BAB 3

30.4K 86 0
                                    

"Assalamualaikum." Kedengaran suara orang memberi salam di luar rumah.

Habsah tidak terus menjawab salam. Dia sedang memanaskan lauk. Api dapur diperlahankan sebelum mengundurkan kerusi roda. Tingkap dapur dijengah sebelum pintu dapur dibuka.

"Eh, Tini. Awalnya balik." Habsah agak terperanjat. Dia masih menjenguk di tingkap walaupun sudah tahu gerangan yang memberi salam tadi.

"Tini tak sihat ke? Kenapa balik awal?" Habsah bertanya lagi.

"Tini sihat. Saja nak balik awal. Malas nak buat overtime hari ni."

"Lah, habis tu dah makan ke belum ni?" Habsah masih menyoal.

"Bukalah pintu ni dulu mak. Tak nak bagi Tini masuk ke?"

"Eh, terlupa pulak. Kejap."

Habsah menarik selak pintu. Wajah Kartini kelihatan lebih jelas di pandangan Habsah. Senyum Kartini tidak seperti hari-hari biasa. Belum sempat Habsah nak bertanya, Kartini membongkok dan terus memeluk tubuh Habsah.

"Eh, kenapa ni?" Habsah tergamam. Makin terperanjat apabila kedua-dua pipinya dicium. Kemudian tubuhnya dipeluk lebih erat.

"Kenapa ni Tini? Dapat naik pangkat ke?" Habsah cuba meneka. Tak pernah pula dia melihat seceria ini.

"Mak, tadi Abang Zuki melamar Tini."

Terlopong mulut Habsah. Fahamlah dia kenapa Kartini balik awal hari ini. Ada berita gembira yang ingin dikongsikan.

"Alhamdulillah. Kau terima tak?"

Kartini melepaskan pelukan seraya mengangguk. Habsah memegang kedua-dua belah pipi Kartini. Hati ibu mana yang tidak gembira mendengar perkhabaran ini. Namun sedikit demi sedikit senyumnya hilang. Wajah risau terpamer di wajah wanita berusia lewat 40 an itu.

"Dia tahu tak tentang ayah kau?"

Soalan Habsah menyebabkan senyum ceria di wajah Kartini juga pudar serta-merta.

"Dia tak tahu mak. Kalau dia tahu, nak lagi ke dia dengan Tini?"

Habsah dan Kartini berbalas tenungan. Keceriaan yang singgah hanya seketika. Alangkah bagusnya kalau manusia bernama Arsyad itu tak pernah wujud di dalam hidup mereka. Lelaki yang diharapkan untuk menjadi pemimpin keluarga telah memusnahkan hidup anak kandungnya sendiri tanpa rasa belas.

"Kalau dia betul-betul ikhlas, baik atau buruk pun dia akan terima kau Tini. Kau kena beritahu dia. Susah nanti kalau dia tahu dari mulut orang lain."

"Yang tahu pun cuma mak dan ayah. Tak mungkin ayah nak buka pekung sendiri. Mak sanggup ke buka aib Tini mak?" Bergetar suara Kartini menyoal.

Basah pipi Habsah mendengar soalan Kartini. Bahu Kartini diraih lalu dipeluk seerat mungkin. Belakang Kartini diusap seakan sedang mendodoikan anak sulungnya itu. Mana mungkin dia membuka cela yang terpalit di dalam keluarganya. Kartini adalah mangsa keadaan. Keadaan Habsah yang telah memaksa Kartini jadi begini.

"Tolong Tini mak. Selain mak dan Mila, Tini cuma ada Marzuki. Dialah satu-satunya lelaki yang buat Tini rasa selamat. Jangan bocorkan rahsia ni mak. Tolong..." Kartini merintih sayu.

Untuk kesekian kalinya gugur lagi airmata dua beranak itu. Hanya tangisan dan keluh-kesah di antara mereka sahaja yang mampu menghilang rasa sebal terhadap Arsyad. Mereka belum ada kekuatan untuk menumpaskan lelaki durjana itu. Arsyad rasa sangat berkuasa kerana segalanya masih di bawah tanggungannya. Itu yang Habsah kesalkan. Andainya dia tidak lumpuh dan mampu mengerah tulang empat kerat, pasti nasib Kartini akan terbela.

"Mak ada masak apa-apa ke tadi mak?"

Pelukan terlerai. Masing-masing terhidu-hidu sambil mengawasi keadaan sekeliling.

SERAKAHWhere stories live. Discover now