BAB 5

22.6K 67 3
                                    


"Pukul berapa budak Zuki tu nak datang?"

"Tini kata lepas Zuhur nanti."

"Habis tu nak jamu budak tu dengan biskut kering aje ke?"

Arsyad dan Habsah melihat Kartini yang sedang mencedukkan bihun goreng untuk Karmila. Dari tadi dia hanya menelinga perbualan suami isteri itu. Sejak pertengkaran malam tadi, Kartini masih melancarkan perang dingin dengan Arsyad. Hanya itu sahaja cara yang dia mampu lakukan untuk menunjukkan tanda protes terhadap Arsyad. Nak melawan memang tak tertanggung dengan kudrat Kartini.

"Nak beli apa ni?" Arsyad sudah selesai mengosongkan pinggan. Suaranya sudah tidak sekeras tadi. Mungkin kerana Karmila berada di situ. Watak bapa yang baik harus dipamerkan supaya Karmila tidak syak yang bukan-bukan.

"Kita bagi dia makan nasilah. Kita masak gulai daging. Nak tak Tini?" Habsah cuba menceriakan suasana. Dia mengerti Kartini masih menjeruk rasa. Dia perlu jadi orang tengah atau angin Arsyad akan berubah pula nanti.

"Tak kesahlah nak masak apa-apa pun. Ayah belilah ajelah barang-barangnya." Akhirnya Kartini bersuara.

Kartini juga tidak mahu bergaduh dengan Arsyad. Susahlah kalau Arsyad menolak pinangan Marzuki nanti. Hanya Marzuki sajalah tempat Kartini bergantung harap. Setelah apa yang berlaku semalam dia perlu lebih berwaspada. Ketidakupayaan Habsah menyukarkan Kartini untuk bertindak. Namun Kartini yakin Marzuki pasti akan melindungi mereka bertiga nanti. Mereka hanya perlukan kemunculan seorang penyelamat. Dan Marzukilah orang yang sangat tepat bagi Kartini. Bakal suaminya itu cukup pakej. Dia tahu hukum-hakam agama. Apa yang paling penting Marzuki tahu menghargai dan menjaga nama baik kaum hawa.

"Buatlah senarai barang-barang yang kau nak. Mila, nak ikut tak?"

"Nak!" Laju Karmila menerima pelawaan Arsyad. Dan selaju itu jugalah pandangan Kartini dan Habsah bertembung.

"Eh, tak payah. Kau tinggal kat rumah, temankan mak. Biar Kak Tini aje yang pergi." Cepat-cepat Kartini menghalang.

"Ala, Mila nak ikut ayah." Karmila menghentak-hentak kaki tanda protes.

"Kerja sekolah kau dah siap?" Kartini masih berusaha menghalang Karmila.

"Dah."

"Kasut dah basuh?"

"Dah!"

"Baju sekolah dah gosok?"

"Belum kering lagilah kat ampaian tu. Apa Kak Tini ni?" Karmila menjerkah. Tak faham kenapa beria-ia sangat Kartini menghalang dia dari mengikut Arsyad ke pasar.

"Tak payah, tak payah. Kau tinggal rumah tolong mak siapkan bahan-bahan nak memasak. Ni, lada kering belum berkisar. Nanti tolong masak nasi. Kopek ikan bilis. Masak air gula. Keluarkan pinggan mangkuk yang elok sikit dari dalam almari..."

"Eee! Kak Tini ni melampau tau. Ayah, Mila nak ikut..." Karmila menggoyang-goyangkan lengan Arsyad dengan harapan Arsyad akan membantu.

"Kau faham tak Kak Tini kata duduk rumah aje temankan mak. Kalau kau pergi pasar mesti ada aje barang-barang yang tersalah beli." Kartini tak beri peluang pada Karmila untuk membidas. Cepat dia naik ke atas untuk mengambil tudung. Tetapi bila dia turun ke dapur semula, Karmila sudah tiada di situ.

"Mana dia?" tanya Kartini.

"Ke mana lagi? Bawa diri ke rumah sebelahlah." Habsah menjawab.

Kartini senyum sedikit. Pandangan tajam Arsyad tidak dihiraukan. Dia duduk sebentar di meja makan untuk menulis senarai barang-barang dapur yang hendak dibeli. Arsyad juga duduk semula di kerusi betul-betul berhadapan dengan Kartini. Habsah yang sedang membilas pinggan mangkuk yang tidak habis dibasuh oleh Kartini sesekali menoleh. Risau juga melihat cara Arsyad merenung Kartini. Bagai tenungan seekor singa lapar.

SERAKAHWhere stories live. Discover now