BAB 10

18.5K 54 2
                                    

Persiapan majlis perkahwinan Kartini dan Marzuki diteruskan selepas urusan menghantar Karmila ke Kolej Yayasan Saad selesai. Diam tak diam tinggal beberapa minggu sahaja lagi Kartini bakal menamatkan zaman bujangnya. Setakat ini segala-galanya berjalan lancar. Sehingga kini, agak lama juga tiada sebarang gangguan daripada Arsyad. Mungkin kerana dia pun sama sibuk menguruskan segala persiapan yang berkaitan dengan hal-hal kenduri-kendara.

"Apa lagi yang belum selesai?" tanya Arsyad. Dia baru sahaja pulang dari rumah tauke lembu. Dua ekor lembu sudah ditempah untuk dijadikan lauk ketika majlis persandingan nanti.

"Kalau tengok pada senarai ni macam dah lebih pada separuh benda dah selesai pak cik. Tinggal nak beli barang-barang basah untuk kenduri aje yang belum lagi." Marzuki meneliti sekali lagi senarai panjang yang sudah disediakan oleh Kartini. Semua keperluan dari hantaran hinggalah ke hal-hal yang remeh sudah dicatatkan di situ..

"Persiapan kat rumah kau macam mana Zuki?" Habsah bertanya. Dia perasan perubahan wajah Marzuki apabila soalan itu diajukan. Walaupun cuba Marzuki sembunyikan dengan senyum namun wajah gusar Kartini yang menantikan jawapan dari mulut tunangnya jelas kelihatan di pandangan mata Habsah.

"Alhamdulillah. Berjalan lancar juga. Ibu dan abah dah mula edarkan kad jemputan."

"Amboi, dah edarkan kad? Tak cepat sangat ke?" Arsyad mencelah. Agak tinggi juga suaranya tadi.

"Cepat apanya. Kenduri budak berdua ni tak sampai tiga pun lagi," bidas Habsah.

Berkerut-kerut kening Arsyad dibidas begitu. Sambil itu dalam kepala mengira-ngira. Ini bermakna sudah sebulan lebih juga Karmila tidak pulang. Sejak diterima masuk ke Kolej Yayasan Saad, ada sajalah aktiviti yang dilakukan sepanjang hujung minggu. Selama itulah mereka hanya berhubung dengan Karmila melalui telefon.

"Oh, maknanya dah lama jugalah Mila tak balik. Kenduri nanti entah dapat balik ke tidak agaknya..." Baru Arsyad perasan sejak Karmila berada di asrama, selama itu jugalah dia tak mengganggu Kartini. Mungkin kerana jadual kerja Kartini yang sudah bertukar ke shif malam membuatkan Arsyad tidak berpeluang untuk mengganggu gadis itu. Yang ada di rumah hanya Habsah. Apa lagi pilihan yang Arsyad ada?

"Abang.."

Arsyad menoleh.

"Jauhnya mengelamun. Teringat kat bini nombor berapa?" Tak pasal-pasal sahaja Habsah menyindir.

Marzuki gelak. Kartini senyum mengejek. Arsyad senyum juga walaupun agak sebal melihat mimik muka Kartini. Dia tahu Kartini dan Habsah sedang memperlekehkan dirinya.

"Bini mana pulak awak ni Cah? Abang teringat kat Mila. Sayanglah kalau dia tak dapat balik masa kenduri nanti. Abang pun dah rindu sangat kat dia..."

Spontan Habsah dan Kartini menjuih serentak. Tawa Marzuki kendur. Hairan melihat reaksi dua beranak itu. Arsyad tak perasan dengan riak wajah Marzuki. Dia masih sibuk memikirkan tentang Karmila. Dia tidak bohong yang dia rindukan Karmila. Tapi bukan rindu seorang ayah. Rindu seorang jantan tak guna yang hanya berfikir untuk menghancurkan masa depan anak sendiri.

"Mila dah cakap hari tu. Dia balik masa kenduri nanti. Masa tu kan dah cuti sekolah. Dia bawa balik kawan-kawan dia sekali. Sebab itulah Tini kemaskan bilik dia. Ramai nanti yang nak tidur kat bilik tu. Semuanya anak dara." Beritma gaya Kartini melontarkan kata-kata. Terang-terangan menyindir Arsyad. Tetapi masih menggunakan bahasa yang tersirat.

Kartini dan Habsah berbalas jelingan. Arsyad berdeham kuat. Tanpa kata dia masuk ke dalam rumah. Panas juga hatinya diperlakukan begitu. Kartini dan Habsah makin berani mempersendakannya secara terang-terangan. Atau mungkin dengan adanya Marzuki di situ membuatkan keberanian mereka memuncak.

SERAKAHWhere stories live. Discover now