CULIK1.0 - Bab 15

589 31 6
                                    

Sesudah menghantar Zak ke bilik baharunya, Luqman kembali ke bangsal untuk menyelesaikan tugasan terakhir untuk malam itu. Bulan tidak kelihatan kerana langit dipenuhi dengan awan gebu. Luqman berharap hujan tidak akan melawat kerana ia akan menyusahkan kerjanya nanti.

Di bangsal, Luqman mencapai cangkul dan mengangkat baldi besar berisi tulang budak sebelum ini. Kemudian dia mengunci semula bangsal itu sebelum menuju ke arah timur dengan baldi dan cangkul. Lama dia menerokai semak tebal di belakang bangsalnya. Apabila dia tiba di kawasan berdekatan sempadan tanahnya, dia ternampak bunga raya yang ditanamnya sebelum ini sudah tumbuh besar tinggi dengan bunga merah yang lebat. Dia tersenyum.

Baldi diletak di tepi lalu Luqman mula menggali tanah bersebelahan dengan pokok bunga raya yang paling hujung sekali. Sambil menggali, dia bernyanyi kecil: Bunga raya bunga yang indah, di mana ditanam hidupnya mudah. La laa la laaa.

Apabila lubang itu menjadi sedalam tiga kaki lebih, Luqman berhenti menggali. Dia mencapai baldi tadi dan mencangkung di depan lubang itu. Satu per satu tulang budak itu dimasukkan ke dalam lubang itu dan disusun dengan teratur seperti susunan jambangan bunga. Setelah selesai, dia mula menimbusnya dengan tanah semula.

Kilat menyabung di langit menandakan hujan bakal tiba. Luqman mempercepatkan kerjanya. Dia berharap dapat pulang ke rumahnya sebelum hujan turun. Apabila lubang semakin cetek sehingga setengah kaki dari tanah, Luqman mengeluarkan sebungkus biji benih dari saku seluarnya. Ditaburkan kesemua biji benih itu ke dalam lubang itu. Kemudian dia menyambung kerja menimbus sehingga tanah itu rata seperti yang lain.

Puas dengan hasil kerjanya, Luqman mengangkat cangkul pada bahunya dan memegang baldi dengan tangan kirinya. Dia melihat pada ketiga-tiga pokok bunga raya yang ditanam sebelum ini. Satu untuk bayi yang berumur 8 bulan, satu lagi untuk anak kecil yang berumur 4 tahun, dan yang terakhir untuk budak yang berumur 7 tahun. Ditambah dengan benih baru yang ditanam tadi, tangannya telah meragut empat nyawa yang tidak berdosa. Rasa bersalah langsung tidak wujud dalam hatinya. Baginya, semua ini perlu untuk memastikan keluarganya sentiasa lengkap.

Hujan mulai turun renyai-renyai. Luqman menpercepatkan langkahnya. Dia ingin pulang ke rumah dengan segera. Tiba-tiba dia merindukan isterinya. Dia ingin memeluk Nelly dan menciumnya supaya Nelly tahu yang dia mencintainya; yang dia akan melakukan apa saja untuk membuatnya gembira.

CULIK1.0Where stories live. Discover now