CULIK1.0 - Bab 10

657 30 0
                                    

Matahari sudah hampir tegak di kepala. Beberapa jam telah berlalu tetapi pencarian MinHo masih buntu. Menurut pangkalan data yang tersedia dalam sistem Polis Diraja Malaysia, terdapat ribuan lelaki bernama Luqman, Lukman atau Lokman di Malaysia. Berdasarkan maklumat yang dikumpul daripada penjaja-penjaja tadi, MinHo memasukkan faktor-faktor lain untuk menuraskan pencarian supaya lebih terperinci – lelaki, berasal atau menetap di negeri Pahang, berumur antara 30-40 tahun. Kemudian dia menekan butang 'mencari' dengan tetikusnya. Ikon muat turun berputar sementara aplikasi mencari maklumat yang dikehendaki.

MinHo menyandar pada kerusinya. Tangannya mencapai secawan kopi yang telah dibiarkan di atas meja sejak awal pagi tadi. Kopi yang hitam pekat dihabiskannya dalam seteguk. Tiba-tiba kedengaran perutnya berkeroncong pula. MinHo belum makan sejak pagi semalam. Walaupun dia memujuk isterinya untuk makan, dia sendiri tiada selera untuk menelan apa-apa. Kek hari jadi yang disediakan untuknya masih disimpan di dalam peti sejuk. Pilu hatinya memikirkan tragedi yang menimpa keluarganya.

"Telur. Your favourite, kata dia. Must-have."

"Dia kata nak beli daging untuk buat stik. Khas untuk papanya."

"Zak pesan telur paling besar dan segar. Katanya nak goreng telur yang paling sempurna untuk papanya."

Berulang kali kata-kata mereka bermain dalam kotak fikirannya membuatkan MinHo bertambah rindu pada Zak. Di manakah anak sulungnya sekarang?

Skrin komputer menunjukkan senarai nama yang sepadan dengan kunci pencarian yang dimasukkan tadi. Terdapat lebih daripada 300 nama yang tertera berserta biodata dan gambar profil. MinHo meneliti profil yang pertama, kemudian profil yang kedua dan seterusnya. Hampeh! Tanpa maklumat yang jitu, dia tidak tahu siapa yang sedang dicarinya.

"Kamu ada nombor telefon dia?" tanya MinHo kepada penjual daging sebelum meninggalkan pasar pagi tadi.

"Takde. Biasanya bos saya yang berhubung ngan Luqman. Tapi sejak bos saya meninggal, saya yang berurusan dengannya. Dia datang setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu, dan selalunya tepat pada masa. Rutin yang sama selama tiga tahun, tidak pernah lewat atau tak datang. Jadi tiada perlu saya menghubunginya. Tak terlintas di fikiran untuk menanyakan nombor telefonnya," jelas penjual daging itu panjang lebar. Walaupun dah bertahun berurusan, dia tidak mengenali Luqman secara peribadi kerana lelaki itu pendiam orangnya.

Setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu. Hari ni baru hari Ahad. Lama lagi kalau nak tunggu kemunculan Luqman untuk bertanyakan tentang Zak. MinHo memikirkan apa lagi yang boleh dilakukan untuk menjejaki anaknya yang sudah hilang lebih daripada 24 jam. Biasanya, seseorang itu hanya boleh dilaporkan hilang selepas 48 jam. Hanya selepas laporan dibuat, barulah Pasukan OH (Orang Hilang) boleh mula bertindak. Prosedur ini mesti diikuti setiap masa. Secara rasmi, MinHo perlu menunggu 20 jam lagi sebelum dia boleh melaporkan kehilangan Zak. Tetapi ini tidak menghalangnya daripada menyiasat secara peribadi terlebih dahulu.

MinHo mencapai lakaran kasar yang dibuatnya berdasarkan deskripsi yang diberi oleh penjaja-penjaja pagi tadi. Lukisannya tidak sehalus pakar ilustrasi tetapi adalah memadai buat setakat ini. Dia menampalkan lakaran itu pada sisi skrin komputer lalu dia mula mencari.

Gambar profil pertama yang muncul pada skrin diteliti dan dibandingkan dengan lakaran itu. Bukan dia, Luqman tidak bermisai. Gambar profil kedua pula ditelitinya. Bukan dia, Luqman tidak botak. Dia meneruskan dengan gambar profil ketiga pula. Ada kemungkinan gambar profil yang ditunjukkan tidak dikemaskini. Yang tidak bermisai mungkin menyimpan janggut sekarang. Yang berambut mungkin bertukar stail rambut baru.

Walaupun MinHo tahu cara ini tidak akan membuahkan hasil tetapi diteruskannya juga. Daripada dirinya berasa tidak berdaya untuk melakukan apa-apa, baik dia membuat sesuatu untuk menghalang mindanya daripada melakar pelbagai senario buruk yang mungkin berlaku kepada Zak.

CULIK1.0Where stories live. Discover now