CULIK1.0 - Bab 18

625 29 8
                                    

Dari Taiping, MinHo terus memandu ke Temerloh di Pahang. Dia sampai ke situ sebelum subuh. Kebanyakan tempat masih gelap gelita. Kedai-kedai belum dibuka lagi. Di kedai mamak 24-jam, dia menunjukkan lakaran profil Luqman yang dibuat oleh pegawainya dan bertanyakan jika pemilik kedai itu pernah melihat lelaki itu. Pemilik kedai itu menggeleng.

Di sebelah mamak itu, terdapat sebuah hotel bajet. MinHo mengambil keputusan untuk berehat. Sudah tiga hari dia tidak tidur. Kepalanya sudah mula berdenyut sakit dan matanya berat. Dia memasang loceng telefon untuk tujuh pagi. Kemudian dia tidur mati.

Deringan telefon yang kuat menyebabkan MinHo tersentak dari tidurnya. Buat seketika, dia lupa di mana dirinya berada. Tangannya mencapai telefon di meja kecil bersebelahan katil. Dia menjawab tanpa melihat skrin.

"Pagi, tuan. Saya dah dapat alamat yang tuan minta," kata Detektif Rina di hujung talian. Dia mendapat SMS dari MinHo meminta dia mendapatkan alamat tanah tuntutan Luqman menerusi pegawai atau peguam yang menguruskan kes itu. MinHo mencatat alamat yang diberi sebelum mematikan talian.

Tiga puluh minit kemudian, alamat dimasukkan ke dalam GPS dan MinHo memandu mengikut arahan yang tertera. Dua biji telur rebus masak penuh dan sebungkus teh ais menjadi teman.

GPS membawa MinHo ke kawasan ladang di pinggir Temerloh. Jalannya lurus dan panjang, dikelilingi rumput tinggi dan tanaman ladang. Selang beberapa kilometer, terdapat rumah yang didiami pemilik ladang ataupun pekerja-pekerjanya. MinHo mula sangsi jika alamat yang diberi adalah tepat.

"Anda telah sampai ke destinasi anda," kata GPS itu. Namun yang ada hanya tanah rata dan semak samun. MinHo mengambil keputusan untuk terus memandu. Lima minit kemudian, dia tiba di pekarangan sebuah rumah. Kelihatan seorang wanita sedang menyidai baju.

MinHo mematikan enjin kereta dan turun dari kereta. Wanita itu berlari masuk ke rumah apabila ternampak dia menghampiri. Seketika kemudian, wanita itu keluar bersama seorang lelaki.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumassalam. Cari siapa?" tanya lelaki itu.

"Saya cari Luqman Hafiz. Adakah dia di sini?" tanya MinHo. Daripada lakaran profil yang ada, dia menduga yang lelaki di depannya adalah orang yang dicari.

"Ya, saya Luqman."

"Saya Detektif MinHo. Ada beberapa perkara yang ingin saya bertanya. Bolehkah saya masuk?" MinHo menjelaskan tujuannya. Kelihatan Luqman teragak-agak sebentar.

"Hanya beberapa soalan saja. Takkan lama," MinHo cuba untuk menyakinkannya. Wanita tadi menarik tangan Luqman dan membuat isyarat dengan tangan. Terus MinHo tahu yang dia adalah Nelly. Bekas warden turut menceritakan serba sedikit tentang Nelly semalam.

Luqman mempelawa MinHo ke dalam rumahnya dan mempersilanya duduk. Nelly menghilang ke dapur untuk menyediakan teh. Luqman kelihatan tidak selesa dengan kehadiran MinHo. 'Mungkin mereka tidak mendapat banyak pelawat di luar sini,' fikir MinHo pada dirinya.

"Adakah kamu kenal seorang budak bernama Zak?"

Luqman menggeleng. MinHo tidak memberitahu yang Zak adalah anaknya.

"Budak yang sering lepak bersama kamu di pasar SS2. Ingat?"

Luqman tidak menjawab. MinHo mengeluarkan gambar Zak dari dompetnya dan menunjukkannya kepada Luqman. Cepat-cepat Luqman berpaling ke belakang untuk melihat jika isterinya ada. Nelly masih berada di dapur. Luqman segera menolak gambar itu kepada MinHo.

"Tak kenal?"

"Dia selalu beli daging daripada pelanggan saya. Tidak tahu pula saya yang namanya Zak," bohong Luqman. Dia kelihatan gelisah sedikit sekarang.

