Bahagian 6: Mengandung dan Kejutan

2.5K 72 206
                                    

Langkah Ferdaus terasa berat. Dia menuju ke bilik mayat untuk bertemu Doktor Henry sambil ditemani oleh Fendi dan Aqilah. Lorong ke bilik mayat itu terasa sunyi dan sedikit seram. Mereka bertiga diam tanpa suara mungkin kerana masih terkejut dengan berita yang disampaikan.

'Chin Fei mengandung? Mungkin sebab itulah dia bunuh diri. Malu dan takut' kata hati Ferdaus.

Ini menyebabkan dia semakin yakin untuk menutup kes ini dalam kategori bunuh diri. Kalau benar apa yang dikatakan oleh Doktor Henry, ini boleh jadi alasan kukuh untuk menyakinkan kakak mangsa.

"Usia kandungan mangsa masih awal. Baru mencapai 2 minggu" jelas Doktor Henry.

Fendi dan Aqilah berdiri disebelah mayat mangsa dan mendengar penjelasan Doktor Henry dengan penuh teliti. Ferdaus pula berdiri di satu sudut dalam bilik mayat itu sambil memeluk tubuh,

Dalam otaknya bermain segala macam fikiran tentang bagaimana hendak menyampaikan berita penting ini pada kakak mangsa. Atau mungkin Fan Fan telah lama tahu tentang keadaan mendiang adiknya. Semakin dia berfikir semakin dia buntu. Doktor Henry, Fendi dan Aqilah berbincang tentang kes itu dan Ferdaus hanya memerhati mereka dari sudut itu.

Tiada satu ayat pun yang ditangkap oleh Ferdaus dari percakapan mereka. Ibarat mereka membuka mulut namun tanpa suara. Fikiran Ferdaus melayang membayangkan apa reaksi Fan Fan sekiranya dia tidak tahu adiknya mengandung dan seterusnya membunuh diri.

Sekembalinya mereka ke meja masing-masing. Ferdaus termenung melihat telefon bimbitnya. Adakah dia perlu menghubungi Fan Fan telebih dahulu atau berita ini perlu disampaikan secara berdepan. Sungguh dia tidak mahu terlibat dengan sebarang drama. Dia seboleh-bolehnya mahu mengelak dari menyampaikan berita buruk yang diikuti tangisan dan ratapan.

"Ferdaus, saya nak minta maaf sebab tidak dapat ikut ke rumah keluarga mangsa sebab saya ada mesyuarat sebentar lagi" kata Fendi sambil buat muka kasihan seperti meminta simpati.

"Tak apa, kalau macam tu saya pergi dengan Aqilah saja" balas Ferdaus.

"Ermm sebenarnya Aqilah pun kena hadir dalam mesyuarat tu" sambung Fendi lagi.

Kali ini muka Fendi kelihatan serba salah. Ferdaus merasa geli hati melihat raut wajah Fendi namun dia menahan diri dari ketawa.

"Jangan risau, kamu selesaikan dulu mesyuarat tu dan kalau sempat kamu datang la" balas Ferdaus.

Mendengar jawapan Ferdaus membuatkan Fendi lega dan raut wajahnya berubah. Dia kelihatan sedikit tenang.

***

Pintu rumah diketuk beberapa kali.

"Salam Sejahtera, Fan Fan" kata Ferdaus disebalik pintu rumah Fan Fan.

Pintu dibuka perlahan oleh Fan Fan yang memakai baju mengandung berwarna krim cair. Mukanya sedikit terkejut dan takut tapi dia cuba menyelindungnya dengan senyuman pahit. Ferdaus kehairanan.

Fan Fan menjemputnya masuk dan Ferdaus terus melihat susuk tubuh yang asing duduk di ruang tamu rumah mereka. Seorang lelaki India yang kurus berumur lingkungan lewat 20an terkejut melihat kehadiran Ferdaus yang lengkap berpakaian polis.

Ferdaus menghulurkan tangan untuk berjabat dan segera di sambut lelaki itu. Dia senyum dalam ketakutan membuatkan Ferdaus semakin keliru.

'Siapa pula lelaki ni? Jiran agaknya' kata hati Ferdaus.

Fan Fan menjemput Ferdaus duduk dan dia terus ke dapur untuk menyediakan air namun Ferdaus menghalang.

