tuan rumah telah singgah ke rumah itu untuk mengutip sewa. Setibanya di situ, dia mendapati Hafiz telah mati di ruang tamu. Autopsi menunjukkan dia mati akibat serangan sakit jantung.

Polis mempercayai Luqman dikurung oleh bapanya sejak kematian ibunya. Apabila ditemui, Luqman kelihatan seperti orang liar – rambutnya panjang dan bersimpul, badannya kurus bertulang dan busuk, kulitnya cerah putih akibat kekurangan pendedahan kepada sinaran matahari, terdapat nanah-nanah pada kulit yang mula mengupas pada kaki dan tangannya, bibirnya retak dan kering. Di bawah katil bayi tersebut, terdapat sebuah lubang di mana Luqman membuang air besar dan kecil. Ujian pada luka badannya mengesahkan bahawa Luqman didera. Selepas beberapa sesi menyoal dan kaunseling, didapati besar kemungkinan Luqman membisu akibat trauma. Oleh kerana Luqman tidak mempunyai saudara mara yang lain dan neneknya yang seorang di kampung tidak mampu untuk menjaganya, dia ditempatkan di rumah anak yatim sehingga dia menjadi dewasa.

MinHo melihat beberapa gambar yang dilampirkan pada indeks fail Luqman. Muka Luqman pada umur 10 tahun kelihatan seperti budak liar – kusut dan kurus seperti watak Mowgli dalam cerita klasik 'The Jungle Book'. Gambar yang menunjukkan katil bayi Luqman pula memberi gambaran yang jelas tentang keadaan di mana Luqman membesar – sesuatu yang tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh bapa Luqman.

MinHo berasa simpati terhadap Luqman kerana terpaksa melalui semua itu sejak kecil lagi. Tentu sekali Luqman tidak akan mengapa-apakan anaknya kerana dia sendiri pernah melaluinya. Lainlah kalau semua ini telah menjadikan Luqman seorang yang jahat. Semakin dibaca fail Luqman, MinHo mempunyai suatu firasat yang tidak baik. Dia tahu dia perlu mencari anaknya dengan segera.

CULIK1.0Where stories live. Discover now