"Zak sudah hilang. Kali terakhir dijumpai di pasar. Bersama kamu," jelas MinHo sambil memerhatikan setiap reaksi Luqman. Air mukanya tidak berubah tetapi lelaki itu tidak berani bertentang mata dengannya. 'Adakah kerana dia menyembunyikan sesuatu ataupun itu memang perwatakannya?' Bekas warden ada memberitahu yang Luqman tidak suka bertentang mata dengan orang lain.

Apabila Luqman menyedari yang detektif itu menunggu sesuatu darinya, dia bertanya, "Maksud detektif?"

"Bolehkah kamu ceritakan apa yang berlaku apabila kamu berjumpa dengan Zak pada Sabtu lalu?"

"Dia cari saya untuk mengucapkan terima kasih kerana sediakan daging stik tebal dan besar untuknya. Katanya, daging itu khas untuk bapanya," kata Luqman. Setiap kata itu seperti panah halus menusuk hati MinHo. Anaknya begitu menyayanginya.

Saat itu, Nelly muncul dari dapur dengan seteko teh dan dua cawan. Ini memberi peluang kepada MinHo untuk mengawal emosinya. Dia perlu profesional. Nelly menuang teh untuk kedua-dua lelaki itu sebelum meminta diri dan menghilang ke dalam dapur semula.

"Selepas tu?"

"Kami berbual seketika. Kemudian dia pergi mencari mamanya," jawab Luqman. MinHo tidak dapat menentukan samada dia berbohong ke tidak.

"Apa yang kamu berdua bualkan?"

"Dia memberitahu kejutan yang disediakan untuk bapanya. Kalau tak silap saya, hari tu hari jadi bapanya," kata Luqman sambil mencapai cawannya. Dia menyisip teh panas itu dengan perlahan. Teh panas itu menenangkan dirinya.

"Itu saja? Adakah kamu melihat sehingga dia menemui mamanya?"

"Tak, detektif. Saya sambung kerja memunggah daging dari lori ke gerai pelanggan saya." Luqman meletakkan cawannya pada meja semula. Tangannya didepakan sebagai isyarat menjemput MinHo minum kerana detektif itu tidak menyentuh cawannya dari tadi.

MinHo mengangkat cawan itu dan minum dengan perlahan. Sambil itu, matanya melihat sekeliling ruang tamu itu. Seperti ruang tamu biasa, terdapat set televisyen, telefon, sofa dan meja kecil. Di sudut kecil ruang tamu itu, terdapat sebuah rak buku yang penuh dengan pelbagai jenis buku – novel, majalah, buku kanak-kanak. Namun tiada gambar keluarga ataupun barang yang menceritakan kehidupan pemiliknya. 'Sederhananya hidup mereka,' fikir MinHo.

"Adakah kamu mempunyai anak?" tanya MinHo tiba-tiba. Luqman tersentak seketika, kemudian dia menggeleng. Beberapa soalan ditanya lagi tetapi Luqman tidak banyak membantu. Dia bertegas yang dia tidak begitu mengenali Zak dan tidak tahu ke mana Zak pergi setelah bersurai dengannya. MinHo tidak mengesyaki apa-apa lalu dia bangun untuk meminta diri.

Dalam kereta, MinHo tidak segera memandu pergi. Dia bersandar pada tempat duduknya dan mengeluh panjang. Luqman merupakan satu-satunya petunjuk untuk mencari anaknya. Walaupun Luqman adalah orang terakhir berjumpa dengan Zak, dia tidak tahu di mana Zak berada. Itu menyebabkan MinHo menjadi buntu. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan seterusnya.

Selepas membalas beberapa SMS yang diterima dari pegawainya, MinHo memusingkan keretanya di perkarangan rumah untuk keluar dari situ. Nelly yang sedang menyiram pokok bunga melambai kepadanya. MinHo membalas dengan senyuman meleret lalu kakinya menekan pedal minyak.

Kereta bergerak ke depan dengan perlahan. MinHo melihat pada cermin sisi keretanya. Kelihatan Nelly masih sedang melihatnya. Di belakang Nelly, pakaian yang disidai dibuai angin. Sehelai baju putih dengan lukisan cartoon Psy Gangnam digantung di hujung tali sidai. 'Ikut fesyen juga orang kampung ni,' fikir MinHo lalu memecut pergi.

CULIK1.0Onde histórias criam vida. Descubra agora