"Tak perlu susah-susah Fan Fan sebab saya disini hanya sebentar" kata Ferdaus.

Di hadapan Ferdaus terdapat meja dan di atasnya beberapa potong buah epal dan sebilah pisau untuk memotongnya.

Pada masa sama, lelaki tersebut dengan pantas bangun dan meminta diri untuk pulang dalam keadaan tergesa-gesa. Pintu ditutup selepas lelaki itu keluar dan suasana sunyi seketika. Terasa Janggal.

"Betul ni tuan tak mahu air?" kata Fan Fan memecah kesunyian.

Ferdaus hanya mengeleng lemah sambil tersenyum.

"Boleh saya tahu siapa lelaki tadi? Kenapa di nampak takut?" soal Ferdaus.

"Itu bekas teman lelaki saya" balas Fan Fan.

Ferdaus mengerti. Dia tidak mahu terlibat dengan apa jua hubungan antara mereka.

"Baiklah, boleh awak tunjukkan bukti yang awak maksudkan tempoh hari?" Ferdaus bersuara.

"Boleh, sekejap ye tuan" balas Fan Fan sambil menuju ke dalam sebuah bilik.

Ferdaus menunggu dengan penuh debaran sebelum Fan Fan keluar dengan beberapa keping dokumen ditanganya.

"Tuan tengok ni, ini lah bukti yang saya maksudkan" kata Fan Fan.

Ferdaus meneliti dokumen-dokumen itu dan dia semakin hairan. Surat tawaran menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh perempuan dan keputusan peperiksaan Chin Fei berada ditangan Ferdaus.

"Apa maksud cik ni? Ini cuma surat dan keputusan saja. Saya kurang faham." balas Ferdaus.

"Inilah buktinya tuan, cuba tuan fikir. Kalau adik saya pandai dan dapat tawaran untuk sambung belajar disekolah macam ni kenapa dia dibunuh diri?" jelas Fan Fan.

"Tapi ini bukan bukti kukuh cik" jelas Ferdaus pula.

"Bagi saya tak masuk akal kalau adik saya bunuh diri sedangkan masa depan dia cerah" jelas Fan Fan lagi dan kali ini dia kelihatan bersungguh-sungguh.

Ferdaus terdiam.Nampaknya Fan Fan belum tahu akan keadaan adiknya yang sebenar.

Dengan berat hati dia berkata "Cik, ada perkara yang perlu saya beritahu cik tentang Chin Fei".

Fan Fan fokus pada Ferdaus dengan penuh tanda tanya. Ferdaus menyerahkan satu dokumen pada Fan Fan dan membiarkan dia meneliti kandungan dokumen itu dahulu.

"Apa maknanya ni tuan" kata Fan Fan sedikit sebak. Matanya berkaca.

"Adik cik disahkan mengandung sebelum dia meninggal" jawab Ferdaus dengan sekali nafas.

Kata-kata Ferdaus ibarat halilintar di telinga Fan Fan. Nafasnya terhenti, matanya membulat dan badannya kaku.

"Ini semua tipu, tak mungkin!" kata Fan Fan sambil air matanya mengalir.

Deras dan pedih rasanya terkena pipi.

"Cik kena bawa bertenang, tak baik untuk kandungan cik" kata Ferdaus lembut.

Dia cuba menenangkan wanita yang membusung itu. Perkara terakhir yang dia mahu adalah wanita itu terlalu emosi hingga menjejaskan kesihatannya.

"Oh..sekarang saya faham. Disebabkan adik saya mengandung, tuan pun anggap dia bunuh diri sebab takut dan malu la ye?" sindir Fan Fan.

Mukanya merah menahan marah dan air matanya tidak berhenti mengalir. Ferdaus merasa serba salah namun berita ini perlu disampaikan untuk menutup kes ini.

Ferdaus tunduk ke lantai sambil berkata "saya minta maaf cik, saya tahu.."

Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Fan Fan segera berdiri dan mencapai pisau di atas meja tadi.

Matanya merah dan penuh emosi. Ferdaus tergamam melihat tindakan Fan Fan.

Bersambung..

MR. UNIFORM : JAMBATAN PULAU PINANGWhere stories live. Discover now