CULIK1.0 - Bab 19

591 30 1
                                    

Walaupun hari Selasa, Luqman tidak ke Kuala Lumpur hari ini. Kedatangan detektif pagi tadi mengejutkannya lantas dia menelefon bosnya meminta cuti. Bosnya terdiam seketika, terkejut dengan permintaanya kerana beberapa tahun Luqman bekerja di situ, dia tidak pernah meminta cuti sekalipun. Rutin mingguan ke pasar pagi SS2 tidak perlu dirisaukannya selama ini kerana Luqman pasti akan melaksanakan kerjanya. Dua ekor lembu diambil sehari sebelum hantaran dan disembelih di bangsal Luqman, kemudiannya dibeku dan dihantar ke Kuala Lumpur. Semuanya dilakukan oleh Luqman dengan sempurna. Sehingga hari ini.

Pekerja lain dihantar ke bangsal Luqman supaya bekalan daging yang disediakan boleh dihantar ke bandar seperti biasa. Luqman membantu memikul bungkusan daging yang dikerjakannya malam tadi dari peti beku ke dalam lori beku itu. Selepas setengah jam, semuanya selesai lalu teman sekerjanya memandu meninggalkan perkarangan rumah. Luqman melihat lori putih itu sehingga menghilang dari pandangannya. Satu-satunya jalan keluar dari rumahnya ditenung lama sepertimana dia melihat kereta detektif tadi beredar pergi. 'Bagaimana polis boleh jejak aku kali ni?'

Luqman merasakan dirinya perlu berada di rumah berdekatan dengan keluarganya sehingga dia pasti detektif itu tidak akan menyinggah lagi. Menerusi lirikan mata detektif tadi, Luqman rasa ada kemungkinan dia sangsi kepadanya. Kalau polis datang ketika dia tiada di rumah, entah apa yang akan berlaku. Dia pasti Nelly seorang diri tidak dapat mempertahankan keluarga mereka. Luqman perlu memikirkan semua ini dengan lebih teliti.

Selepas berpesan dengan Nelly untuk memanggilnya jika ada pelawat mengejut yang datang lagi, Luqman menghilang ke dalam bangsalnya semula. Pintu bangsal dibuka luas kali ini sementara dia menyembelih monyet yang berjaya diperangkapnya sebelum ini. Daging monyet tak setinggi permintaannya berbanding otak monyet yang selalu digunakan untuk masakan sup tradisi, kononnya suatu hidangan berkhasiat untuk mereka yang berpenyakit ganjil.

Biasanya Luqman akan lebih berhati-hati ketika memisahkan otak monyet daripada kepala haiwan itu. Tapi hari ini, tumpuannya terganggu. Otak yang lembut merah itu tergelincir daripada tangannya lalu berkecai di atas lantai seperti tauhu hancur. Dia berdengus marah dengan diri sendiri. Kakinya menguis dan menyepak bisa-bisa otak itu ke tepi. Dia cuba untuk menumpukan perhatian kepada bahagian lain monyet itu pula. Pisau ditajamkan untuk memudahkan kerja menyembelih.

'Detektif tadi, macam mana dia jumpa aku ya?' Berulang kali Luqman memainkan senario tadi dalam mindanya mencari petunjuk sebanyak mana detektif itu tahu mengenai penculikan yang dilakukannya. Dia cukup berhati-hati selama ini. Nama penuh tidak pernah digunakan. Tempat tinggal dan semua tu tidak pernah diungkitnya kepada sesiapa. Ketika di Kuala Lumpur mahupun di Temerloh, dia tidak bercerita dengan sesiapa tentang perihal diri mahupun keluarganya. Jadi bagaimana detektif tadi boleh tahu nama penuhnya?

Cis! Jauh fikirannya melayang sehingga Luqman cuai lagi. Luqman terpotong sedikit hujung ibu jarinya lalu darah mengalir keluar dengan laju. Dia terus menghisap jarinya untuk menghentikan pendarahan. Pisau dipacak pada meja lalu dia mengetap bibir menahan sakit. Tiba-tiba Nelly berlari masuk mendapatkannya. Luqman panik. Dia beranggapan polis datang mencari lagi.

Nelly mencapai peti kecemasan di atas kabinet lalu mendekati Luqman. Isyarat tangan Luqman yang bertanyakan 'apa hal' langsung tidak dipedulikannya. Nelly mencapai tangan Luqman dan melihat luka dalam pada jari itu. Darah masih sedang mengalir tak henti-henti. Nelly mula merawat luka itu walaupun Luqman memprotes. Akhirnya Luqman membiarkannya saja.

Jari yang luka dibalut kemas sebelum Nelly tersenyum puas. Sesudah itu, Nelly mengembalikan peti kecemasan di atas kabinet. Luqman mendapatkannya dan membuat isterinya menghadap dia. Dagu Nelly ditinggikan supaya Luqman dapat merenung anak mata Nelly bertanyakan mengapa isterinya mencari dia di bangsal. Nelly sekadar mengangkat bahu.

Luqman membuat isyarat tangan bertanyakannya lagi. Nelly mengeluarkan sekeping kertas dari saku seluar dan menghulurkannya kepada Luqman.

Kunyit dah habis. Abang dapatkan hari ni, boleh? Nak masakkan ayam goreng untuk Maikel.

Tulisan Nelly kursif dan tersusun seperti selalu. Luqman memandang Nelly semula. Renungan mata isterinya bersinar dengan harapan. Luqman melipat nota itu dan membuat isyarat. Esok abang dapatkannya.

Nelly menarik lengan kanan Luqman sambil membuat muka sedih. Luqman mengeluh lemah. Dia tahu Nelly sudah lama tidak memasak ayam goreng kunyit untuk anak kesayangannya kerana Maikel sebelum ni terlalu sakit dan lemah untuk makan.

Luqman menyerah. Dia berjanji untuk mendapatkannya seketika nanti. Lagipun, dia perlu ke kedai untuk membeli beberapa peralatan lain. Rancangan untuk membina tingkap bumbung pada bilik Maikel diketepikan dahulu. Dia merancang untuk membina selapis pintu gelongsor di luar bilik Maikel supaya pelawat tidak boleh melihat tiga buah mangga yang mengunci pintu itu dari luar. Kalau boleh, dia nak buat pintu gelongsor itu sewarna dengan dinding supaya pada pandangan pertama, tiada yang terfikir sebuah pintu tersembunyi disebaliknya. Langkah berjaga-jaga ini penting, terutamanya jika polis datang mencari lagi.

CULIK1.0Where stories live. Discover now